Sunday, March 21, 2021

Syaaban 7, 1442: Refleksi 12: Mencari kebarakahan dalam hidup

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."


SAYA terjun ke dunia kewartawanan pada 1985. Sekarang tahun 2021, ertinya sudah hampir 40 tahun saya bergelumang dalam bidang 'tulis menulis' ini. 


Pada 1999, saya menjalani sesi temu duga untuk bekerja di Harakah dan beberapa tahun kemudian (kalau tak silap saya 2001), saya pula 'menginterbiu' calon-calon wartawan Harakah yang salah seorang daripadanya, Saudara Wan Nordin Wan Yaacob kini sudah menjadi Ketua Pengarang Harakah. 


Celoteh kali ini ada menyentuh kisah mengenai temu duga saya ke atas Saudara Wan Nordin tetapi sebelum itu izinkan saya membicarakan mengenai kebarakahan hidup dengan menyelami perbezaan kehidupan ketika bertugas di akhbar alternatif khasnya Harakah dan sebuah akhbar harian nasional yang mendabik dada akhbar No 1 di tanah air.


Beberapa tahun selepas bertugas di Harakah, saya dan seorang pengarang yang dulunya bekerja di akhbar yang sama, dikunjungi seseorang yang pernah menjadi rakan sejawatan di akhbar harian nasional itu. Beliau datang ke pejabat kami, menceritakan perihal kehidupannya yang 'sesak' - dia merayu kami dapat membantunya dari segi kewangan kerana 'nak makan dan pakai pun susah'.


Demikianlah dunia berubah; pusingan roda ada kalanya di atas dan di bawah. Beberapa orang tua-tua pernah mengingatkan saya bahawa memang betul pusingan roda ada turun dan naiknya tetapi bagi orang yang ada tanda-tanda kebarakahan dalam hidupnya, jatuhnya tidaklah terlalu teruk manakala naiknya tidaklah sampai membuatkan dia lupa daratan.


Mereka juga berkata, dalam mengharungi kehidupan, biarlah genting tetapi jangan putus. Saya kurang faham maksud ungkapan ini, tetapi membuat agakan...misalnya beras (makanan asasi) di rumah kita janganlah dibiarkan sampai habis (kita tak ada duit langsung untuk membelinya) tetapi hendaklah kita bijak memastikan bekas beras (seperti tempayan) sentiasa berisi.


Orang-orang tua ini juga mengingatkan saya, 'orang lama' amat bijak dalam bab berjimat cermat bagi membolehkan mereka membuat amalan kebajikan. Misalnya bagi membolehkan mereka membuat kebajikan seperti bersedekah atau kenduri, setiap kali mahu menanak nasi, mereka akan mengambil segenggam beras dari bekasnya dan memasukkannya dalam bekas khas. Setiap kali mereka berbuat begitu, daripada segenggam beras itu itu akan menghasilkan beras yang mencukupi untuk mereka membuat kebajikan.


Bagi 'orang moden' (kitalah) amalan ini 'amat leceh', tetapi tanyalah diri sendiri dengan jujur...kita buat korban tak setiap tahun? Atau menaja majlis iftar (berbuka puasa) di masjid. Kita yang 'bergaji beribu-ribu ringgit' ini pun tak mampu buat korban tetapi orang-orang tua dulu yang membanting tulang di bendang mampu melakukannya. Tidak malukah kita?


Mungkin pada zaman moden ini, kita boleh buat satu tabung misalnya 'tabung korban'; setiap hari kita masukkan RM1 ke dalamnya, cukup setahun kita sudah ada RM365...namun jumlah wang ini tidak cukup untuk kita mengambil satu bahagian korban lembu. Sekarang wang diperlukan ada RM700 atau lebih (melainkan jika mahu menyertai projek korban di Kemboja dan beberapa negara lain), jadi kalau kita mahu membuat korban kita perlu sisihkan RM2 sehari. Insya-Allah selepas setahun, cukuplah wang itu, malah lebih pula.


Ketika 'mahu masuk' Harakah, saya diinterbiu beberapa pengarang Harakah; beberapa tahun kemudian saya pula ditugaskan menemu duga calon wartawan. Sejumlah daripada calon itu berkelulusan daripada beberapa universiti tempatan termasuk Universiti Malaya (UM) yang berprestij.


Seorang calon UM menarik perhatian saya. Berdasarkan tugasan bertulis yang dibuatnya sebelum dia ditemu duga dan jawapannya dalam sesi soal jawab, saya berminat untuk menyenaraikannya sebagai calon pilihan.


Saya bertanya atau lebih tepat lagi menyuarakan pandangan - "awak tahu tak, jika awak dipilih bekerja sebagai wartawan Harakah, saya bimbang dari segi kebendaan keadaan awak 10 tahun nanti adalah sama seperti diri awak semasa awak mula bekerja. 


"Kalau awak bekerja dengan akhbar arus perdana, saya percaya selepas 10 tahun bekerja, kemungkinan besar awak sudah berjawatan serta bergaji besar serta hidup mewah. Ya, mengapa awak pilih untuk bekerja di Harakah, 'untuk hidup susah', bukanlah lebih baik awak sebagai graduan universiti terbaik bekerja di akhbar arus perdana yang menjanjikan gaji lumayan dan masa depan gemilang!"


Jawapan 'mamat UM' ini menarik perhatian saya. Katanya, dia bukan memikirkan soal gaji lumayan dan kehidupan mewah tetapi..."ini soal perjuangan..." Hebat, hebat. Saya tidak berkata apa lagi, lantas menulis dalam kertas di depan saya.  ............dari UM pilihan terbaik sebagai wartawan Harakah.


'Mamat UM' ini (Saudara Wan Nordin) masih bekerja di Harakah. Hatta sudah menjadi Ketua Pengarangnya sejak lima tahun lalu. Syabas diucapkan kepada beliau. Namun saya tidak tahu selepas 20 tahun bekerja apakah beliau masih 'hidup seperti dulu-dulu' atau sudah 'kaya raya' (mudah mudahan diperkenan Allah SWT). Al-maklumlah saya sudah hampir 10 tahun meninggalkan Harakah.


Namun sesuatu yang saya yakini, kalau kehidupan kita berada di jalan-Nya yang lurus, kita akan mendapat kebarakahan dalam kehidupan di dunia dan terpenting keredaan-Nya di alam sana, insya-Allah.

No comments: