Wednesday, March 10, 2021

Rejab 26, 1442: 'Bucket' ayam menjulang di kampungku...(U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

Hadis diriwayatkan oleh Ibnul Abdul Barr dan Abu Naim bermaksud: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.;“Dua golongan daripada umatku, apabila mereka baik, baiklah manusia dan apabila mereka rosak, rosaklah manusia. Itulah dia pemimpin dan ahli fiqh (ulama).” 


RAMAI orang suka makan ayam tetapi tidak ramai menyedari ada hadis mengenai ayam. Seorang ustaz dalam kuliah subuh mingguan di sebuah masjid di kampung saya baru-baru ini menyentuh hal ayam ketika memuzakarahkan kitab Bahrul Mazi karangan ulama Melayu terkemuka, Sheikh Muhammad Idris Rauf Al-Mabawi. Katanya, Nabi s.a.w. makan ayam, oleh makanlah daging ayam, kalau tak boleh banyak makanlah sikit bagi mengikuti sunnah Nabi. 


Ketika menjelaskan hukum memakan haiwan jalalah (ini perkara baru bagi saya; maksudnya haiwan yang mengkonsumsi najis atau sebahagian daripadanya); seorang jemaah mencelah dengan menceritakan betapa ada orang 'dulu-dulu' tidak makan daging ayam kerana ayam kampung yang berkeliaran bebas makan apa saja termasuk najis manusia. Maklumlah orang dulu, 'berak bersepah' kerana tiada tandas tetap, jadi banyaklah ayam yang kenyang selepas 'berkenduri' najis manusia. 


Jemaah itu berkata, apabila tiba musim kenduri seperti sekarang ini (bulan Rejab dan Syaaban), ada orang kampung sembelih ayam (siapa tahu jika ia makan tahi), lantas dijadikan lauk dan dihidangkan pula untuk santapan tok imam dan jemputan lain selepas 'tahlil' dan doa. Tok imam dan hadirin lain tak pernah komplen, sedap saja mereka 'tala' (menikmati) daging ayam itu. 


Ustaz menyatakan ada ulama mengharamkan 'binatang jalalah' namun ada membolehkan mengkonsumsinya dengan syarat binatang itu dihilangkan bau-bau najisnya dengan 'dikurung' dan diberi makanan yang bersih; dalam kes ayam selama tiga hari. Riwayat Ibnu Syaibah daripada Ibn Umar menyatakan kurungan ayam adalah selama tiga hari, 


Al Baihaqi dengan sanad yang bermasalah daripada ‘Abdullah bin ‘Amr secara marfu’ (daripada Nabi s.a.w.) menyatakan bahawa haiwan jalalah tidaklah dikonsumsi sampai haiwan tersebut diberi makan yang bersih selama 40 hari. 


Hari ini sejumlah daging binatang yang kita konsumi dibimbangi bertaraf jalalah, antara yang terkenal adalah ikan keli (di Indonesia disebut lele) tetapi pada ruangan ini apa yang hendak saya celotehkan di ruangan ini adalah mengenai ayam, yang daripadanya terbit banyak sungguh perkataan dan istilah seperti kaki ayam, bapak ayam, ibu ayam, nasi ayam dan terbaru ini, 'datuk ayam' (nanti saya akan beritahu maksudnya). 


Pada zaman saya kecil dulu di kampung, ayam makan najis biasa dilihat. Sekalipun gemar 'membaham' daging ayam, sehingga hari ini saya tidak lalu makan kaki ayam. Maksud saya kakinya yang sebenar bukan daging pada bahagian kaki seperti paha. Terbayang-bayang saya ayam itu mencakar-cakar tahi, lantas memakannya. Eeeee, sungguh tak lalu saya makan kaki ayam... 


Berbeza dengan sikap saya; saya perhatikan sekarang ini ramai orang suka makan kaki ayam. Anggota keluarga saya malah rakan-rakan. Mereka saya perhatikan bukan 'main syok' lagi makan kaki ayam terutama yang dimasak sup. Bukan main lagi 'dia orang' menghirup sup yang ada kaki ayam. Anggota keluarga saya bertanya, apa pasal tak nak makan kaki ayam, ini ayam modenlah (ayam karan), mana ada 'dia orang' cakar tahi atau makan tahi lagi. 'Dia orang' duduk dalam tempat bersih daaaa..." 


Dulu 'tidak mudah dan mewah' untuk makan daging ayam, tidak seperti anak-anak sekarang yang kadang-kadang memakannya saban hari. Ramai kanak-kanak ketika itu dapat menikmati daging ayam setahun sekali atau dua kali iaitu pada Hari Raya Puasa dan Haji di mana biasanya daging ayam dibuat rendang untuk dipadankan dengan ketupat. 


Sungguh menghairankan sikap 'orang dulu-dulu', - mereka banyak 'membela' ayam tetapi ayam itu tidak dimakan sendiri tetapi dijual kepada peraih ayam bangsa Cina yang kerap menunggang basikal besar beraga besar (berapa kali besar dah) di kampung-kampung sambil meneriak 'ayammm, ayammm, ayammm.' Kebanyakan daripada peraih ini 'berkaki ayam'. Sehingga kini saya tidak faham dengan sebenarnya mengapa orang Melayu suka menjual ayam sebaliknya membeli sardin untuk diberi makan kepada anak-anak. Mungkin sardin murah manakala ayam mahal harganya!


Kerana kurang makan ayam (daging) agaknya pada masa kecil dulu, saya suka 'memburu' ikan dan burung-burung seperti ayam-ayam, wak-wak (ruak-ruak) dan pucung di sebuah bendang (sawah) berhampiran rumah saya. Maka sesekali dapatlah saya makan 'daging tambahan' disebabkan 'skill' saya 'menumpaskan' binatang berkenaan. 


Namun hari ini, ketika meninjau bendang yang menimbulkan 1,001 nostalgia itu, alangkah terpukul hati ini apabila melihat sebuah restoran KFC sudah berdiri megah di tanah bekas bendang itu dengan sebuah iklan gergasi 'baldi (bucket)datuk ayam' (Kolonel Sanders) menjulang tinggi di angkasa. Kini tak payahlah anak-anak saya atau anak-anak orang kampung 'mengejar' ayam makan tahi atau ayam-ayam lagi, mereka boleh makan daging ayam yang dimahsyurkan 'si datuk ayam' dari Amerika siang malam di restoran 24 jam itu! 


Anak-anak saya dan anak-anak pembaca sekalian mungkin tidak pernah melihat ayam makan tahi atau mengenali apa itu burung ayam-ayam, sebaliknya mereka hanya pandai menyebut ayam 'datuk ayam' yang restorannya bukan saja sudah memasuki kampungku tetapi juga sudah terkenal di Makkah (di luar pintu Masjidilharam). Demikian, alangkah hebatnya globalisasi hari ini sehingga 'ayam kampung' kita tewas di tangan 'ayam orang'. Amat bimbang saya jika kita menjejak langkah Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai!

No comments: