Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
RenunganHadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."
PADA era mencabar sekarang ini (tempoh Perintah Kawalan Pergerakan - PKP - akibat Covid-19), seseorang itu perlu kreatif dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Kita dapat saksikan bagaimana sesetengah orang begitu kreatif - menggunakan segala peluang tersisa untuk 'melonjakkan diri' tetapi tak kurang berputus asa sehingga 'nauzubillah' mengakhiri hidup sendiri.
Terpegun kita melihat sejumlah CEO dan pegawai atasan syarikat gergasi dalam pelbagai bidang seperti penerbangan, perhotelan dan pelancongan, terjun ke industri lain dengan ada menunjukkan teladan menjadi 'food rider' (penghantar makanan), membuka warung makanan dan menjadi petani serta penternak.
Puluhan tahun lalu, seorang pakar motivasi memberitahu saya...wang banyak di sekeliling kita - dalam poket dan dompet orang, dalam laci orang, bawah bantal orang dan sudah tentu di toko dan dalam bank - persoalannya bagaimana kita nak pindahkan wang yang banyak itu ke dalam poket kita...o ya, semestinya secara HALAL.
Sekarang pun pada era Covid-19 ini, duit masih banyak berlegar (kecuali dalam poket kita agaknya), jadi bagaimana kita mahu 'mengait' duit itu untuk dijadikan hak kita secara halal.
Mungkin esei yang saya tulis pada zaman universiti dahulu (1984) di bawah ini dapat membantu pembaca berfikiran kreatif seterusnya berjaya mengharung hidup pada zaman sukar ini...
Kembangkan pemikiran kreatif untuk kepentingan bersama
Kerana desakan ingin tahu, Isacc Newton akhirnya berjaya menggariskan Newton's Law of Gravity.
Keupayaan dan ketidakupayaan seseorang itu mengaitkan desakan ingin tahu dengan pemerhatiannnya terhadap alam semula jadi, memisahkan antara mereka yang boleh mengambil manfaat daripada pemikirannya atau sebaliknya.
Kebanyakan daripada kita mengambil manfaat daripada sesuatu ciptaan itu tanpa berfikir penat-lelah orang di belakang ciptaan tersebut. Pemikiran kreatif adalah berpunca daripada desakan ingin tahu manusia. Tidak ramai orang mempunyai kemampuan berfikir secara kreatif.
Ini adalah kerana tanpa pemikiran ini, seseorang itu masih hidup dalam sentosa. Ertinya hal ini tidak langsung menggugat kepentingan seseorang. Manusia lebih cenderung berfikir mengenai perkara-perkara yang mendatangkan kepentingan kepada dirinya saja.
Pepatah Inggeris ada mengatakan 'curiousity kills the cat'. Namun bukanlah kucing kita jadikan teladan sebagai pegangan kita tetapi ia dijadikan landasan-landasan perasaan ingin tahu kita itu. Perasaan ingin tahu kita itu hendaklah dapat menolong kita dan manusia sejagat.
Daya ingin tahu yang mendatangkan manfaat ini dipanggil 'idle curiousity'. Selalunya apabila menaiki bas untuk perjalanan jauh, kita mengelamun perkara-perkara yang berkisar diri kita, kawan kita, keluarga kita dan sebagainya.
Lebih-lebih lagi, perjalanan tersebut adalah untuk pulang ke kampung halaman setelah lama di perantauan - terbayang wajah-wajah orang tersayang di depan mata kita. Kita ingin segera sampai, realitinya masa adalah tetap sama - ia tak akan cepat atau lambat sesaat pun.
Hanya segelintir manusia dapat menumpukan perhatian kepada penumpang-penumpang lain secara teliti dan seterusnya membuat kesimpulan-kesimpulan bertingkat.
Demikian halnya apabila pertama kali masuk ke dalam sesebuah bilik. Sesetengah orang berkeupayaan memerhatikan keadaan di dalam bilik tersebut - susunan barang-barang dan perhiasan-perhiasan dan seterusnya membuat penilaian watak penghuni bilik tersebut.
Keupayaan dan ketidakupayaan inilah yang memisahkan antara mereka yang boleh berfikir secara kreatif ataupun tidak. Penulis-penulis kreatif seperti Sherlock Holmes dan di tanah air kita seperti Usman Awang mempunyai sifat penelitian ini.
Kebanyakan orang memandang sesuatu itu secara datar sahaja. Hal ini tidak akan membawa seseorang itu berfikir secara kreatif. Kerana tidak dapat berfikir secara kreatif, maka tidak ada perkara baharu yang dapat ditonjolkan apatah lagi menjadi sumbangan kepada masyarakat untuk manfaat bersama.
Mereka yang tidak membuka mata seluas-luasnya - hanya memikirkan perkara di sekitar diri mereka sahaja, tidak akan tajam pemerhatian mereka. Seorang pelajar yang hanya memikirkan gred mata pelajaran dan peribadinya sahaja, tidak akan dapat melihat peristiwa di depan matanya. Jika terlihat pun, kerana tidak mempunyai pemerhatian yang tajam, dia akan gagal memahami peristiwa tersebut kerana dia tidak berkeupayaan mengaitkannya dengan perkara lain.
'Idle curiousity' akan melahirkan persoalan-persoalan seperti mengapa, bagaimana, apa puncanya, betulkah, apa sebabnya dan bermacam-macam persoalan. Kerana naluri ingin tahu inilah manusia berfikir dan pemikiran inilah titik permulaan pemikiran kreatif. Daripada pemikiran kreatif ini, dia dapat 'mengeksploitasi' sesuatu kumpulan atau suasana, misalnya untuk tujuan perniagaannya.
Mereka yang berjaya menempatkan diri di kalangan pencipta-pencipta adalah mereka yang dapat mengaitkan pemerhatian teliti dengan persoalan-persoalan yang bermain di benak mereka.
Persoalan-persoalan ini bermain di kepala adik beradik Wright seperti bolehkah manusia terbang. Daripada pemerhatian teliti terhadap burung terbang, akhirnya dapatlah mereka mencipta kapal terbang. Demikian juga Newton dapat menggariskan 'Newton's Law of Gravity' setelah mengaitkan persoalan di kepalanya dengan kejadian epal jatuh dari pokok!
Sekarang, pada era Covid-19 yang mencabar ini, berfikir dan bertindaklah secara kreatif yang hasilnya insya-Allah akan mendatangkan kebaikan bukan sahaja kepada diri kita tetapi orang di sekeliling, masyarakat, negara dan seterusnya dunia.
Namun ingatlah orang terbaik dan beruntung bukan hanya mahu kebaikan di dunia semata-mata tetapi juga DI SANA. Bukankah kita selalu berdoa 'Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil akhirati hasanah wa qina ‘adzabannar' yang bermaksud "Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa api neraka."
Jadi kreatiflah untuk DUNIA dan AKHIRAT anda!
No comments:
Post a Comment