Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
RenunganNabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya ialah waktu ia sujud, oleh kerananya maka perbanyaklah doa ketika itu." (Sahih Muslim)
KITA akan menyambut Israk dan Mikraj pada Khamis, 11 Mac ini (27 Rejab 1442 Hijrah). Seperti tahun-tahun sebelumnya, insya-Allah sebahagian besar pengurusan masjid dan surau meneruskan tradisi iaitu menganjurkan ceramah pengkisahan perjalanan (israk dan mikraj) Rasulullah s.a.w.
Salah satu kisah ialah Rasulullah s.a.w. menyaksikan segolongan manusia yang menambah pikulan demi pikulan sekalipun bebanan ditanggung sudah terlalu berat.
Ini membayangkan manusia itu gila dan cintakan harta, pangkat, kedudukan, pengaruh, kuasa, dan sebagainya sedangkan mereka tahu tanggungan tidak lagi terpikul oleh mereka.
Bagaimanapun kisah ini mungkin hanya didengar saban tahun tetapi sebahagian besar manusia tidak mengambil iktibar apatah lagi berubah.
Sebagai contoh ramai yang berebut-rebut jawatan masjid, merampas pentadbiran masjid dan surau daripada AJK yang dilantik kariah dan menghalang kegiatan keagamaan di rumah Allah itu.
Perebutan jawatan dan kuasa ini bukan sahaja berlaku di institusi masjid tetapi lebih parah lagi dalam pejabat, kampung, parti, negeri dan negara. Kebanyakan manusia berebutkan jawatan sekalipun sedar bebanan sudah terlalu berat tetapi mereka ikutkan nafsu untuk berkuasa.
Bijak pandai Barat seperti Lord Acton (sejarawan British 1834-1902) ada menyebut, 'power tends to corrupt, absolutely power corrupts absolutely' membayangkan hampir semua (namun bukan semua) manusia tidak dapat beramanah dengan kuasa. Dengan kuasalah sesetengah tokoh itu bertindak bagaikan raja zalim.
Raja (pemerintah atau imam) adil diberi jamin akan mendapat perlindungan arasy Allah pada hari kiamat; tetapi pemerintah zalim telah menempah tempat di neraka. Pemerintah adil berlaku demikian kerana dia tahu matlamatnya mendapat keredaan Allah SWT tetapi pemerintah zalim telah membebankan dirinya dengan barangan tidak perlu seperti memikul peti sejuk ke puncak Everest.
Di tanah air kita, mereka membebani diri dengan melakukan ugutan terhadap rakyat seperti menguatkuasakan undang-undang rimba, menekan kehidupan mereka dengan menaikkan harga barangan keperluan dan mengenakan pelbagai jenis cukai keterlaluan. Malah ada bertindak lebih sadis seperti merampas hak orang seperti tanah dan perniagaan seperti akhbar. Malah rakyat diugut supaya 'meninggalkan negara ini' atau pun 'masuk hutan'.
Manusia berwawasan adalah insan terpuji. Kebanyakannya mahu berbahagia di dunia dan di akhirat. Untuk menuju matlamat tersebut, pendakian ke arahnya perlu dilakukan secara bijaksana dengan berpandukan ajaran Rasul.
Namun dalam pendakian tersebut, ramai yang membawa ' barangan yang tidak diperlukan' ibarat seorang pendaki yang mahu ke puncak Gunung Everest tetapi dia memikul peti sejuk.
Dalam kehidupan perkara seperti ini kerap berlaku. Misalnya, pelajar diamanahkan untuk belajar untuk matlamat untuk lulus cemerlang. Tetapi ramai yang memikul peti sejuk untuk ke puncak Everest.
Beban-beban itu adalah seperti bermain api cinta, menagih dadah, menyertai perlumbaan haram ataupun yang paling mudah, enggan belajar.
Untuk berjaya dalam hidup tidak perlu bagi kita menggalas peti sejuk untuk ke puncak Everest.
Seorang bijak pandai memberikan contoh mudah ini; jika anda memasang lampu hadapan basikal anda dalam kegelapan malam, sudah tentu keadaan di depan anda terang benderang.
Apa kata anda sengaja mencari hal dengan memasang lampu-lampu lain di sekeliling basikal itu. Sudah tentu cahaya di depan menjadi malap atau kehilangan fokusnya menyebabkan kita hilang panduan menuju matlamat.
Jika sudah terlalu banyak perkara yang terpaksa kita fikirkan sedangkan ia tidak perlu, kita akan gagal dalam mengejar cita-cita kita. Kita perlu ingat bahawa otak kita hanya satu dan ia bukan mesin yang boleh bekerja 24 jam sehari. Otak perlu berehat, termasuklah dengan tidur.
Mungkin kita bernasib baik pada satu-satu masa, ertinya kita bertuah. Bertuahnya diri kita bukannya sepanjang masa atau adanya kelebihan pada diri kita. Tiada orang yang bertuah sepanjang hayatnya yang hanya hidup atas bertuahnya dirinya.
Dalam mengejar cita-cita, tentulah kegagalan sentiasa mengekori kita. Ditakdirkan kita gagal sedangkan kita sudah berusaha,ia dapat dijadikan teladan membangunkan usaha dan cita-cita kita.
Namun jika kita gagal kerana tidak dapat berfikir dengan matang atau kita sudah tahu kelakuan kita tidak akan mendatang sebarang faedah pada diri kita, ia menunjukkan ketidak-sempurnaan fikiran kita. Jika kita tahu yang api itu panas, buat apa kita membakar diri kita pula.
Jika kita sudah tahu di puncak Everest keadaannya membeku, buat apa kita pikul peti sejuk ke sana!
No comments:
Post a Comment