Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)
ADA pihak heboh dengan istilah 'Little Napoleon' (Napoleon Kecil). Saya hanya tahu dua Napoleon. Satu Napoleon Bonaparte yang kisahnya saya baca dalam buku Tawarikh (kini Sejarah) sekolah rendah dan satu lagi watak Napoleon (babi) dalam Animal Farm karya George Orwell.
Bonaparte seorang askar yang akhirnya melantik dirinya Maharaja Perancis pada kurun ke-19. Napoleon (babi) pula ialah salah seorang ketua revolusi binatang yang berjaya menumpaskan pemilik Ladang Manor, Mr Jones (manusia).
Napoleon (babi) dalam persaingannya menjadi ketua mutlak, menggunakan taktik penuh licik menumpaskan pesaingnya seperti Snowball (juga seekor babi).
Apabila Snowball kecundang, Napoleon bermaharajela sekalipun terus menguar-uarkan slogan dan propaganda muluk seperti 'all animals are equal' (semua binatang adalah sama).
Kedua-dua Napoleon ini, sama ada si manusia atau sang babi adalah penipu besar. Berdasarkan senario ini, saya terfikir-fikir apakah yang dimaksudkan 'Napoleon Kecil' itu.
Mungkinkah Napoleon Kecil itu mereka yang mempunyai sedikit kuasa tetapi berperangai seperti Napoleon Bonaparte atau Napoleon (babi) dalam Animal Farm.
Siapa Napoleon Kecil ini sukar dijawab. Tetapi tidak salah rasanya mengutarakan permasalahan orang kebanyakan yang kini bergelut untuk meneruskan kesinambungan hidup yang mungkin ada kaitannya dengan lagak Si Napoleon Kecil ini.
Misalnya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sekali lagi diuar-uarkan bumiputera akan mencapai pemilikan ekuiti ekonomi sebanyak 30 peratus pada sekian-sekian tahun.
Berdasarkan sumber sama (tokoh perancang, menteri dan sebagainya), yang gagal merealisasikan sasaran pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera pada akhir Dasar Ekonomi Baru (DEB, 1970-1990), dikhuatiri kegagalan akan terus berulang.
Tentulah antara sebabnya kerana wujud Napoleon Kecil di sana sini. Napoleon ini ada di mana-mana - daripada di kampung nun jauh di pedalaman sehinggalah di ibu kota.
Napoleon Kecil ini dan lebih malang lagi Napoleon Besar menjadi pengkhianat bangsa, tanah air dan agama. Bagaimanapun, di dunia kebanyakannya disanjung, terselindung segala kejahatan mereka disebabkan mereka berkuasa, berpangkat, berkedudukan dan sebagainya.
Napoleon Kecil dan Napoleon Besar inilah yang menjual tanah airnya. Berhubung hal ini, saya tertarik benar dengan pendedahan Abdullah Hukum (tokoh perintis Kuala Lumpur) yang disiarkan oleh Warta Ahad (diterbitkan mulai 5 Mei 1935) mengenai betapa hebatnya peniaga Melayu yang menguasai perniagaan di Melaka dan Kuala Lumpur. Tetapi semuanya tinggal kenangan, mungkin disebabkan jenayah menjual tanah air oleh Napoleon Kecil dan Napoleon Besar.
Dalam buku 'Kuala Lumpur dari Perspektif Abdullah Hukum' karya Adnan Haji Nawang (terbitan Berita Publishing, 1997) yang mengutip semua penceritaan Abdullah Hukum kepada Warta Ahad, ada ditulis:
"Pada masa saya berumur kira-kira 15 tahun saya dibawa berdagang oleh ayahanda saya meninggalkan negeri. Kami keluar dari tanah Sumatera melalui Pekan Baharu (Siak) dengan sebuah sekoci belayar menuju tanah Semenanjung dan menempat ke Melaka pada tahun 1850.
"Apabila sampai ke Melaka maka kami pun menumpang di rumah Datuk Dagang bernama Haji Said, iaitu bapa saudara bagi Almarhum Tambi Abdullah yang terkenal kaya di Kuala Lumpur dan bergelar Datuk Abdullah.
"Adapun ketuaan orang Melaka masa itu ialah Wan Cilik namanya tinggal di Semabuk Batu Tiga. Negeri Melaka masa itu memang telah takluk di bawah perintah Inggeris. Pekannya kecil saja. Ada sedikit-sedikit rumah batu, itu pun rendah-rendah dan separuh rumah-rumah itu betul di tepi pantai Melaka.
"Perniagaan masa itu banyak di tangan orang Melayu; berkedai kain dan menjual makanan. Ada juga Cina berkedai menjual sayur. Beras masa itu datang dari luar negeri. Keadaannya merah tetapi beras keluaran negeri putih dan baik. Ada juga sedikit-sedikit orang Kerinchi mencari rezeki di situ."
Mengenai Kuala Lumpur pula ditulis: "Kuala Lumpur pada masa itu sibuk cara zaman dahulu. Ada dua lorong sahaja; iaitu Java Street dan Market Street sekarang manakala Ampang Street (Lorong Ceti) yang ramai sekarang ini masih kolam ikan dipunyai oleh Almarhum Sutan Puasa.
"Rumah-rumah kedai masa itu atap bertam dinding pelupuh (buluh) dan orang yang berniaga di situ seperti menjual kain-kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu bangsa Rawa dan Mendahiling dan ketuaan masa itu ialah Sutan Puasa dan Raja Bilah.
"Kedua-dua ketua ini mengutip hasil dagangan yang lalu lintas melalui Sungai Klang atau Sungai Gombak. Adapun cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul)."
Berdasarkan pengkisahan Abdullah Hukum, tahulah kita bahawa orang Melayu menguasai perniagaan di bandar seperti Melaka dan Kuala Lumpur. Itu adalah pada tahun 1850 dan negeri-negeri Melayu sudah berada di tangan Inggeris atau di ambang untuk jatuh ke tangan mereka.
Kini lebih 60 tahun selepas merdeka, peniaga Melayu hanya bersisa di kota seperti Melaka atau Kuala Lumpur. Tentulah sepanjang lebih 150 tahun itu (1850 sehingga sekarang - 2021), ada ramai Napoleon Kecil dan Napoleon Besar yang tangan ganas mereka berperanan menjual dan menjadi pengkhianat kepada anak bangsanya.
Satu persoalan di sini siapakah Napoleon Kecil dan Napoleon Besar ini? Untuk tidak menyalahkan sesiapa eloklah dipegang kepada peribahasa - siapa makan cili, dialah terasa pedasnya. Jawablah di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment