Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat: dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki." (Maksud ayat 27 Surah Ibrahim)
(Nostalgia tunai haji)
KAMI suami isteri sedang berdiri di kawasan lama Masjidilharam yang dibangunkan pada zaman Bani Abasiyah. Pagi itu kami ke masjid seperti biasa untuk beribadat.
Hatiku berasa damai berada dalam Masjidilharam. Melihat Kaabah yang menimbulkan rasa kagum. Melihat orang tawaf yang tidak putus-putus. Melihat jemaah pelbagai bangsa melakukan ibadat.
Suasana itu menimbulkan rasa takwa dalam hati. Sebelum pulang aku ingin menghayati suasana Masjidilharam ini. Entah kapan aku dapat menziarahi lagi Kaabah, aku tak tahu. Dua tiga hari lagi aku akan pulang ke tanah air.
Dalam suasana demikian, tiba-tiba aku didatangi sepasang remaja dari Indonesia. Mereka bertanyakan 'Tiang Soko Ungu'. Si lelaki memakai kain sarong Pekalongan corak hitam-ungu. Baju putih potongan Cina Betawi. Bersongkok hitam. Si perempuan bajunya kebaya putih pendek. Kain lepas dan bertudung.
Semasa di dataran tawaf tadi, selepas menunaikan tawaf sunat, aku didatangi oleh seorang haji muda dari Pulau Pinang. Dia pakai ihram. Agaknya baru balik dari Tanaim memasang niat umrah. Dia bertanya Multazam. Segera aku terangkan, Multazam terletak di antara penjuru Hajar Aswad dengan pintu Kaabah.
Tempat-tempat bersejarah yang ada hubung kait dengan pekerjaan haji dan umrah, aku pelajari daripada buku sejarah Makkah dan Madinah sebelum ke Tanah Suci.
"Tumpang tanya, pak!" tanya si lelaki remaja dari Indonesia itu dengan sopan. "Bapak tahu 'Tiang Soko Ungu'? Di mana lekatnya, pak?"
Aku agak terpinga-pinga ditanyai demikian. Tidak ada dalam kamus fikiranku 'Tiang Soko Ungu' semasa mengerjakan haji di Makkah ini. Dalam buku 'Manasik Haji' tidak ada cerita 'Tiang Soko Ungu'. Tiang Wahyu ada di Madinah, di kawasan Raudhah, berhampiran makam Nabi saw. Yang aku tahu Masjid Jin ada di Makkah.
Aku pandangi isteriku yang berdiri di sebelahku, kok dia tahu. Tapi dia menggelengkan kepala.
"Tiang Soko Ungu? Maaf dik. Saya ngak tau," kataku jujur, mengikut loghat mereka.
Dia kelihatan kecewa tapi mengucapkan terima kasih lalu pergi dari situ. Agaknya mereka terus mencari 'Tiang Soko Ungu' itu.
"Kenapa mereka mencari 'Tiang Soko Ungu'?" terbentik pertanyaan ini dalam kepalaku.
"Mana satu 'Tiang Soko Ungu'? Bukan seribu dua tiang dalam Masjidilharam ini?"
Mataku segera memerhatikan tiang-tiang di hadapanku. Tapi tiada yang ungu. Semuanya sama - putih.
Lantas aku teringat cerita orang tua-tua kampung. Katanya, di Masjidilharam ada sebatang 'Tiang Soko Ungu', tempat orang menuntut ilmu pesugehan. Tapi aku tidak pasti kebenaran cerita itu.
Menurutnya, ada orang pergi ke Makkah menunaikan haji sambil mengambil ilmu pesugehan. Mereka ingin cepat kaya seperti Qarun dengan melakukan perbuatan syrik. Mereka minta kekayaan kepada syaitan tidak kepada Tuhan.
Mereka menuntut ilmu pesugehan itu daripada seorang badal di Makkah. Mereka disuruh memeluk 'Tiang Soko Ungu' yang ada di Masjidilharam.
Setelah pulang ke negeri asalnya, mereka disuruh belayar ke Tanah Jawa. Katanya Makkah dan Tanah Jawa ialah dua kembaran negeri yang serasi, seperti kapur dengan kunyit, untuk pengeras menuntut ilmu pesugehan itu.
"Apakah budak Indon itu hendak menuntut ilmu pesugehan?" hatiku curiga. "Kan banyak tempat di Kaabah doa kita dikabulkan Tuhan? Contohnya Multazam, Maqam Ibrahim, Hijir Ismail dan banyak tempat lagi. Kenapa 'Tiang Soko Ungu' yang dicarinya? Tidakkan dia telah melakukan perbuatan kurafat yang membawa syirik semasa menunaikan haji dan umrah ini?"
Aku perhatikan lagi tiang-tiang di hadapanku. Tapi tidak ada yang ungu. Semuanya kelihatan sama-putih.
Sedang aku tercegat sambil memerhatikan tiang-tiang itu, seolah-olah Tuhan membuka hijab pemandanganku, tiba-tiba aku melihat sebatang tiang ganjil di hadapanku.
Mungkin Tuhan hendak memperlihatkan kebesarannya. Aku diuji dengan diperlihatkan tiang ganjil itu untuk ia menjadi peringatan kepadaku. Seperti Tuhan tunjukkan kepada Adam dan Hawa pohon terlarang di dalam syurga.
"Jangan kedua-dua kamu dekati ke pohon ini, akan jadilah kamu berdua orang yang aniaya." Surat Al-Baqarah Ayat 35.
Tapi Nabi Adam dan Siti Hawa termakan bujukan syaitan dan mereka terkeluar dari syurga, diturunkan ke bumi.
Tiangnya berwarna kelabu-ungu. Beza dengan tiang-tiang lain yang berwarna putih. Alas tiang daripada batu granit tua dan sudah pecah. Bahagian bawahnya disimpai besi demikian juga atasnya. Besi itu sudah karat, menunjukkan tiang itu sudah tua. Mungkin sudah beribu-ribu tahun usianya.
Aku cuit bahu isteriku.
"Nampak tak tiang di hadapan tu?" aku tunjuk dengan mulut.
"Ia kelihatan ganjil. Warnanya kelabu-ungu. Apakah tiang itu dimaksudkan oleh anak muda dari Indonesia itu?"
Isteriku melihat tiang yang aku tunjuk. Dia perhatikan tiang-tiang lain. Dia hendak mencari kelainannya.
"Ia lain berbanding tiang-tiang yang lain, bang," katanya kemudian.
"Ganjil. Warnanya pun kelabu-ungu."
"Nampak tak, ada simpai besi pengikat bahagian bawah dan atas tiang itu. Tiang-tiang lain tidak," aku memberitahu.
"Apakah itu 'Tiang Soko Ungu' bang yang dicari oleh budan Indon tadi?" tanyanya.
"Entahlah. Aku tak tau," kataku.
"Tak perasan pulak ada tiang ganjil di hadapan kita. Budak Indon tadi pun tak perasan agaknya," katanya kemudian.
"Mungkin Tuhan hendak memberi peringatan kepada kita. Atau hendak menguji iman kita. Kita diperlihatkan tiang ganjil itu supaya jangan didekati," aku cuba menerangkan kepada isteriku.
Aku mula muhasabah diri. Andainya aku sudah diperlihatkan Tuhan sebelumnya, ada tiang ganjil dan ungu di hadapanku itu, apakan aku akan tunjukkan kepada mereka?
Ada kemungkinan akan aku tunjukkan. Ini ialah fitrah diriku yang ingin menolong sesama insan. Lebih-lebih lagi di Tanah Suci sewaktu menunaikan fardu haji. Tentunya aku termasuk orang yang bersyubahat.
"Maha Suci Tuhan. Engkau telah menyelamatkan diriku daripada bersyubahat melakukan perbuatan syirik. Sesungguhnya Tuhan telah memberi peringatan," fikirku dalam hati.
Aku mengucap sykur kepada Tuhan.
Aku tinggalkan tempat itu untuk menunaikan solat dhuha. Kemudian naik ke tingkat atas untuk meninjau tiang ganjil itu.
Dari atas jelas kelihatan tiang ganjil itu. Warnanya kelabu-labuan ungu. Simpai besi di bahagian bawah dan atas sudah karat.
Apakah itu 'Tiang Soko Ungu' yang dicari oleh sepasang anak muda dari Indonesia tadi? Aku tidak pasti.
Yang pasti, aku telah diperlihatkan oleh Tuhan sebatang 'Tiang Ganjil' di Masjidilharam. Ini seolah-olah menjadi peringatan kepada diriku jangan mendekati tiang ganjil itu.
Nawaitu dari rumah untuk menunaikan fardu haji perlu betul. Ini bagi mendapatkan keampunan daripada Tuhan dan haji yang mabrur. Niat itu tidak akan aku selewengkan dengan mencampur-adukkan perbuatan syrik, bidaah dan kurafat. Maha Suci Tuhan. - Nukilan HAJI KAS
No comments:
Post a Comment