Monday, March 29, 2021

Syaaban 15, 1442: Refleksi 13, usahakan 'ini', tiada siapa dapat rebutnya... (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w


Renungan

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


JIKA mahu hidup tenang, usah direbut kepentingan duniawi seperti pangkat, kedudukan, kemasyhuran dan harta - demikian antara lain pesanan seorang guruku yang meninggal dunia tidak lama dahulu. 


“Kamu usahakanlah untuk menjadi ‘hamba Allah’ dalam erti kata sebenarnya,” katanya. “Ini kerana tiada siapa yang dapat merebutnya daripada kamu. Jadi kamu usahakan keras perkara ini.


“Jika kamu mahukan kedudukan, pangkat, kemasyhuran dan harta, orang lain juga idamkan perkara itu. Jadi mereka akan buat apa saja untuk merampas apa yang ada dalam tanganmu itu,” pesan beliau.


Saya teringat pesanan tuan guru ini tatkala mendengar dan membaca berita mengenai cakap-cakap orang politik sejurus kematian seorang ahli Parlimen. Bayangkan belum pun jenazah disemadikan, orang politik sudah mencanangkan parti dan tokoh pilihan mereka untuk bertanding pada pilihan raya nanti.


Alangkah sedihnya kehidupan ini, baharu sebentar saja pangkat dan kedudukan terlucut daripada empunya diri, ia sudah menjadi rebutan; masing-masing pihak menyuarakan hati mahu mengisi kekosongan tersebut. Ertinya pangkat dan kedudukan tidak melekat pada diri, ia tidak mampu mengiringi diri memasuki kegelapan kubur (alam barzakh).


Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (s.a.w.) bersabda maksudnya: “Yang mengiringi jenazah itu ada tiga: keluarganya, hartanya, dan amalannya. Dua daripada tiga hal tersebut akan kembali dan tinggal satu saja (yang mengiringinya), keluarga dan hartanya akan kembali, dan tinggal amalannya (yang akan mengiringinya).” (Muttafaqun ‘Alaihi)


Ya, harta termasuk segala pangkat, kedudukan dan jawatan meninggalkan kita; semuanya tidak melekat pada diri. Benar orang yang mati tidak membawa sama kedudukan dan jawatannya, tetapi apakah wajar kita yang hidup tidak sabar-sabar mahu ‘mewarisi’ atau mengisi kedudukan orang yang meninggal itu?


Orang yang mati sudah pergi, tidak guna ditangisi sekalipun air mata darah kerana dia tidak akan kembali, tetapi yang hidup perlu bersabar. Bersabarlah pada tempoh yang wajar sebelum membuka cerita baharu, mahu adakan pilihan raya, mahukan calon pilihan dia dan mahukan parti sendiri bertanding.


Hormatilah sedikit perasaan keluarga si mati, jenazah orang dikasihi mereka belum pun bersemadi, sudah diuar-uarkan si polan dan si polan akan bertanding. Nampak sangat betapa gilanya orang sekarang kepada kedudukan dan pangkat, asalkan ada kekosongan, mahu diisinya dengan segera secara rakus pula.


Orang Melayu dulu mempunyai pengamatan tinggi berhubung pemergian orang yang mereka kasihi. Jika seorang lelaki yang baharu kematian isterinya tidak sabar-sabar untuk berkahwin mereka akan berkata; “nantilah dulu, kuburnya masih merah lagi.”


Hakikatnya memang si lelaki tadi boleh berkahwin lagi malah sebelum isterinya mati pun dia boleh menikah lagi, tetapi mengapa pula ditimbulkan soal ‘kubur masih merah lagi’? Inilah namanya kehalusan orang Melayu menangani sesuatu permasalahan itu. Mereka begitu cermat untuk menjaga hati banyak pihak, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak rosak.


Tetapi apa sudah jadi dengan masyarakat moden hari ini, termasuk orang politik. Politikus zaman sekarang nampak sangat tidak sabar, mereka lebih mengutamakan diri sendiri, parti dan kepentingan masing-masing. Tindakan mereka seolah-olah mahu memberitahu dunia; “baguslah dengan kematian ini, terbukalah peluang untuk kami berkuasa, menggantikan kamu.”


Sekarang ini, bertepatan dengan kehendak masyarakat yang mahukan segala-galanya secara ‘segera’, maka timbullah pelbagai ‘perkara segera’ daripada makanan kepada jawatan politik. Orang mahu melantik pengganti secara segera, tidak mahu tunggu-tunggu lagi.


Demikian juga soal pembahagian harta selepas bapa atau ibu meninggal dunia, anak-anak tidak dapat bersabar, mereka tidak menunggu lama, mereka mahukan bahagian mereka dengan kadar segera. Apabila kesabaran tiada, maka mudahlah mereka terbabit dalam perbalahan dan pergaduhan adik beradik sehingga membawa perseteruan berpanjangan.


Apabila berlaku sesuatu kematian, si isteri (balu) mempunyai edah yang perlu dipatuhi. Tempohnya empat bulan 10 hari (mengikut bulan Islam). Balu tadi tidak boleh keluar rumah kecuali urusan penting seperti bekerja untuk menyara hidup. Ertinya di sini ada tempoh bertenang, kenangan bersama si suami masih terpahat di hati isteri.


Tetapi orang lelaki tidak edah. Tiada larangan untuk mereka berkahwin pada hari kematian isterinya, hatta sebelum si isteri meninggal pun. Bagaimanapun orang Melayu yang halus perasaannya telah mencipta kata-kata pedas seperti, “tunggulah dulu, kubur isteri kau masih merah lagi!”


Jika orang kematian isteri boleh bersabar dan menunjukkan kesediaan menjaga hati pihak lain, tidak bolehkah orang berpolitik juga bersabar, menunjukkan mereka turut bersedih dengan kematian rakan seperjuangan atau lawan mereka. Ini tidak, sebaik saja berlaku kematian, mereka terlebih sibuk mendendangkan lagu mahu bertanding pilihan raya.


Jika disorot Sirah Rasul s.a.w., kewafatan baginda telah menyebabkan sahabat-sahabat besar bermesyuarat terus bagi melantik seorang tokoh bagi menggantikannya sehinggakan urusan jenazah lebih banyak terpikul ke beban keluarga baginda yang diketuai menantu dan sepupunya Ali bin Abu Talib.


Khalifah perlu dilantik segera selepas kewafatan Rasul bagi membereskan urusan ummah, demikian juga dengan pemimpin (ketua) negara, tetapi pada pendapat saya yang jahil ini, urusan gopoh gapah untuk menamakan calon pilihan raya adalah tidak perlu kerana proses pemilihan semuanya sudah termaktub dalam undang-undang.


Dalam kes di negara kita, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penting seperti memanggil satu pilihan raya, penamaan calon dan sebagainya, jadi tidak ada apa yang perlu dirisaukan sehingga ada yang bertindak terlebih sudu daripada kuah. Mereka mahu mendahulukan parti dan calon mereka, mereka membuat pelbagai spekulasi yang ternyata akan memanaskan lagi bahang persengketaan.


Hampir semua orang mahu merebut kedudukan, pangkat, kemasyhuran dan harta yang akhirnya membawa kepada huru-hara. Untuk selamat ikutlah pesan guru saya; “jika mahu tenang usahlah direbutkan kedudukan, pangkat dan harta.” Mungkin guru itu bersikap konservatif, tetapi cuba amalkan, insya-Allah ketenangan yang dicari dapat diraih melalui pendekatan ini!

No comments: