Wednesday, March 3, 2021

Rejab 19, 1442: Refleksi 9: Kerengga masuk telinga, merindui sekolah kewartawanan Islam...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."

"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah


SECEBIS KISAH IKTIBAR

PAGI kelmarin (1 Mac) saya berkebun. Sedang terbongkok-bongkok mengemaskan daun tebu, kepala saya terlanggar daun-daun pohon limau purut. Tiba-tiba saya rasa ada benda bergerak masuk ke dalam telinga kiri.

Saya lihat banyak kerengga di pohon limau. Subhanallah, seekor kerengga mungkin sudah masuk ke dalam telinga saya. Kerengga meronta-ronta dalam telinga saya. Terasa sakit dengan dengung lain macam. Krik, krik, krik, kerengga semakin masuk jauh ke dalam telinga saya.

Panik, saya 'cocok' telinga dengan anak jari. Kerengga sudah jauh ke dalam. Lintang pukang saya cari lidi ke atau apa benda kecil-panjang untuk keluarkan kerengga itu.

Saya amat cemas, takut kerengga itu akan masuk lebih dalam. Sambil membayangkan hal-hal teruk yang akan saya hadapi, mulut saya mengucapkan berulang kali, "Ya Allah, tolong aku, ya Allah tolong aku. Ya Allah tolong aku." Bunyi kerengga berhempas pulas mengorek dalam telinga saya sangat dahsyat.

Beberapa saat dalam berlari ke sana sini itu, saya terjumpa penyapu lidi. Saya patahkan sebilah lidi, dan korek telinga saya. Saya korek dan korek. Makin lama makin dalam. Saya makin cemas. Kepala dan tubuh sudah lencun. Kerengga sudah dekat dengan gegendang. Bunyi dan getarannya sangat dahsyat sebab terlalu hampir dengan gegendang.

Akhirnya, alhamdulillah, korekan saya berhasil. Kerengga yang sudah jadi 'arwah', akhirnya dapat dikeluarkan. Saya terduduk lega. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Saya duduk, bertakfakur lama. Seekor kerengga pun boleh mendatangkan akibat yang amat dahsyat kepada kita, fikir saya. Manusia ini memang lemah, kalau Allah SWT 'nak apa-apakan kita' termasuk nak bagi pengajaran kepada kita, YANG MAHA KUASA tak perlu hantar yang 'besar-besar'. 

Makhluk yang kenit macam kerengga pun boleh datangkan hal dahsyat kepada kita. Demikian juga sekarang ini, makhluk lebih halus daripada kerengga bernama Covid-19, satu dunia gempar kerananya.

Teringat kisah Namrud, nyamuk yang masuk dalam hidung dan otaknya pun boleh membuatkan dia jadi gila dan akhirnya mati. Ketika kerengga masuk dalam telinga, merintih saya pada Tuhan - tolong aku ya Allah, tolong aku ya Allah. Sungguh aku banyak dosa, tolong aku ya Allah, tolong jangan jadikan aku macam Namrud.


*************


ZAMAN remaja / muda saya agak huru-hara. Fikiran tak stabil termasuklah dalam memilih kerjaya. Kejap mahu buat itu, sekejap sudah ubah fikiran.


Pernah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke luar negara, tetapi selepas diminta mendaftar di Wisma Belia di KL, saya tak pergi. Akibatnya, beberapa pegawai datang ke rumah - semua ini menyusahkan ibu bapa; maafkan saya mak dan abah.


Akhirnya, saya ke menara gading, memilih jurusan Kewartawanan/ Komunikasi Massa. Di universiti, saya begitu 'terkesan' dengan seorang pensyarah yang mengajar 'Creative Thinking' (Pemikiran Kreatif).


Pada awal semester pengajiannya, hampir semua tugasannya saya dapat 'F' (gagal). Namun selepas memahami serta menjiwai kehendak dan rentaknya, pada akhir semester, kebanyakan tugasan diberinya saya 'score' (dapat markah tinggi) - itulah sehingga sekarang saya menjadi seorang pengkritik kreatif. Atau ini cuma 'perasan syok sendiri'...


Mengenai bidang Kewartawanan, ini adalah salah satu esei kritikan saya.


Puluhan tahun lalu, masyarakat kita asing dengan istilah dan kaedah Islam dalam pelbagai bidang kehidupan seperti perbankan, insurans (takaful) dan pajak gadai (Ar-Rahnu) tetapi hari ini identiti ini bukan saja mendapat sambutan di kalangan umat Islam tetapi juga bukan Islam. Malah pengajian bidang berkenaan sudah lama ditawarkan oleh universiti-universiti di seluruh dunia.


Sejak menceburi dunia kewartawanan sejak 1985, terfikir di benak saya, tidak ada pihakkah yang mahu mengusahakan apa yang dipanggil Kewartawanan Islam. Yalah, bidang kewartawanan (bidang komunikasi massa) adalah berdasarkan 'dua sekolah pemikiran' dari Barat iaitu Amerika Syarikat dan Britain. Guru-guru komunikasi yang didakwa terhebat dunia, kebanyakannya adalah dari belahan dunia ini.


Daripada mula belajar ilmu komunikasi massa pada 1982 sehinggalah bekerja dalam media massa arus perdana tidak pernah saya diperdengarkan (oleh pensyarah atau editor) akan ayat 6 Surah Al-Hujurat yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."


Sepanjang pengetahuan saya (mungkin saya tersilap), tidak kedengaran ada pihak di negara kita berusaha menubuhkan sebuah sekolah (pusat pengajian atau fakulti) Kewartawanan Islam di mana-mana IPT. Namun tidak lama dulu Malaysia melalui pengucapan menteri penerangannya ketika itu, Zainuddin Maidin ada mencadangkan penubuhan sebuah pusat kewartawanan Islam antarabangsa.


Cadangan itu dibuat pada ketika ketakutan dan kebimbangan terhadap Islam (Islamophobia) semakin menjadi-jadi. Media Barat dilihat sebagai mempunyai agenda memperkecil-kecilkan Islam dan orang Islam. Melalui penubuhan pusat itu adalah diharapkan wartawan bukan Islam dan juga Islam dapat dibimbing mengenai Islam.


Cadangan penubuhan pusat kewartawanan Islam antarabangsa itu diberi komentar oleh pensyarah Kewartawanan saya pada 1984 dulu, Eric Loo yang pernah menjadi pensyarah di University of Wollongong, Australia, dengan tajuk 'Not Islamic or Western - just good or sloppy journalism'.


"Just good or sloppy journalism," demikian rumus Eric dalam artikelnya itu. 'Sloppy' bermaksud tidak melaksanakan dengan cermat atau menyeluruh. Jadi Eric bermaksud, ada dua kemungkinan saja - iaitu kewartawanan yang baik atau kewartawanan yang buruk dan tidak ada kena mengena dengan apa dipanggil 'Kewartawanan Islam' atau 'Kewartawanan Barat'.


Namun Eric mengakui ada sarjana Islam di Malaysia seperti Dr Ahmad Murad Merican dari Universiti Petronas (Profesor di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan) sudah mendesak diwujudkan sebuah pusat pengajian Kewartawanan Islam. Beliau sudah menyiapkan sebuah kertas kerja mengenainya bertajuk 'Orientalism in reporting religion: Approaches to teaching journalism and Islam as a civilization yang boleh dilayari di http://ro.uow.edu.au/apme/


Satu perkara menarik yang disentuh Eric ialah berkenaan halal dan haram. Apa yang halal dan apa yang haram? Seorang wartawan Muslim tentulah arif tentang halal dan haram. Halal dan haram bukanlah berkenaan makanan saja seperti difahami sesetengah orang tetapi merangkumi seluruh bidang kehidupan.


Apakah wartawan dan media massa Muslim Malaysia kenal dan mengambil kira halal dan haram secara keseluruhannya? Tentulah halal menyiarkan berita yang benar dan haram menyiarkan berita tidak benar. Tetapi apakah media massa Malaysia mengambil kira perkara ini? Apakah memutar-belitkan atau memusing-musingkan (spinning) berita itu halal?


Jika pengamal media beragama Islam sendiri tidak peka pada halal dan haram, apa pula yang mahu disibukkan oleh pak menteri yang kononnya mahu mendirikan sebuah pusat kewartawanan Islam antarabangsa. Apa yang mahu 'di-Islamkan' sedangkan media massa dalam negara pun tidak berpandukan hukum-hakam Islam?


Demikianlah sesetengah wartawan dan media massa milik orang Islam sudah menunjukkan contoh buruk (tidak mengenal halal dan haram), jadi bagaimana kita mahu mengemukakan gagasan penubuhan sekolah kewartawanan Islam itu?


Jalannya nampak berliku, namun masih ada cahaya di hujung terowong. Mungkin sekolah kewartawanan Islam ini tidak dapat direalisasikan dalam masa terdekat tetapi sebagaimana kita boleh melahirkan doktor, jurutera, peguam dan politikus soleh, kita juga boleh melahirkan wartawan bertakwa yang pasti tahu mana satu halal dan mana satu haram!


Dan sekarang ini, dengan perkembangan pantas teknologi maklumat, cabarannya lebih hebat dengan ada pihak berkata kewartawanan media cetak sudah sampai ke penghujungnya... 

No comments: