Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
SEKARANG ini umat Islam melalui bulan Rejab. Pada penghujung bulan ini ummah menyambut Israq Mikraj selepas itu menjelma bulan Syaaban dan kemudian Ramadan. Bulan ini dianggap kemuncak ibadah di mana hampir semua orang cuba berbuat baik, hatta si penjahat pun!
Hakikatnya umat Islam disuruh buat baik (kebajikan) sepanjang masa bukan pada Ramadan saja. Berbuat baik ini perlu dalam semua lapangan kehidupan termasuklah hal membabitkan pemerintahan seperti pilihan raya. Justeru segala bentuk penipuan, manipulasi, penyalahan guna kuasa adalah kejahatan yang perlu diperangi setiap orang - jika tidak mampu dengan tangan (kuasa), gunakan lisan (mulut) dan selemah-lemah iman adalah membenci dalam hati.
Ramadan sering disebut sebagai madrasah atau universiti penyucian jiwa dan diri. Tujuan utama universiti Ramadan adalah bagi melahirkan insan bertakwa. Namun ramai orang termasuk pemimpin boleh menjadi baik pada Ramadan tetapi selepas itu kembali 'berkawan' dengan iblis syaitan dan 'bertuhankan' nafsu.
Pelbagai kejahatan seperti penyelewengan kuasa termasuk penipuan berhubung pilihan raya, rasuah, pemerasan dan ketidak-adilan perundangan dan sosial yang menyebabkan ketidak-tenteraman masyarakat dan negara.
Berdasarkan senario ini, adalah penting diperingatkan bahawa perang melawan kejahatan perlu dilakukan sepanjang masa - tidak kira pada bulan Ramadan atau bulan lain.
Kejahatan pemerintah adalah termasuk melakukan kezaliman ke atas rakyat. Bagi rakyat kebanyakan, keadilan sosial seperti sistem pencukaian yang adil perlu diadoptasi oleh pemerintah, kerajaan-kerajaan Islam lampau telah menunjukkan contoh terbaik; adalah sesuatu yang tidak adil jika rakyat miskin dan papa diperlukan membayar cukai seperti GST - kerana ini sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh pemerintah Islam yang amanah.
Demikian juga berkelakuan ganas dengan memonopoli media massa bagi membunuh karektor penentang dengan menyebar fitnah adalah bayangan manusia berhati kering yang tidak ada sifat-sifat kemanusiaan. Mereka membenarkan sifat kebinatangan malah kesyaitanan hidup subur dalam jiwa mereka, lantas bertindak ganas termasuk memenjarakan individu penentang untuk terus berkuasa dulu, kini dan selamanya.
Demikianlah, universiti Ramadan diharapkan dapat mentalbiyah seluruh ummah, malangnya, banyak pihak dan individu termasuk politikus terutama di kalangan pemimpin gagal menjadi baik sepanjang masa...mereka 'baik' pada ketika tertentu sahaja seperti pada bulan Ramadan dan ketika menunaikan umrah dan haji (bulan Zulkaedah dan Zulhijah) tetapi menjadi 'kaki rasuah' dan pelbagai 'kaki' lagi sepanjang tahun termasuk ketika pilihan raya!
Mereka yang sudah mengerjakan haji (melengkapkan Rukun Islam) mendapat penghormatan tertinggi masyarakat (dipandang sebagai orang baik-baik) dan dari sudut pandangan agama jika mereka ikhlas dalam ibadat ini lantas mendapat haji mabrur, balasan yang dijanjikan Allah tiada lain melainkan syurga.
Persoalan yang ingin kita fikirkan sejenak di ruangan ini adalah mengapa haji dan hajah ramai di kalangan kita tetapi aneka penyelewengan (termasuk kerakusan kuasa, gejala rasuah, ampu-mengampu malah membunuh) dan maksiat semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita? Apakah haji dan hajah tidak mengorak usaha atau membantu pihak lain dalam membanteras penyelewengan dalam negara kita? Atau adakah mereka membuat 'pekak badak' saja terhadap pelbagai ketidak-adilan yang berleluasa dalam masyarakat?
Cendekiawan ada mengungkapkan bahawa tragedi (seperti berleluasanya penyelewengan dan maksiat) bukanlah disebabkan keganasan si penjahat tetapi sikap membisu, memekakkan telinga dan membutakan mata oleh orang baik-baik.
Mereka membenarkan kejahatan merajalela; ya setiap tahun berjuta-juta orang ketika mengerjakan haji berikrar untuk tunduk dan patuh serta berkhidmat kepada Allah Yang Kuasa, tetapi selepas balik dan bergelar haji dan hajah di manakah mereka sudah pergi? Kenapa dibiarkan aneka ketidak-adilan termasuk penyelewengan oleh pemimpin berleluasa?
Cendekiawan prihatin amat berharap haji dan hajah tidak terlupakan tugas suci mereka untuk memerangi ketidak-adilan, kesombongan serta kejahilan dengan lidah, tangan, hati dan segala segala sumber yang ada pada mereka.
Sesiapa yang sudah menunaikan haji, mereka diharap dapat mempamerkan 'kebaikan tertinggi' dalam apa saja mereka kerjakan selaras dengan ajaran Rasul, Nabi Muhammad SAW.
Ya, ada ratusan ribu insan bergelar haji dan hajah di negara kita, persoalannya di manakah mereka pada ketika negara digegarkan dengan pelbagai kejahatan seperti berleluasanya rasuah, penyelewengan kuasa, penyelewengan sumber termasuk kewangan. Mengapa membisu seribu bahasa...atau lebih buruk lagi adakah mereka bersama-sama 'geng kejahatan' ini?
Jumlah haji dan hajah yang ribuan orang itu sudah pasti kuat suara mereka dalam menentang penyelewengan, kezaliman serta maksiat yang 'subur' di sekeliling mereka. Ya, haji dan hajah 'ada di mana-mana' tetapi di manakah suara mereka itu? Mengapa mereka membisu?
Haji dan hajah, insya-Allah adalah orang baik-baik. Malah mereka memang baik sekali. Dalam kesempatan yang ada, marilah kita haji dan hajah meluangkan masa sejenak dua untuk merenung kata-kata bijak pandai bahawa tragedi kejahatan yang berlaku seperti rasuah wang berbilion-bilion ringgit, penyelewengan dalam pelbagai urusan kehidupan dan aneka maksiat bukanlah disebabkan keganasan si penjahat tetapi kerana sikap membisu dan memekakkan telinga oleh orang baik-baik!
No comments:
Post a Comment