Friday, March 16, 2018

Titipan Seorang Pesara (23): Mencari Hang Tuah di Riau...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

SEJAK kecil, kehidupan saya diwarnai oleh kisah-kisah kehebatan Hang Tuah. Ini kerana rumah saya hampir dengan sebuah perigi lama yang diberi status Perigi Hang Tuah yang terletak di Kampung Duyong, Melaka. 

Orang-orang tua di persekitaran hidup saya, menceritakan kehebatan pahlawan ini. Percaya atau tidak, antara acara hari raya saya dan beberapa rakan pada zaman kanak-kanak kami dulu ialah melawat Perigi Hang Tuah. Sebuah masjid di Kampung Duyong yang dulu hanya dikenali sebagai Masjid Jamek Kampung Duyong sudah bertukar nama kepada Masjid Laksamana Hang Tuah (sejak Januari 2010).

Beberapa tahun lalu didirikan Perkampungan Hang Tuah menelan kos RM132 juta. Semua ini membawa maksud pelbagai tempat dan binaan seperti Perigi Hang Tuah, Makam Hang Tuah, Masjid Laksamana Hang Tuah dan Perkampungan Hang Tuah adalah penemuan baru (oleh orang dan pemerintah zaman ini) bagi memanjangkan kisah dan kewujudan pahlawan itu.

Sedangkan pada zaman penjajah dulu, perkara seperti ini tidak diangkat pemerintah manakala orang awam tidak ada kesempatan memikirkan projek seumpama ini kerana masing-masing sibuk mencari sesuap nasi bagi memenuhi keperluan masing-masing. Almaklumlah, orang Melayu kampung pada zaman penjajahan dulu, begitu susah kehidupan mereka.

Sesuai dengan pengalaman berdasarkan peningkatan usia sehingga pencen sekarang ini dan melalui pembacaan, saya sedar kisah Hang Tuah bukan saja 'dirakamkan' di Melaka tetapi juga di bahagian dunia Melayu lain seperti di Riau, Indonesia.

Baru-baru ini saya berkesempatan ke Dumai dan Pekanbaru di provinsi Riau...dan apabila di sana, saya cuba 'mencungkil' kisah Hang Tuah di kalangan penduduknya. 

Di Dumai ada Jalan Hang Tuah, demikian juga di Pekanbaru. Seorang penduduk Dumai memberitahu saya, ada kubur Hang Tuah di tempatnya, demikian juga seorang penduduk Pekanbaru mendakwa ada kubur Hang Tuah di sana.

Suatu pagi ketika membelek-belek kitab di rak buku Masjid Muslimin, Dumai saya ketemui buku 'Kota Dumai: Mutiara Pantai Timur Sumatera' oleh Herdi Salioso (Uni Press Pekanbaru 2003) ada diceritakan mengenai Hang Tuah...ya, bangsa Melayu kini tidak perlu mencari Hang Tuah sebaliknya meneladani laksamana terbilang ini...

Antara lain Herdi menulis: "Pemikiran Sir Stanford Raffles...di mana beliau telah memikirkan dan mengambil suatu keputusan yang berani iaitu menukarkan daerah Bengkulu yang luas dan kaya dengan kekayaan alam untuk ditukarkan dengan sebuah pulau kecil Tumasik (sekarang Singapura) yang tidak mempunyai kekayaan alam apa-apa, bahkan tidak punya banyak penghuninya.

"Ide 'brilyn' (brilliant) yang dipunyai Raffles ini sebenarnya telah dimiliki bangsa Melayu kita. Apabila kita rajin menelaah dan mempelajari kitab-kitab sejarah lampau di mana dalam suatu hikayat pada masa kejayaan kerajaan Malaka (Melaka), Hang Tuah dengan gagah berani mempertahankan setiap jengkal perairan Selat Melaka dari kekuasaan bangsa lain, demi kemajuan negeri Melayu Malaka tersebut.

"Saat ini setelah mereka semua tinggal nama, tinggal suatu ide besar yang cemerlang bagi kemajuan sangat pesat di kedua kawasan (Selat Malaka)!"

No comments: