Sunday, March 11, 2018

Titipan Seorang Pesara (21): Pemimpin usah 'bikin drama' pada PRU nanti...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

ALHAMDULILLAH, subuh Ahad 25 Februari lalu, saya berpeluang bersolat berjemaah di sebuah masjid di pinggir ibu kota Kuala Lumpur. Selepas solat, ada kuliah subuh. Tersentak saya tatkala mendengar penceramah menyentuh mengenai 'bala' menjadi pemimpin.

Pemimpin katanya, perlu sentiasa mendampingi rakyat. Tahu susah senang rakyat, macam Khalifah Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz. Umar Al-Khattam malam-malam menjengah kehidupan rakyatnya, suatu malam terjumpa beliau seorang ibu 'menjerang batu' dalam periuk sebagai usaha 'mengaburi' anak-anaknya yang sedang kelaparan.

Umar Abdul Aziz pula masyhur dengan kisah beliau memadam lampu 'negara' (kerajaan) ketika mahu melakukan urusan 'kekeluargaan' dengan anaknya...pendeknya integriti beliau tersangat tinggi...harta negara sekecil apa pun tidak sesekali digunakan untuk urusan peribadi.

Sekarang ini, kata sang ustaz kita ada ramai pemimpin yang mendampingi rakyat ketika mereka mahukan sesuatu seperti berhajat menjadi calon pilihan raya dan selepas itu terbabit dalam 'pelbagai drama' kononnya mereka amat rapat dengan rakyat.

Menjelang pilihan raya akan ada 'drama' sesetengah pemimpin seperti mereka 'naik' (tunggang) basikal, menoreh getah, menggoreng mi dan sebagainya.

Sewajarnya semua orang apatah lagi pemimpin mengamalkan sunah-sunah mudah Rasulullah s.a.w. agar mereka disayangi Allah SWT dan di kalangan makhluk-Nya bukan saja di dunia ini tetapi juga di langit.

Sayogia sunnah dikhabarkan itu dapat dimanfaatkan semua termasuklah calon pilihan raya agar mereka akan sentiasa disenangi; tetapi niatnya mestilah betul iaitu untuk mengikut sunnah Rasul seterusnya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT. Soal disenangi manusia seterus menang pilihan raya itu adalah bonus, yang penting kita mahu sentiasa berada di jalan-Nya yang lurus. 

Ustaz itu sempat memberi tujuh sunnah saja; yang pertama sentiasalah senyum, mempamerkan wajah manis kepada sesiapa saja; yang kedua mendahuluilah memberi salam dan adalah lebih baik lagi dapat dijabat orang berkenaan; ketiganya banyakkan diam kerana diam itu adalah satu ibadah. 

Berkenaan hal diam ini, sang ustaz berkata sewajarnya seseorang itu bercakap apabila perlu saja. Apabila seseorang itu diam dia akan dianggap hebat tetapi sebalik saja membuka mulut, dia akan dinilai lebih hebat jika buah cakapnya adalah mutiara sebaliknya nilaian dirinya jatuh terperosok jika mulutnya menuturkan 'hal longkang'. 

Sunnah keempat ialah kita menjadi seorang pendengar yang baik (beri tumpuan kepada orang yang bercakap dan jangan suka memotong cakapnya). Apabila kita sudah memberi dia peluang bercakap sepuas-puasnya, tentunya dia rela hati mendengar cakap kita pula. 

Sunnah kelima ialah sentiasa tampil menarik; katanya, Rasulullah s.a.w. apabila berjalan sentiasa membawa bekas (orang sekarang kata pouch) yang di dalamnya ada peralatan mendandan diri seperti minyak rambut, minyak wangi, kayu sugi dan gunting) untuk membolehkan baginda sentiasa menjaga penampilan diri. 

Yang keenamnya adalah sentiasa menyenangi orang lain (sebarkan salam). Adalah senang untuk kita menyenangi atau kasihi orang yang kita cintai dan dia mencintai kita tetapi bagaimana mahu mengasahi orang yang membenci kita? Inilah yang dilakukan oleh Rasul s.a.w.; baginda boleh mengasihi orang Yahudi yang setiap hari membuat onar kepadanya. Demikian juga perbuatan jahat seorang wanita tua dibalasnya dengan kebaikan sehingga ramai individu yang memeluk Islam dengan kaedah ini. 

Ketujuh, baginda Rasul sentiasa bersopan santun dalam sebarang tindak tanduknya. Jika kita bercakap cakaplah elok-elok sekalipun dengan lawan atau musuh kita. 

Berdasarkan ini, alangkah moleknya jika sunnah Rasul ini dapat kita (termasuk calon pilihan raya dan penyokong mereka) mempratikkannya dalam lapangan kehidupan seperti ketika berkempen. Alangkah buruknya jika menggunakan kaedah tidak mengikut sunnah seperti pendekatan samseng semata-mata untuk menang pilihan raya. 

Pendekatan politik samseng dan tipu daya bukan perkara baru dalam pilihan raya. Allahyarham Khatijah Sidek, pemimpin Muslimat PAS pertama yang menyertai pilihan raya pada tahun 1959, ada mengkisahkan hal ini dalam buku Memoir Khatijah Sidek - Puteri Kesateria Bangsa (UKM) 1995. 

Dalam Bab 12 - Malaya Merdeka, dalam buku itu ditulis: Di peringkat Parlimen pula dalam pilihan raya umum 1959, kami (PAS) memperolehi 13 kerusi. Akan tetapi Setiausaha Agung PAS, Othman Abdullah, keluar daripada PAS dan melompat ke pihak kerajaan. Kerana itu tinggal 12 kerusi PAS di Parlimen. 

Tuanku Abdul Rahman menghantar Othman naik haji ke Makkah untuk menaikkan namanya di kalangan rakyat. Untuk menjadi lebih popular, dia juga membuat kajian tentang kapal haji yang setiap tahun membawa jemaah haji Malaya ke Makkah. 

Setelah pulang dari Makkah, dia menyerang kami, dengan hebat sekali. Dia menuduh Yang Dipertua kami, Dr Burhanuddin, sebagai komunis, kerana pada masa Darurat pada 1948, beliau secara terbuka menyeru orang Melayu jangan menyerang kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan, dan British telah menggunakan ini sebagai alasan untuk memenjarakannya. 

Sekarang Othman membangkitkan semula cerita lama untuk menuduh Dr Burhanuddin sebagai komunis. Kami dalam PAS tidak menduga akan memenangi Kelantan dan Terengganu pada 1959 itu sungguhpun kedua-dua negeri itu kuat dari segi agama. Kerajaan Perikatan pimpinan Tuanku Abdul Rahman memang sangat kuat dan mereka menggunakan banyak wang sumbangan tauke besar Cina untuk menentang kami, sebuah parti orang Melayu yang daif. 

Kami hanya bersandar pada orang kampung yang miskin yang untuk menyewa sebuah mikrofon pun mereka tidak mampu. Sering kali kami terpaksa buat ucapan tanpa mikrofon dan pembesar suara. Bukan saja kerajaan Umno yang menghalang kami; peniaga Cina juga buat begitu. Sekalipun kami dapat mikrofon, kami tak dapat pinjam bateri untuk alat pembesar suara. Kami tak dapat kereta untuk kempen pilihan raya. 

Dalam pilihan raya 1959, semua menteri Umno dan Perikatan menyerang kami sehebat-hebatnya, menuduh kami komunis untuk menakut-nakutkan orang kampung. Dakyah ini berjaya, akibatnya kami gagal di Perlis, sebuah kubu kuat PAS; dan rakyatnya kuat beragama. Kami bahkan lebih yakin dapat menawan Perlis daripada mana-mana negeri lain di Persekutuan. 

Tapi kerajaan menggunakan sepucuk surat yang ditulis oleh Dr Burhanuddin semasa pemerintahan BMA (Pentadbiran Tentera British - selepas tamat Perang Dunia Ke-2 pada 1945 hingga pertengahan 1946) sebagai senjata sulitnya. Pada masa itu beliau terlibat dalam penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) untuk memperjuangkan hak orang Melayu dan kemerdekaan Malaya. 

Semboyan mereka ialah 'merdeka' dengan landasan berjuang bersama Indonesia bagi penubuhan Melayu Raya, iaitu sebuah gagasan besar terdiri daripada Malaya, Filipina dan Indonesia serta menyatukan seluruh Nusantara. PKMM diharamkan pada 1948. 

Semua pemimpin PKMM ditahan dan dipenjara. Ahmad Boestamam, pemimpin sayap pemuda API, Ishak Haji Muhammad anggota Socialist Front, dan Dr Burhanuddin Helmi, Yang Dipertua PAS, semuanya dipenjarakan bersama anggota lain, khasnya ahli jawatankuasa. 

Pihak kerajaan membuat salinan surat yang dikatakan ditulis oleh Dr Burhanuddin; kemudian pada pukul 4.00 hari mengundi, orang Umno pergi mengetuk pintu rumah orang kampung menunjukkan surat itu kepada penghuni sambil memberi amaran: "Kalau kamu undi PAS, bererti kamu undi komunis dan akan masuk penjara serta-merta." 

Orang kampung sangat takut. Mereka tak ada masa untuk datang kepada kami bagi mendapatkan nasihat kerana hari itu hari mengundi dan ada beberapa jam saja lagi sebelum membuang undi. 

Kami juga tak ada masa untuk mengambil langkah menentangnya; kerana itu, kami kalah teruk di Perlis tanpa mendapat satu kerusi pun. Kedah juga terpengaruh oleh dakyah ini; maka kami hanya memenangi dua buah negeri, iaitu Terengganu dan Kelantan.

No comments: