Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
PILIHAN Raya Umum (PRU) ke-14 insya-Allah akan diadakan dalam masa terdekat. Tidak kira pihak mana yang akan berkuasa, antara perkara terpenting adalah memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara pada pasca PRU.
Janganlah selepas menang, pihak pemerintah terus mendera rakyat menepati pepatah 'habis madu sepah dibuang' kerana undi mereka tidak diperlukan lagi buat tempoh masa yang panjang - mungkin lima tahun lagi apabila PRU berikutnya diadakan.
Misalnya sekarang ini Cukai Barangan Perkhidmatan (GST) yang membabitkan semua rakyat (kerana rakyat perlu membeli barang yang hampir semuanya dikenakan GST) adalah enam (6) peratus dinaikkan lebih tinggi daripada itu. Mungkinkah sehingga 7 atau 9 peratus?
Demikian juga keperluan lain rakyat seperti perumahan, perkhidmatan utiliti, kenderaan yang membabitkan cukai, tol, tambang, minyak dan sebagainya. Usahlah dipermain-mainkan kepercayaan rakyat dengan menaikkan harganya selepas diundi (pilih) ke puncak kuasa,
Ketika berada di Indonesia baru-baru ini, penulis mendapati rakyat negara jiran ini termasuk media massanya bebas mengkritik pemerintah dan pemimpin. Media massanya begitu keras mengingatkan pemimpin bahawa tidak guna pemimpin saja berubah tetapi nasib rakyat tetap sama - tidak berubah, miskin di dalam sebuah negara yang mewah sumber alamnya.
Sebuah akhbar melalui artikel utamanya mengingatkan: "Para pemimpin yang baru terpilih...jangan hanya 'bisa' membuat program kerja baru, tapi 'bisa' melaksanakannya." Rakyat sudah muak dengan janji-janji, mereka mahu menikmati hasil daripada program dan projek kerajaan tetapi hal itu tidak berlaku - kehidupan mereka masih sama seperti dulu sekalipun pemimpin sudah acap kali berubah.
Rakyat melalui akhbar mengingatkan bahawa "kebanyakan pemimpin tetap sama, belum dapat kuasa banyaklah janji dan pameran kebaikannya tetapi selepas itu janji tinggal janji..." Ya, tiada sebab untuk rakyat gembira kerana harga minyak di Indonesia telah dinaikkan malah dilaporkan tarif listrik (elektrik) juga akan dinaikkan tidak lama lagi.
Bagi kita, negara wujud kerana adanya pemimpin dan rakyat. Negara tidak mungkin wujud jika ada kerajaan tetapi tiada rakyat, dan begitu sebaliknya jika ada rakyat tetapi tiada kerajaan. Jadi wajiblah pemerintah 'menyantuni' (berbuat baik) kepada rakyat, malangnya yang kerap digembar-gemburkan bahawa rakyat hendaklah taat kepada pemimpin.
Semua orang atau pihak mempunyai pandangan mereka mengenai pemimpin, tetapi kata mutlak atau pemutusnya adalah apa yang ditentukan oleh Allah SWT melalui kitab dan rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Berhubung soal pemimpin ini ada hadis bermaksud: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu bertanggungjawab ke atas sesiapa yang dipimpinnya maka seseorang ketua adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya."
Pemimpin yang adil dijanjikan oleh Allah SWT dengan balasan yang baik, mendapat naungan Allah SWT pada hari Pembalasan nanti. Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud bahawa salah satu golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari akhirat nanti ialah pemerintah yang adil
Ya, pemimpin yang adil itulah yang didambakan oleh seluruh rakyat. Dia dijanjikan naungan Allah SWT di akhirat nanti; di dunia ini dia menaungi seluruh rakyatnya, bukan kelompok tertentu atau orang yang menyokong atau mengundinya saja.
Namun hal inilah yang memerangkap ramai pemimpin, ia tidak berkecuali kepada semua orang - itulah media massa diperlukan untuk menegur dan memberi peringatan, bukan hanya untuk mengampu semata-mata.
Bagi rakyat Indonesia yang sempat 'disantuni' (berbual-bual), kebanyakannya mengadu hal yang sama 'dari dulu sampai sekarang' - "pemimpin berubah tetapi rakyat tetap susah.
Seorang penduduk mengingatkan; "Ya pemimpin memang begitu. Belum jadi pemimpin pandai berjanji, sudah jadi pemimpin dia sudah ke mana..."
No comments:
Post a Comment