Tuesday, March 13, 2018

Akhiri kemualan menunggu keputusan PRU...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

BN menang kerusi Parlimen .........di Sabah. Satu lagi kerusi untuk BN. BN menang di Sarawak. BN menang lagi di Sarawak...demikian betapa mualnya kita suatu ketika dulu apabila menatap TV atau mendengar radio bagi mengetahui keputusan pilihan raya umum (PRU).

Seorang kenalan saya di Britain memberitahu dia mengetahui beberapa negeri di Semenanjung sudah jatuh ke tangan pembangkang mulai jam 3.00 petang waktu di sana (11.00 malam waktu Malaysia) pada hari pengundian (PRU) tidak lama dulu. Malangnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak menyedarinya sehingga menatap akhbar pada keesokan harinya.

Demikian betapa ‘lembapnya’ media massa elektronik (TV dan radio) dalam menyiarkan keputusan pilihan raya. Dari satu segi alangkah anehnya senario ini kerana pada zaman kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat masakini, TV dan Radio Malaysia ketinggalan bertahun-tahun ke belakang daripada perkembangan semasa. Entah kenapa siaran TV dan radio ini mahu terus kekal sebagai alat perhubungan ketinggalan zaman.

Pada malam berkenaan, pada mulanya saya bergantung kepada siaran TV untuk mendapatkan maklumat terkini. Selepas jam 10 malam, saya menjadi hampa dan marah serta 'mual bagai nak muntah' kerana yang kerap disiar dan ulang siar adalah keputusan di Sabah dan Sarawak yang dimenangi mudah calon-calon BN.

Menjelang jam 11.00 malam, diumumkan kerajaan BN berjaya dibentuk di beberapa negeri dan kira-kira jam 2.00 pagi, BN diumumkan berjaya membentuk kerajaan Pusat dengan majoriti mudah. Ketika menunggu keputusan, pengacara berbual dengan beberapa tokoh jemputan. 

Sembang-sembang mereka memual dan mengecewakan. Pengacara dan sebahagian besar jemputan kerap menggunakan ‘kita’ bagi merujuk BN dan membayangkan pembangkang seolah-olah bukan rakyat, sebaliknya pendatang asing yang cuba menawan negara ini.

Pembangkang digambarkan telah melakukan kesalahan, hakikatnya penyertaan pembangkang dalam pilihan raya adalah memperkaya dan memperkukuhkan lagi proses demokrasi yang diperakui di negara ini. Pengacara menunjukkan sikap buruk apabila mempamerkan reaksi dan mimik kecewa apabila mengumumkan kerus-kerusi utama sudah jatuh ke tangan pembangkang.

Pengacara dan jemputan terus berbual-bual yang isinya entah apa-apa, sedangkan rakyat seperti saya dahagakan maklumat. Selepas jam 11.00 malam, saya yang sudah terlampau geram, membuka internet dan melayari laman-laman berita dan blog tertentu. Ternyata laman ini lebih pantas menyalurkan maklumat, mereka melaporkan beberapa negeri sudah jatuh ke tangan pembangkang.

Siaran TV berterusan dengan perbualan memualkan sehinggalah menamatkan siaran liputan keputusan pilihan raya itu kira-kira jam 3.00 pagi. Ketika menamatkan liputan itu, keputusan pilihan raya negeri-negeri masih tergantung. Penonton tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mereka dibiarkan tertunggu-tunggu sedangkan siaran TV menyiarkan rancangan-rancangan ulangan yang membosankan. 

Inilah TV dan radio di Malaysia yang menunjukkan bahawa ia betul-betul menepati peribahasa ‘katak di bawah tempurung’. Masakan tidak kerana orang di seantero dunia sudah tahu perkembangan dalam negara kita sedangkan sesetengah orang di Malaysia sendiri masih belum mengetahuinya. Syabas TV dan radio di Malaysia yang agaknya cuba membawa rakyat Malaysia ke Zaman Batu!

Sesetengah pengundi dengan lantang berkata: "Kami dah tak percaya pada berita di TV." 

Syukur pada era internet sekarang ini tidak perlulah lagi kita berasa 'mual nak muntah' dengan 'gelagat' radio dan televisyen Malaysia dalam menyiarkan keputusan PRU. Bukan hanya keputusan pilihan raya, bahkah hampir keseluruhan senario pilihan raya sudah berubah dengan adanya media sosial yang kian bercambah.

Seorang pakar komunikasi, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy dalam artikelnya bertajuk 'Media sosial mampu pengaruhi pengundi PRU-14' antara lain menulis; "PRU-14 yang bakal diadakan berunsur 'Facebook Election' berikutan populariti media ini yang menyalurkan maklumat yang lebih banyak berbanding dengan platform media sosial lain seperti Twitter dan Instagram.



World Internet Stats merekodkan daripada penduduk Malaysia mencecah 31 juta, pengguna plaform Facebook sahaja mencecah hampir 20 juta orang.

Ini menunjukkan hampir dua pertiga daripada masyarakat kita lebih terdedah kepada penggunaan Facebook, terutama dalam menyalur dan berkongsi maklumat secara online, apatah lagi aliran ini akan melonjak berkali ganda apabila musim PRU.

Ia juga banyak berkait rapat dengan elemen yang mampu disalurkan oleh platform ini berbanding platform media sosial lain, seperti versi berita online oleh pemberitaan agensi media perdana mahu pun media internet persendirian, portal, blog, video interaktif, mahu pun video yang dimuat naik oleh netizen yang mempunyai keluhan pendapat tersendiri dan unsur lain yang dimuat naik serta dikongsi banyak kali.

Sudah tentu, pembentukan masyarakat berteknologi tinggi membantu orang ramai mendapatkan keputusan pilihan raya yang cepat dan tepat, lantas 'mengalahkan sama sekali' laporan media tradisional yang memual dan menjengkelkan!

Andai anda wahai pembaca mahu mengakhiri 'kemualan bagi nak muntah' mengikuti keputusan pilihan raya, eloklah 'tidurkan saja' radio dan televisyen Malaysia! Kalau tak 'muntah', hampir pasti hati anda akan 'sakit sesakitnya'!

No comments: