ALLAHU AKBAR...Allahu Akbar...Allahu Akbar...Laa ilaaha illallaahu Allaahu Akbar...Allahu akbar wallilaah ilhamd...
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Ayat 96 Surah Al-A’raaf bermaksud: “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri (negara) beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.”
Bersyukur ke atas hadrat Illahi di atas kurnia dan limpah rahmat-Nya maka kita kita berjaya melalui fasa Ramadan dengan jayanya (isya-Allah) dan kita bersama-sama menyambut lebaran, Aidilfitri. Diucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri (Minal aidzin wal faizin), dipohon keampunan bagi segala kesalahan dan kesilapan kami.
Berlalunya Ramadan bukan bermakna berlalunya segala kebaikan dalamnya. Ramadan adalah sebuah universiti atau madrasah yang mendidik atau melatih dan melengkapkan diri untuk menempuh cabaran dalam penghidupan. Alangkah ruginya jika kehadiran Ramadan dijadikan jambatan untuk mengaut segala kebaikan dijanjikan tetapi selepas itu, kehidupan kita adalah sama seperti sebelum kedatangan Ramadan.
Tetapi berdasarkan pengalaman lalu, itulah yang berlaku dalam masyarakat kita, terutama membabitkan orang Melayu. Salah satu kayu pengukur mengenai perkembangan ini adalah berdasarkan kehadiran jemaah di masjid. Jika sebelum Ramadan, kehadiran jemaah adalah tersangat kurang sehingga untuk memenuhi saf pertama pada solat waktu pun sukar, kehadiran Ramadan menceriakan masjid tetapi selepas solat sunat Aidilfitri, masjid akan kembali menjadi terlalu sepi; mungkin terpaksa menunggu kebanjiran pengunjung pada Ramadan tahun berikutnya.
Ibadat lain yang menjadi kelaziman ketika Ramadan seperti bertadarus dan membaca al-Quran juga seolah-olah sudah sampai ke penghujung, demikian juga amalan kebaikan lain seperti bersedekah. Sebaliknya, sebalik saja fajar senja Ramadan berlabuh, bermulalah atau bersemaraklah kehidupan melalaikan antara lain program hiburan melampau oleh sesetengah pihak termasuk televisyen.
Cendekiawan Islam antaranya, Abul A’laa Al-Maududi dan Sayid Qutb memberi amaran keras kepada ummah agar mengambil Islam sepenuhnya atau meninggalkan Islam semuanya. Ilmuan Islam kontemporari, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi pula mengingatkan janganlah hendaknya umat Islam menjadi hamba Ramadan sebaliknya menjadi hamba Allah SWT. Apa yang dimaksudkan cendekiawan ini, umat Islam perlu mengikuti dan melaksanakan hukum hakam (perintah dan larangan Allah SWT) sepanjang masa dalam kehidupan mereka, bukan hanya beriya-iya pada Ramadan saja.
Tarbiyah Ramadan sewajarnya sudah dapat melengkapkan seseorang atau pihak itu untuk menjalani seluruh kehidupan mereka berdasarkan kehendak Islam. Apa yang dikehendaki Islam itulah diikuti dan patuhi sejajarnya dengan doa dalam solat yang antara lain bermaksud; “Sesungguhnya hidup dan matiku hanya untuk Tuhan seru sekalian alam.”
Apabila perkara ini difahami, kita insaf seluruh tingkah-laku (kehidupan) kita tidak terlepas daripada hukum-hakam Allah SWT. Perkara ini termasuklah kehidupan berpolitik, yang sesetengah pihak masih segan-segan mengaitkannya dengan kehendak agama. Mereka berpendapat politik lain, agama lain. Hakikatnya politik itu terletak di bawah kehendak Islam – semuanya sudah ditunjuki oleh penghulu kita, Nabi Muhammad s.a.w. yang telah membawa segala perkhabaran gembira mengenai Ramadan itu.
Jika janji-janji Ramadan seperti ganjaran berlipat ganda ke atas setiap kebaikan dan kehebatan Lailatulqadar yang melebihi 1,000 bulan kita yakini, maka mengapa tidak tunjuk ajar Rasul dalam segala bidang penghidupan seperti berpolitik? Apakah kita masih mahu menganggap politik itu berasingan daripada kehendak agama?
Sehubungan itu, pada masa kita gembira menyambut Aidilfitri, marilah kita bermuhasabah diri apakah kehidupan kita sekarang 100 peratus mengikut acuan Islam, atau kita pandai-pandai mengurangi dan mencukupinya. Pergunakanlah baki usia kita untuk berada di jalan-Nya kerana kita cukup takut, jangan-jangan Ramadan yang baru berlalu itu adalah yang terakhir buat diri kita. Selamat Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
ALLAHU AKBAR...Allahu Akbar...Allahu Akbar...Laa ilaaha illallaahu Allaahu Akbar...Allahu akbar wallilaah ilhamd...
No comments:
Post a Comment