DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Jauhi sifat memfitnah
Khalil bin Ahmad berkata: "Siapa yang memfitnah orang lain kepadamu, dia akan memfitnahmu kelak. Siapa yang mengkhabarkan keburukan orang lain kepadamu, dia akan mengkhabarkan keburukanmu kepada orang lain." - Hidayah Mac 2011
Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana kita dipanjangkan usia untuk memuzakarahkan permasalahan ummah, kali ini berkaitan umat Islam sejagat, terutama di rantau Arab.
Dulu dalam konflik Palestin dan Bosnia Herzegovina, kita sering menuding jari kepada kuasa besar dan badan dunia (PBB) yang gagal menangani permasalahan di negara terbabit, tetapi kini dalam menangani permasalahan di dalam negara umat Islam sendiri, ummah dan organisasi terbesar yang kerap diuar-uarkan sebagai payung ummah, Pertubuhan Persidangan (sekarang Kerjasama) Islam (OIC) gagal bertindak.
Jika konflik Palestin membabitkan Israel yang sering didakwa sebagai anak emas Amerika manakala krisis Bosnia membabitkan pengganas Serb dan Croat yang jelas bukan Islam, tetapi apakah alasan ummah untuk tidak berusaha meleraikan perbalahan yang kini berapi di rantau Arab, dari Afrika Utara sehinggalah negara Teluk.
Persoalannya, di manakah OIC dan pemimpin-pemimpin negara umat Islam bagi menghadapi pergolakan ini? Apakah dunia Islam masih mahu terus menyalahkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Rusia? Sewajarnya pergolakan dalam negara Islam dengan segera ditangani pemimpin umat Islam sendiri dan organisasi yang memayungi mereka, namun hakikatnya ia tidak berlaku.
Setakat ini tiada kedengaran suara OIC dalam menangani konflik di rantau Arab yang menyaksikan pergolakan paling serius di Tunisia, Mesir, Yaman - Arab Saudi, Bahrain dan Libya. Dalam konflik di Bahrain kita tertanya-tanya mengapa tentera Saudi dikejarkan ke sana tanpa apa-apa bantahan daripada negara Islam lain dan payung mereka, OIC.
Kemudian dalam konflik di negara lain terutama Yaman - Arab Saudi yang telah meragut ratusan nyawa, tidak pula kedengaran pemimpin umat Islam dan OIC berusaha untuk membawa kumpulan bertelagah ke meja rundingan. Nampaknya kedua-dua pihak dibiarkan bertempur antara satu sama lain yang menjuruskan negara ke lembah kehancuran.
Kegagalan pemimpin umat Islam dan organisasi mereka seperti OIC bertindak menangani konflik di negara umat Islam, menyebabkan kuasa besar dunia (Amerika Syarikat, Britain dan Perancis), mengambil kesempatan untuk campur tangan termasuk menyerang Libya kononnya bagi melaksanakan satu resolusi yang diputuskan oleh PBB.
Bagi kita, perkembangan ini membuktikan ketidak-upayaan pemimpin negara umat Islam dan organisasi memayungi mereka (OIC) menggerakkan usaha mendamaikan konflik di negara umat Islam sendiri. Jika ini tidak dapat dilakukan bagaimana nasib umat Islam minoriti di negara dan rantau seperti Kashmir (India), Xinjiang (China), Arakan (Myanmar), Chechnya (Rusia), Selatan Thailand dan Selatan Filipina dapat dibantu?
Kita bimbang sebahagian besar pemimpin negara umat Islam kini adalah pemerintah mutlak atau diktator yang berselindung di sebalik demokrasi; mereka tidak mempedulikan nasib ummah apatah lagi ajaran murni yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi s.a.w. menyatakan umat Islam bersaudara, mereka ibarat sebuah tubuh, jika satu anggota sakit maka seluruh anggota akan menanggung kesakitannya. Namun pada hari ini, umat Islam terpaksa menanggung penderitaan mereka sendiri-sendiri dengan negara dan umat Islam hanya menjadi pemerhati atau lebih buruk lagi mengambil sikap tidak peduli.
Demikianlah nasib umat Islam pada akhir zaman ini, kesatuan mereka telah lumpuh selepas mereka dipecah-pecahkan kepada negara-negara nasionalis oleh pihak Barat.
Kebanyakan rakyat dan pemimpinnya berjuang atas semangat kebangsaan dan bukan atas dasar Islam, sebab itulah konflik di negara masing-masing ditangani secara sendiri-sendiri manakala umat Islam di persada antarabangsa berlepas tangan atau mendiamkan diri.
Apabila tidak wujudnya kesatuan ummah ini, maka terbukalah peluang untuk kafir laknatullah menyerang negara umat Islam seperti Libya, kononnya bagi mematuhi resolusi PBB sedangkan resolusi pihak yang sama dalam isu di Palestin tidak dipedulikan pun!
No comments:
Post a Comment