Sunday, May 15, 2022

Syawal 14, 1443: Di kaki lima badan tercampak...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."

"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)


PERSOALAN remaja begitu merungsingkan. Sebagai bapa lima anak  saya juga diselubungi kerisauan memanjang. Teringat saya daripada sebuah buku yang telah saya baca, Sayidina Ali karamah wahja atau Sayidina Umar Al-Khattab r.a. antara lain berkata didiklah anak-anakmu mengikut zaman mereka.


Ya, zaman sekarang era IT, tak sama masa saya remaja dan di IPT dulu. Ketika itu antara harta paling bernilai adalah mesin taip buruk. Kini kelengkapan IT anak-anak sangat canggih. Mereka terdedah kepada segala kemungkinan. Itulah yang saya bimbangkan.


Sebahagian ibu bapa tersepit antara memberi kebebasan (peluang) kepada anak-anak remaja ini atau menyekat mereka daripada akses gajet moden ini. Misalnya, kemudahan internet termasuk telefon selular, nak menyekat mereka daripada mempunyai aksesnya tentu merugikan mereka sendiri tetapi membenarkannya kita tidak tahu apa yang anak kita lakukan. Yalah depan kita, segala-galanya nampak okay, tetapi belakang kita terutama ketika bersama kawan-kawan mereka, siapa tahu. Mana kita ada masa nak kontrol mereka 24 jam sehari.


Kalau mak bapak mendidik sendiri anak-anak boleh tahan; tetapi berdasarkan apa yang saya lihat di persekitaran kehidupan saya, anak-anak yang diserahkan kepada datuk nenek, sebahagian besar daripada mereka gagal dalam kehidupan. Ada seorang pemuda saya lihat hidupnya tidak keruan sejak datuk dan neneknya meninggal dunia; itulah mungkin dulu dia terlalu dimanjakan menyebabkan dia tidak tahu hidup berdikari. Dia kini menjadi orang gelandangan, tidur di kaki lima dengan pakaian tak ditukar berhari-hari lamanya.


Ada seorang pemuda pula sudah jadi kaki dadah. Kerja sehari dua untuk mendapat seringgit dua selepas itu hanyut berminggu-minggu dalam dunia dadah bersama-sama kawan-kawannya. Mereka menjadikan sebuah pondok kosong sebagai syurga dunia.


Demikianlah betapa ramai anak-anak muda hanyut; selain dua contoh yang dinyatakan ini, di manakah remaja lain lain berada? Jika anda ke masjid sama ada untuk solat waktu berjemaah atau mengikuti kelas pengajian antara maghrib dan isyak, adakah ada anak muda menyertainya? Jawapannya mereka sukar dilihat, jadi ke mana agaknya mereka pergi?


Ramai muda-mudi kita (sebenarnya bukan muda-mudi saja tetapi seluruh umat Islam) sudah tersasar, jadi apakah jalan penyelesaiannya? Seorang pembaca menulis: “Islam sahaja tamadun penyelamat dunia. Mana tidaknya? Bayangkan, ketika peperangan melawan musuh sekalipun, prinsip perang itu sendiri jelas; bunuhlah mereka yang menentang sahaja, tawanan perang hanya diminta menebus diri, syiar agama pihak musuh seperti gereja dan kuil haram diceroboh, apatah lagi diruntuhkan, dan setelah berkuasa, mestilah berdamai, bukan menjajah walaupun dengan tertegaknya pentadbiran Islam.


“Mungkin masih banyak lagi yang saya jahil tentangnya, namun, rasanya dengan itu sahaja pun memadai untuk mengisyaratkan Islam adalah tamadun perdamaian dan kesejahteraan untuk semua, sesuai sekali dengan perutusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rahmat kepada sekalian alam. Begitulah juga dengan segala hukum-hakam serta peradaban yang digariskan Islam, daripada sekecil-kecil dan remeh perkara seperti ke tandas, tidur dan bangun tidur, sehinggalah ke urusan hubungan insani sejagat dan antara hanba dengan Allah SWT, pasti berkesan menyelamatkan masyarakat daripada kehancuran kiranya dihayati seluruhnya, sesuai dengan firman-Nya yang meminta agar kita menjadi Muslim yang mukmin secara total.


“Namun begitu, persoalannya, dengan pelaksanaan Islam oleh pentadbir ‘sekular’ yang Islam keturunanlah, kesucian Islam telah dinodai. Ia diburukkan lagi dengan kedapatan segelintir mereka yang diiktiraf sebagai ‘ulama’" yang turut rakus terhadap keduniaan sebagaimana para pendita Yahudi dan Nasrani. Mana tidaknya, ada ustazah dan ustaz pandai memfitnah orang termasuk melalui tulisan.


“Gejala keruntuhan akhlak remaja sering dikaitkan dengan kecuaian ibu bapa secara langsung. Nah, bukankah mereka yang dalam kepimpinan itu adalah ibu dan bapa kepada anak-anak mereka? Sekali gus, bukankah mereka juga merupakan ibu dan bapa kepada rakyat yang dipimpin? Bukankah dengan penajaan program dan aktiviti hiburan melampau dan pentafsiran agama menurut pemikiran dangkal menyebabkan akidah masyarakat runtuh, kesucian wanita dan gadis ternoda, bangsa jadi leka dan alpa terhadap ilmu, dan bermacam-macam kejahilan dan keruntuhan moral berlaku?


“Dengan itu, mari kita bersama kembalikan kegemilangan tamadun Islam dahulu untuk kini dan selamanya. Semoga usaha kita nan sedikit lagi tak seberapa ini dihitung antara kaedah jihad serta bukti pengabdian kita kepada-Nya sahaja."


Ya, benar apa yang ditulis pembaca ini. Pemimpin mempunyai saham dalam mencorak anak muda kita. Teringat penulis betapa ada pemimpin sanggup turun ke gelanggang konsert sekalipun berlaku hujan dengan kilat dan guruh berdentam-dentum dan langkah beliau dikuti ribuan anak-anak muda. Muda-mudi ke konsert hiburan rupanya, sebab itu mereka tiada di masjid.


Apabila guru (pemimpin) kencing berdiri, anak murid kencing berlari, itulah sebabnya pada malam itu ramai anak muda bergelimpangan di kaki lima, hujung tahun ramailah yang masuk sekolah mengandung yang disediakan pemimpin berkenaan!

No comments: