Saturday, May 14, 2022

Syawal 13, 1443: Nafsu macam kuda liar...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


PADA Aidilfitri kali ini kita berpeluang menziarahi sanak saudara dan rakan taulan. Saya dan keluarga juga tidak ketinggalan. Antara rumah dikunjungi adalah nenek sebelah isteri yang berusia lebih 90 tahun.


Sebelum PKP dahulu, semasa kunjungan Aidilfitri dia bergerak cergas seperti orang sihat tetapi kali ini berada di pembaringan. Saya meluangkan masa beberapa minit untuk bersendirian bersamanya - mendengar nasihat daripada insan penuh pengalaman hidup ini dari atas katil beliau sendiri..


Antara perkara menarik disebut beliau adalah mengenai nafsu. Katanya: "Aku dah tak ada nafsu nak makan. Perut aku sentiasa kenyang. Bagi aku puasa tu tak jadi masalah sebab aku sentiasa kenyang. Tetapi anak-anak suruh makan, jadi aku pun makanlah." (maksudnya berbuka puasa)


Saya berfikir: Orang tua ni ditarik sebahagian nafsunya, ya nafsu makan (nafsu itu banyak antara lain nafsu syahwat, harta, pangkat dan pujian) Namun ada orang tua lain yang saya temui semakin kuat nafsu nak makannya. Nak makan itu, nak makan ini...tetapi apabila diadakan makanan itu, tak dimakannya pula...Tak ada selera kata, mereka. Nafsu ada selera tak ada; susah juga.


Selain nafsu makan, ada orang tua yang melayan nafsu lain dan mahu berkelakuan dan berlagak macam  orang muda tetapi masakan mereka mampu melakukannya kerana kata orang 'nafsu tinggi tetapi tenaga dah tak berada nak ada.' Kata mereka, jiwa mereka muda tetapi terperangkap dalam tubuh tua!


Berceloteh saya pasal nafsu, teringat saya kisah saya menjalani pembedahan di hospital tempoh hari. Seperti dikisahkan dahulu saya telah berpuasa hampir 30 jam sebelum dibawa ke kamar pembedahan.


Sebelum pembedahan rasanya amat lapar (nafsu nak makan melonjak sangat) tetapi semasa ditidurkan (diberi ubat bius) saya tak sedar apa-apa dan tup-tup saya dapat melihat dalam keadaan berpinar-pinar doktor dan misi menepuk-menepuk pipi saya. Eh, apa dah berlaku ni, saya macam ingat-ingat rupa.


Rupa-rupanya pembedahan sudah selesai. Saya dapat rasakan dipindahkan sebuah katil lain dan ditolak oleh misi kembali ke wad asal. Ketika ditolak, saya tidak sedar akan kelainan pada diri tetapi ketika sampai ke wad, misi yang menyerahkan baju dan kain 'genggang' hospital, menyedarkan saya bahawa kemaluan saya sudah dibedah dan kini saya sudah 'dipakaikan' tiub yang mengalirkan air kencing ke sebuah kampit plastik di sisi pinggang saya. Alat urethra ini menyambungkan pundi kencing ke kampit berkenaan, air kencing mengalir berterusan tanpa kita dapat mengawalnya.


Selepas ditinggalkan sendirian oleh misi-misi berkenaan, perkara pertama terlintas di benak saya ialah memenuhi nafsu minum dan makan. Al-maklumlah saya dah tak makan 30 jam. Saya meraba botol air mineral, ada, lantas minum...terasa pahit! Saya capai roti ban sisa semalam, dan cuba makan. Lagi terasa amat pahit. Amat pahit. Saya tak lagi cuba makan dan minum tetapi melihat-melihat 'perubahan' pada diri dan akhir-akhirnya cuba tidur...sukar tetapi akhirnya terlelap jua...


Azan subuh berkumandang dari Masjid Al-Azim yang bersebelahan hospital mengejutkan saya... saya hanya mampu duduk di atas katil...secara perlahan-lahan saya mengeluarkan kain lampin daripada bawah lambung saya dan kemudian membersihkan mana yang patut; seterusnya mencapai botol wuduk 'spray'...subuh itu saya solat buat pertama kalinya di atas katil...


Kira-kira jam 7.00 pagi, 'budak-budak' (petugas) bahagian makanan, menolak troli ke kamar wad. Waduh, ini saat dinanti kerana nafsu nak makan saya sudah memuncak, almaklumlah dah tak makan 30 jam.. Malangnya, ketika mahu mengagihkan makanan menu pagi itu iaitu nasi goreng, mereka meminta pesakit menyediakan bekas. Saya tak ada bekas (saya mana tahu prosedur hospital kerajaan kerana baharu pertama kali masuk wad), nampaknya tak makanlah saya lagi.


Namun alhamdulillah, seorang petugas prihatin, memberikan saya satu mangkuk, jadi dapatlah saya menadah nasi goreng yang disenduk ke dalam mangkuk dipinjam itu...Kali ini makanan ini (nasi goreng) tidak pula terasa pahit....sedap pula sehingga saya makan tak tersisa seulas nasi pun. Alhamdulillah saya telah dapat penuhi nafsu nak makan saya yang sudah ditahan-tahan selama 30 jam!


Demikianlah, pengalaman sebahagiannya mengajar kita bahawa nafsu itu termasuk nafsu makan boleh dikawal, mungkinkah sebab itu kita diwajibkan berpuasa sebulan penuh pada Ramadan.


Kita bernafsu sebab kita 'manusia normal', macam kita kisahkan pada awal tadi, si nenek lebih 90 tahun itu sudah ditarik sebahagian nafsu seperti nafsu makannya...jadi sebagai orang beriman kita diminta mengawal nafsu kita. Ulama berkata nafsu ini macam kuda liar, tugas kita menjinakkannya agar kita dapat menunggang nafsu bukan membiarkan nafsu menunggang kita!


Kalau ditarik nafsu seperti nenek tadi ditarik nafsu makannya, macam mana kita nak hidup jika tak ada nafsu nak kahwin, nafsu nak cantik, nafsu nak kaya, pandai dan sebagainya. Ya kita bukan malaikat yang tak ada nafsu, tetapi ada nafsu tetapi yang penting bijak mengurusnya..

No comments: