Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
PADA ketika para guru (cikgu) kita menyambut Hari Guru (16 Mei),penulis terpanggil mencelotehkan hal guru berpandukan apa ditunjuki Nabi Muhammad s.a.w. sebagai guru teragung sepanjang zaman.
Penulis tertarik dengan syarahan seorang ustaz dalam kelas pengajian di sebuah masjid berhampiran rumah penulis baharu-baharu ini, bahawa tiada seorang insan pun yang tidak dapat mencontohi Rasulullah baik untuk matlamat dunia mahupun akhirat.
Sebagai contoh ustaz berkata baik orang miskin atau kaya masing-masing dapat mencontohi Rasulullah s.a.w. - bagi orang miskin insaflah bahawa rumah Rasulullah s.a.w. pernah tiga bulan tidak berasap (tiada makanan kecuali sedikit kurma dan air) manakala bagi orang kaya sedarlah bahawa Rasulullah adalah penguasa wilayah luas dan hebat dengan harta kekayaan mencurah-curah masuk tetapi semuanya dimanfaatkan untuk perjuangan Islam.
Jadi wahai semua termasuk pemimpin (pemerintah) teladanilah Rasul s.a.w. kerana penghidupan baginda mencakupi semua bidang kehidupan seperti seorang guru / murabi / pendakwah, sebagai insan biasa di kalangan keluarga dan sahabat, seorang lelaki bertakwa, sebagai seorang soldadu, tokoh pembaharuan, seorang politikus, negarawan, seorang pentadbir dan pemerintah sebuah kerajaan yang amat luas kerana seluruh Jazirah Arab sudah jatuh ke tangan Islam sebelum kewafatan baginda.
Jadi bagaimana pembawaan Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin? Apabila al-Quran mengesahkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh terbaik dalam semua bidang kehidupan (seperti ayat 21 Surah Al-Ahzab yang bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak, dalam masa susah dan senang"), ia bukan sekadar perkataan tetapi dibuktikan dengan amalan.
Ambil contoh perintah dalam al-Quran kepada ummah berkenaan kewajipan seperti solat, puasa dan sedekah; Nabi s.a.w. melakukannya lebih daripada ummah.
Jika umat baginda diwajibkan solat lima kali sehari semalam, Nabi s.a.w. melakukannya lapan kali manakala jika ummah hanya diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan, Nabi s.a.w. tidak akan membenarkan baki 11 bulan berlalu tanpa berpuasa manakala dari segi sedekahnya, tiada pengemis yang meninggalkan rumahnya kehampaan sedangkan baginda sendiri hidup miskin (selalu di rumahnya tiada makanan) sedangkan dia adalah pemerintah sebuah empayar yang besar.
Ketika hayatnya, Nabi s.a.w. menyertai hampir semua peperangan; ketika peperangan Uhud, baginda luka-luka dan pada Perang Ahzab, Nabi s.a.w. sendiri turun bersama-sama sahabat menggali parit di sekeliling kota Madinah.
Pada kebanyakan ketika Nabi Muhammad s.a.w. bekerja keras dalam keadaan lapar di bawah terik matahari dan terpaksa mengikat batu di perutnya. Demikianlah Nabi s.a.w. sudah menunjukkan teladan, jadi kepada semua termasuk pemimpin...'bergurulah' kepada baginda s.a.w. agar kita selamat dunia dan akhirat.
Namun hampir semua pemimpin hari ini mengamalkan ilmu 'touch and go' (sentuh dan beredar), mereka merasmikan sesebuah majlis, makan dan kemudian beredar tanpa tahu hal sebenar membabitkan kesusahan rakyat.
Kepada guru-guru di tanah air kita (Muslim dan yang belum lagi Islam), semuanya dapat menjadikan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai contoh teladan mereka.
Guru adalah pencorak anak bangsa; mereka membantu melakar 'keajaiban' di kanvas putih kanak-kanak (anak murid) yang hasilnya begitu membanggakan seperti nukilan sajak 'Guru Oh Guru' karya Sasterawan Negara, Allahyarham Dato' Dr Usman Awang ini.
Guru Oh Guru
Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
Pada Hari Guru ini, kita ingat-ingatlah kembali kuliah-kuliah agama yang kita pelajari selama ini. Tok-tok guru dan ustaz sering mengingatkan di akhirat, malah di dunia lagi, manusia ditempatkan bersama-sama orang disayangi dan dicintai mereka termasuk pemimpin dan guru.
Di akhirat, orang baik-baik akan ditempatkan bersama-sama para nabi, sadikan, solehin dan syuhada; manakala orang jahat akan ditempatkan bersama Firaun, Hamman, Qarun, Abu Lahab, Abu Jahal dan sahahat-sahabat mereka.
Di dunia ini jika kita memilih orang salih dan baik-baik (seperti guru) untuk menjadi pemimpin dan berkawan dengan mereka, insya-Allah, di akhirat nanti akan ditempatkan bersama-sama dalam kumpulan orang diredai-Nya. Bukankah pada doa kita, kita sering meminta ditempatkan bersama-sama orang beriman dan golongan diredai-Nya.
Semua orang - sama ada mereka Raja, Presiden, PM, ulama, penulis - semuanya diajar oleh guru tetapi sudah hampir pasti guru-guru tidak pernah mengajar mereka perkara buruk seperti memakan rasuah dan menyalah-guna kuasa. Jika semua guru mencontohi Rasul s.a.w. insya-Allah akan selamat dan amanlah masyarakat kita dunia akhirat. Amin