Friday, March 11, 2022

Syaaban 8, 1443: Suami doa 'mahu tambah', isteri doa tak mahu bermadu... (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim) 


SEORANG mutawif menceritakan kisah sepasang suami isteri yang sama-sama ke Makkah bagi menunaikan umrah. 

Di depan Kaabah, si suami antara lain berdoa berjayalah usahanya untuk menambah satu lagi 'cawangan' (beristeri barulah) sedangkan si isteri pula berdoa biarlah dia dan suaminya hidup rukun damai, janganlah hendaknya hadir orang ketiga yang boleh mengeruhkan rumah tangga mereka berdua. Ringkasnya dia tak rela dimadukan, dia tak rela berkongsi suami. 

Dalam situasi begini, kedua-duanya bebas untuk berdoa mengikut kehendak masing-masing. Tentunya hajat mereka berlawanan antara satu sama lain. Tiada siapa boleh menghalang mereka daripada berdoa sedemikian. Si suami dengan doanya manakala si isteri dengan doanya pula. Soal siapa benar dan doa siapa dikabulkan itu bukan urusan manusia, semuanya diserahkan kepada Yang Maha Kuasa.

Terpulanglah kepada Allah SWT untuk menentukan siapa yang dipilih-Nya. 

Demikian juga dalam kisah korban dua orang anak Nabi Adam a.s. - Qabil dan Habil. Kedua-duanya bebas membuat korban. Yang menjadi pemutus kepada korban mereka adalah SWT. Allah SWT Yang Mahu Mengetahui siapa antara kedua-duanya yang ikhlas, yang berada di jalan benar dan lurus. Hak Allah-lah yang menjadi pemutus kepada korban mereka.S

Seperti doa pasangan suami isteri tadi, apa nak ditakutkan dengan doa 'lawan' masing-masing. 

Jika kita yakin kita di jalan yang benar pastilah Allah SWT akan berpihak kepada kita, bukankah bagi setiap doa itu sudah dijanjikan untuk dimakbulkan di dunia ini, jika tidak 'disimpan' untuk kita nikmati di akhirat nanti dan lebih mulia lagi di dunia pun kita dapat di akhirat pun kita dapat sejajar dengan doa ulung ini: "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar" yang bermaksud "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka." (QS. Al Baqarah 201) 

Sewajarnya sebagai orang jitu imannya, kita tidak gusar dengan perbuatan termasuk doa orang lain kerana berpegang teguh kepada akidah, tiada apa yang boleh merosakkan kita sekali pun bergabung seluruh makhluk jika hal itu tidak dizinkan Allah SWT. Jadi jika kita berada di landasan (jalan) yang betul dan lurus, apa yang hendak ditakutkan? 

Biasanya yang takut itu adalah orang bersalah, dia sentiasa bimbang orang akan tahu tembelangnya. Orang tidak pun membicarakan kesalahan atau perbuatan jahatnya, tetapi dia terasa pula. Macam orang sudah berak di tengah jalan, mana dia mahu mengaku. Tetapi apabila ada orang buka bicara 'kisah tahi', dia dengan mudah akan terasa. Orang cerita kisah tahi ayam pun, dia terasa! 

Jika dengan melakukan perbuatan jahat kecil-kecilan seperti berak di tengah jalan pun pelakunya sudah resah gelisah, bayangkan jika seseorang atau kumpulan terbabit dalam kes bunuh, rogol, zina, rasuah, rompak wang rakyat, menipu dalam proses mendapat kuasa dan sebagainya. 

Tentunya mereka bimbang apabila orang membicarakan hal ini sekalipun tidak menyebut nama mereka. Apabila orang memperkatakan bab hudud, hati mereka akan berdegup pantas dan kuat...dup...dap...dup...habislah aku nanti aku kena rejam dengan batu (bagi pesalah zina) dan potong tangan (bagi pencuri). 

Jika kita rajin mengikuti tazkirah termasuk kelas pengajian di masjid, kerap benar kita mendengar ustaz memberitahu antara doa yang mustajab (cepat dimakbulkan) adalah doa orang teraniaya atau dizalimi. Pelaku zalim ini tidak payahlah menunggu di akhirat, di dunia lagi mereka sudah dinampakkan dan menerima kesengsaraan kehidupan.

Kata ustaz, kezaliman itu bukan saja bermaksud menzalimi manusia (terhadap orang Islam dan bukan Islam) tetapi juga kepada binatang malah seluruh makhluk-Nya. Jika kita menzalimi seekor binatang, binatang itu akan mendoakan kebinasaan kita, itulah sebabnya kehidupan kita tak pernah aman, selalu berkeluh kesah dan sengsara sekalipun harta bertimbun, kuasa besar dan berjawatan tinggi melangit.


No comments: