Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging, apabila ia baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! Iaitulah kalbu (hati)." (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim)
SAYA sungguh bertuah kerana dapat menatap dua buku Timur dan Barat hampir serentak di mana ada pendapat penulisnya kelihatan sama. Buku itu adalah 'Islam at the Crossroads' (Islam di Persimpangan Jalan) karya Muhammad Asad (Leopold Weiss) dan Mengenal Diri dan Wali Allah karya Mustapha Mohamed Al-Jiasi Al-Ahmadi.
Buku karya Muhammad Asad itu sudah lama saya beli tetapi mengulang kembali pembacaannya manakala buku karya Mustapha (seorang ustaz dari Kelantan) itu sedang disyarahkan oleh seorang tok guru di sebuah masjid berhampiran kampung saya.
Muhammad Asad membincangkan masalah umat Islam dewasa ini yang sebahagian besarnya meninggalkan ajaran dan budaya Islam sebaliknya melakukan penerimaan besar-besaran cara hidup Barat manakala Mustapha mengambil permasalahan umat dari segi kerohanian kerana tidak ramai orang Islam mengenal diri dan agama yang mereka anuti.
Dalam bab rumusannya, Muhammad Asad antara lain menyatakan: "...I have tried to show that Islam, in its true meaning, cannot benefit by an assimilation of Western civilisation. But, on the other hand, the Muslim world has today so little energy left that it does not offer sufficient resistance. The remnants of its cultural existence are being levelled to the ground under the pressure of Western ideas and customs."
Ringkasnya Asad berkata orang Islam tidak dapat faedah daripada penerimaan tamadun Barat tetapi mereka terlalu lemah untuk menolaknya, menyebabkan saki-baki budaya mereka pupus di bawah tekanan idea dan cara hidup Barat.
Ustaz Mustapha pula menulis: "…umat Islam pada zaman moden ini sudah banyak kehilangan moral sifat-sifat kerohanian, tambahan pula kerosakan dunia hari ini adalah disebabkan tekanan-tekanan meniru peribadi kebudayaan Barat (maksiat) yang sangat pesat meluas di rantau ceruk kerana memang ia sangat sesuai dengan nafsu ammarah sehingga kebudayaan umat Islam sendiri hampir tertelan bulat-bulat oleh kebudayaan Barat.
"Maka kepada zaman-zaman yang seumpama ini bolehkah hendak diharap dapat membentuk sebuah masyarakat Islam yang makmur dalam erti kata sebenar yakni dalam serba maju bagi segi kebendaan ataupun kerohanian? Pada menjawabnya mustahil jika ada pemimpin yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab terhadap agama Allah di mana ada keazaman hendak menjalan polisi politik supaya roh Islamiyah dan keimanan dapat hidup berkembang kembali dalam majoriti setiap anggota masyarakat.
"Kebenaran dan keikhlasan terhadap agama Allah sukar hendak dicari kecuali seorang pemimpin itu benar-benar kaya dengan sifat-sifat kerohanian sufiah yang tetap waja. Tinjaulah pemimpin-pemimpin besar dulu umpama Nabi kita Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabatnya adalah terdiri daripada manusia yang kaya dengan sifat-sifat kerohanian sufiah. Dengan demikian maka tak hairanlah bahawa negara-negara iman di zaman itu dapat ditegakkan di bumi Allah yang halal ini." (muka surat 51daripada buku Mengenal Diri dan Wali Allah karya Mustapha Mohamed Al-Jiasi Al-Ahmadi, Pustaka Aman Press, Kelantan)
Tok guru ketika mensyarahkan bab ini berkata, kerosakan dalam masyarakat kini adalah disebabkan oleh mereka yang diberi amanah menjadi khianat. Ada pemimpin dan pegawai khianat, mereka berlumba-lumba untuk menimbun kekayaan, sedangkan apa dikehendaki oleh Islam adalah setiap orang kaya dengan sifat kerohanian. Apabila seseorang itu kaya dengan sifat-sifat kerohanian maka apabila menjadi pemimpin dia akan menjadi pemimpin bertakwa, apabila dia menjadi pegawai kastam dia menjadi pegawai kastam bertakwa, dan apabila dia menjadi pegawai polis dia menjadi pegawai polis bertakwa.
Ini tidak, kata tok guru, pemimpin hanya tahu menimbun kekayaan, sesetengah pegawai kastam menggelapkan wang jutaan ringgit manakala ada segelintir anggota polis, duit kopi RM5 pun disapunya. Demikian juga ada penghulu dan tok sidang nak duit pelincir.
"Sebab apa semua ini berlaku? Mereka sebenarnya tidak kaya dengan sifat-sifat kerohanian dalam diri masing-masing. Mereka hanya mahu kaya harta benda saja, tengoklah rumah masing-masing, masya-Allah amat hebat sekali," kata tok guru.
Cara hidup materialistik Barat nampaknya sudah membarah dalam kehidupan masyarakat di mana kejayaan diukur antara lain daripada timbunan harta; soal halal dan haram ditolak ke tepi, jadi jelaslah kepada kita kebenaran pandangan diutarakan kedua-dua sarjana Islam dari Barat (Muhammad Asad) dan Timur (Ustaz Mustapha) itu.
No comments:
Post a Comment