Monday, March 28, 2022

Syaaban 25, 1443: Semarak Ramadan (i): Hospital...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)


SEORANG penceramah motivasi berkata antara rutin 'orang tak berapa muda' (berusia 60+) termasuk saya adalah kunjungan ke hospital (atau pusat kesihatan lain termasuk klinik). Yalah, pada usia begitu semakin ketara penyakit fizikal diri antaranya diabetes (kencing manis), darah tinggi dan sakit jantung. 


Apabila dihinggapi penyakit sebegini, pakar motivasi itu menasihatkan bahawa semuanya perlukan pengurusan yang betul sama ada dari segi fizikal, mental (kerohanian) malah kewangan. Kos perubatan bukan murah, namun satu hal menyedihkan kebanyakan golongan ini sudah tak ada pendapatan tetap atau lebih malang lagi tiada sumber perolehan kewangan..


Bulan Ramadan mulia kian menghampiri kita semua termasuk si tak berapa muda, si sakit, si berada di hospital, si malang dan apa-apa si lagi namun mereka juga perlu disemarakkan agar bersama-sama dapat menikmati Ramadan ini seterusnya menggapai keredaan Ilahi.


Tidak lama dahulu, penulis 'berkampung' di sebuah hospital hampir seminggu lamanya apabila ibu penulis yang disyaki menghidap denggi dimasukkan ke dalam sebuah wad besar yang kesemua penghuninya ada kaitan dengan penyakit itu! 


Berdasarkan ramainya penghuni wad denggi, tahulah penulis penyakit ini tersangat serius di negeri kami. Seorang petugas kerajaan memberitahu negeri ini muncul sebagai negeri ketiga di tanah air yang mempunyai kes denggi tertinggi. 


Pengalaman berada di hospital sungguh baik untuk 'orang mencari diri' seperti penulis. Dengan 'menyibuk' ke sana sini di kawasan hospital yang luas itu (dahululah), dapatlah penulis belajar sedikit sebanyak erti kehidupan - menyaksikan kepayahan orang terutama pesakit cukup menginsafkan; akan terasalah betapa kita tidak cukup bersyukur kepada Yang Maha Berkuasa dan berterima kasih kepada sesama manusia terutama insan yang dekat dengan kita seperti ibu bapa, anak isteri, saudara-mara dan rakan taulan.


Mendekati sejumlah pesakit segera mendatangkan keinsafan. Seorang 'pakcik' yang disyaki menghidap kanser usus memberitahu: "Saya baru menjalani pembedahan, tebuk lubang di perut untuk buang najis. Kini saya saya pakai beg najis plastik. Masalah saya sekarang, apa yang saya makan dan minum semuanya terkeluar balik." 


Ya, 'pakcik' ini menghadapi ujian sungguh berat. Nak 'masukkan makanan' pun tak boleh, 'nak keluarkan' pun azab. Berceloteh mengenai 'bab sukar nak mengeluarkan' ini, ada kaum kerabat saya yang terkena penyakit prostat dan batu karang memberitahu betapa 'seksa' apabila tidak boleh kencing.


Bayangkan deritanya apabila terasa terlalu nak kencing tapi tak boleh kencing. Demikian juga penyakit seperti buasir dan sembelit, tak boleh nak berak-berak. 


Astaghfirullah, sakitnya. Belas saya melihat melihat 'pakcik' pesakit kanser usus itu, tetapi apa nak dikata, demikian pusingan roda kehidupan - ada kalanya kita sakit dan ada kalanya kita sihat. Saya hanya mampu melihat dan mendoakan di samping mengingatkan diri bahawa nasib diri sendiri pun kita tak tahu; hari ini kita sihat mungkin esok lusa kita jatuh sakit. 


Namun jika direnung-renungkan (kisah Nabi Ayub a.s. dapat dijadikan pengajaran), masa sihat kita sebenarnya jauh lebih banyak daripada masa sakit kita. Sebelum jatuh sakit, tentunya kita sihat tetapi berapa ramai daripada kita dapat memanfaatkan masa sihat itu mematuhi perintah dan larangan Yang Maha Kuasa. 


Ada hadis menyebut jagalah lima perkara sebelum datang lima perkara; salah satunya ingatlah masa sihat sebelum datangnya sakit. 


Melihat pesakit-pesakit terlantar di katil cukup menginsafkan; apabila nikmat sihat 'digantung' oleh Allah SWT, sebahagian kita barulah teringat untuk buat kebaikan itu dan ini; teringat untuk ke masjid, teringat untuk ziarah menziarahi saudara mara dan sebagainya. 


Namun apakan daya, ketika berada di katil pesakit itu, usahkan nak buat amalan sunat, nak solat lima waktu pun terasa betapa sukar sekali. Malah amat menyedihkan, ada pesakit tak solat pun, makan minum masih boleh tapi solat tak boleh. Entahlah, hanya Allah Maha Mengetahui.


Demikianlah manusia akan hilang apa dia nikmati. Kebanyakan orang tidak menyedari nikmat dicurahi Ilahi yang dianggap biasa seperti kemampuan bercakap, melihat dan berjalan hatta kencing dan berak sehingga ia ditarik balik. 


Kebanyakan manusia memang tidak menginsafinya sehinggalah ‘mulut mereka dipenuhi tanah’ (maksudnya sudah berada dalam kubur). Sesudah mati barulah diketahui nikmat hidup. 


Seorang ustaz dalam kuliah mingguannya di masjid berhampiran rumah penulis ketika membentangkan permasalahan nikmat ini menarik perhatian penulis.


Katanya, nikmat itu hanya dapat dirasai apabila berlaku perkara bertentangan; misalnya nikmat sihat dirasai apabila seseorang itu sakit; nikmat membuang najis selepas tidak boleh berbuat demikian, nikmat berjalan selepas kaki tiada; nikmat kaya selepas jatuh miskin; dan nikmat berkeluarga selepas bercerai-berai. 


Ustaz itu berkata nikmat Allah SWT tersangat banyak, tidak terhitung manusia. Beliau membawa kisah seorang lelaki bani Israil yang beribadat ratusan tahun, kemudian mendakwa dia memasuki syurga kerana banyaknya amalannya. Allah memerintahkan ditimbang amalan dia dengan nikmat sebelah matanya; ternyata timbangan mata itu lebih berat menyebabkan dia dilemparkan ke dalam neraka.


Seorang Muslim perlu menyedari nikmat terbesar Allah SWT kepadanya adalah Islam, iman dan tergolong umat Nabi Muhammad s.a.w. Kata ustaz tidak guna menjadi kaya atau berkuasa tetapi tidak termasuk dalam golongan ini. Katanya, umat Nabi Muhammad s.a.w. sangat beruntung kerana nabi-nabi pun mahu menjadi umat rasul akhir zaman tetapi tidak terlaksana. 


Jika kita masih ada ibu bapa, syukurilah nikmat ini kerana banyak orang ibu bapa mereka sudah meninggal dunia. Orang yang masih ada ibu bapa tidak menyedari nikmat ini sehinggalah mereka tiada. 


Seorang rakan memberitahu dia tersangat rindukan ibu bapanya. Malangnya mereka sudah tiada. “Apabila memasuki Ramadan dan kemudian hari raya, berhajat jua pulang ke kampung tetapi untuk apa? Ayah dan ibu sudah tiada, jadi saya tidak terpanggil untuk pulang,” katanya sayu.


Perlu juga diingatkan; bukan sahaja ibu bapa kita sudah dan akan 'pergi', kita juga akhirnya akan pulang ke kampung halaman kita. Kampung apakah itu? Itulah kampung akhirat (kubur) yang tiada jalan untuk kita lari daripadanya. Kita dimasukkan ke dalamnya tetapi untuk keluar tidak sekali-kali!  Jadi ingat-ingatlah masa hidup sebelum matinya kita!

No comments: