Friday, March 4, 2022

Syaaban 1, 1443: Hang Tuah 'dighaibkan' tatkala tua..

 .

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')


SELEPAS 'perintah berkurung' akibat wabak Covid-19, dunia semakin bersih, dakwa sesetengah orang. Alam menjadi segar dan ceria. Ada yang berkata sudah nampak puncak Gunung Everest dari kejauhan. Sesetengah sungai pula, aliran airnya didakwa semakin bersih.


Alhamdulillah, jika itu kesan daripada 'keberhentian' sementara aktiviti 'mencemar' manusia, baguslah. Namun harap-harap ia tidak bersifat 'sementara' kerana manusia sifatnya 'rakus', kebanyakannya pemusnah alam - dari dahulu sampai sekarang.


Apabila orang bercakap sudah nampak puncak Gunung Everest, dahulu semasa kecil pada tahun 1970-an, dari nun kejauhan di kampung saya di Melaka Tengah, pada awal pagi ketika menunggu bas sekolah, sekali-sekala saya nampak puncak Gunung Ledang.


Jika Gunung Everest sudah nampak, mungkin Gunung Ledang juga akan kelihatan, saya meneka. Jadi suatu pagi saya keluar rumah, 'menempatkan diri' berhampiran lokasi yang dahulunya saya nampak puncak Gunung Ledang.


Hasilnya, 'hempeh'...jarak penglihatan saya cuma 300 meter - di depan saya sudah tercanggak deretan kedai sedangkan di atas tapaknya dahulu adalah kawasan bendang meluas.


Pembangunan dan pembangunan sudah mengubah landskap kampung saya yang kini rasanya tidak 'relevan' langsung memakai nama kampung.


Jika dahulu puncak Gunung Ledang boleh dilihat berbalam-balam dari kejauhan hatta dari Melaka (mungkin ini menyebabkan Sultan Melaka termimpi-mimpi siang malam sang Puteri Gunung Ledang), rasanya zaman (keadaan) itu tidak mungkin berulang.


Namun beberapa hari lalu, ketika menyeberangi Lebuh AMJ di kampung saya dengan menggunakan 'jambatan motosikal', terpegun saya 'terlihat' banjaran Gunung Ledang. Saya berhenti sebentar dan menikmati pemandangan itu puas-puas. Benar Gunung Ledang kelihatan dari Melaka setelah kali terakhir saya melihatnya dari kampung saya kira-kira 50 tahun lalu!


Baharu-baharu ini juga saya ada terbaca laporan dalam Youtube yang mendakwa penduduk di Pulau Rupat (berdekatan Dumai di Riau Indonesia) juga dapat melihat puncak Gunung Ledang. Ini dapat dijadikan sokongan bahawa memang benar Gunung Ledang dapat dilihat dari kejauhan termasuk dari Melaka. 


Apabila 'terlihat kembali' Gunung Ledang, saya sebagai 'orang lama' (60+) teringat kisah ini.  Puluhan tahun lalu sebagai murid Tingkatan Enam aliran sastera, teks 'Sejarah Melayu' menjadi bacaan wajib. Malah kerana minatnya kepada sastera Melayu Lama, 'Hikayat Hang Tuah' yang tebal itu pun saya cuba baca, tetapi tidak pernah tamat sebab sukar difahami.


Antara kisah 'memukau perasaan' saya sebagai seorang anak muda yang penuh angan-angan ketika itu adalah mengenai rombongan peminangan Sultan Melaka, Mahmud Shah ke atas Puteri Gunung Ledang yang dikepalai oleh Laksamana Hang Tuah dan Tun Mamat.


Tun Mamat dilaporkan berjaya ke puncak Gunung Ledang dan menemui seorang nenek bongkok tiga (ada yang mempercayai dia adalah Puteri Gunung Ledang) yang meletakkan tujuh syarat bagi dipenuhi Sultan antaranya menyediakan jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang dan persembahan kepada sang puteri semangkok darah Raja Ahmad, putera Sultan.


Apa yang memusykilkan saya tatkala membaca kisah ini adalah mengenai Hang Tuah. Catatan mengenai Hang Tuah tiada lagi selepas ekspedisi meminang ke Gunung Ledang itu. Mungkinkah Hang Tuah sudah tua...kudratnya tiada...dia terus ghaib (hilang termasuk dalam penceritaan).


Demikianlah agaknya nasib orang tua (termasuklah orang 60+), tenaga sudah tak seberapa, khidmatnya pun mungkin tak diperlukan lagi. Jadi pada golongan 60+, muhasabahlah diri...nasib aku ini bagaimana...apakah aku senasib Hang Tuah yang ghaib secara tiba-tiba?


Ada sejumlah filem dan drama dibuat mengenai kisah klasik ini. Saya tertarik dengan sebuah filem (terlupa pula saya tajuknya) yang menggambarkan bagaimana pembesar dan hulubalang  Melaka 'menjarah dan melarikan harta rakyat' dalam menjayakan pembinaan jambatan emas.


Syukurlah akhirnya rancangan pembinaan jambatan emas itu tidak jadi diteruskan kerana Sultan sedar bahawa sekalipun jika jambatan itu 'boleh dibina', tidak mungkin dia tergamak menumpahkan darah anaknya sendiri!


Itulah pada usia tua sebahagian orang termasuk pemerintah masih tak sedar diri. Kisah Hang Tuah yang sudah tua dan 'ghaib' tatkala ke Gunung Ledang, berlaku pada zaman gerhana Kesultanan Melaka, Ia boleh dijadikan teladan - yang baik dijadikan ikutan yang tidak baik dijadikan sempadan.


Zaman gerhana Melaka kerap dirujuk kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) iaitu pemerintah Melaka terakhir. Merujuk kepada sesetengah pengkaji, mereka mendakwa Sultan Mahmud tidak mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Salah satu kelemahannya adalah berkenaan perempuan..


Misalnya, Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan kerana telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan Mahmud murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah – masuk jarum.. Alahai sultan, mudahnya terpengaruh. Akhirnya seluruh keluarga Tun Mutahir dibunuh, yang tinggal hanya Tun Fatimah untuk dijadikan isteri Sultan.


Kezaliman Sultan sudah keterlaluan, tetapi adakah orang berani menegur? Jawapan yang zahir adalah tidak kerana mereka tersangat takut kerana orang kanannya sendiri seperti Bendahara bukan saja disingkirkan tetapi seluruh keluarganya dibunuh. Menegur Sultan bermakna mati atau setidak-tidak dihumbankan ke dalam penjara atau 'dibuang ke luar daerah' (dihukum bunuh tetapi diselamatkan Bendahara Tun Perak) seperti dialami Laksamana Hang Tuah.


Menegur Sultan (mengkritik pemerintah) tidak berlaku pada zaman gerhana ini. Apa yang ada terdapat ramai pengampu dan tukang fitnah serta pengkhianat seperti Si Kitol dan Datuk Mendeliar. Sultan diberi 'gambaran indah-indah' - tidak mengetahui situasi sebenar dalam negara yang di ambang untuk jatuh. Ramai yang berarak menyatakan sokongan kepada Sultan, hakikatnya sokongan inilah yang membawa rebah. 


Apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511, dilaporkan angkatan perang Melaka terlalu gagah untuk dikalahkan. Tetapi angkara terlalu ramai pengkhianat yang memberi bantuan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, akhirnya tewaslah Melaka menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa berpindah randah dan akhirnya mangkat di Sumatera pada 1528.


Demikianlah berakhirnya sebuah empayar, peristiwa dalam sejarah kerap berulang-ulang...adakah kita mahu terus membutakan mata dan memekakkan telinga daripada pengajaran sejarah ini. 


Faktor seperti pemerintah 'dikuasai bini', bersikap boros, menindas rakyat dengan cukai tinggi, membunuh (menyingkir) pesaing termasuk pembantu kanan adalah fenomena biasa pada zaman gerhana. 


Ya, bukan setakat kerajaan sahaja melalui zaman gerhana, kita sebagai individu pun begitu juga...bersediakah kita pada hari tua ini kerana Hang Tuah pun secara tiba-tiba ghaib pada usia tua!

No comments: