DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya." (Yusuf: 2)
SEMENJAK remaja saya meminati sajak A Samad Said bertajuk 'Tetamu Senja'. Antara lain liriknya 'Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja, bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya. Kita datang ini kosong tangan dada, bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala.
Tidak lama dahulu, ketika sibuk membongkar barang-barang lama, saya terjumpa koleksi majalah sekolah menengah saya dahulu. Dalam salah satu majalah itu (tahun 1978 semasa saya di tingkatan empat), terdapat sebuah sajak tulisan saya. Itulah karya pertama saya dalam dunia penerbitan.
Menanti Hari Esok
Hidup di dunia diibaratkan pelangi pagi
cukup detik hilanglah sinaran
dan hilanglah cahaya yang ghairah
tiba-tiba datanglah cahaya garang suria
titik-titik embun pun pergi…
Ibarat manusia sebagai insan biasa
cukup detik pulanglah kepada Yang Kuasa
insan biasa yang datang dengan tangan
dan dada kosong
yang menerokai sendirian apakah erti kehidupan
cukup masanya akan datang jua akhirnya
sebuah perkhabaran yang paling bahagia.
Pelangi pagi takkan kunjung lagi
sinaran ghairah tidak mungkin berulang
hanya tinggal awan dan suria yang garang
membendung seribu kedukaan dan keinsafan
hadapilah kegagalan dengan kesabaran
kejayaan pasti pada hari depan
dalam menghadapi pancaroba kehidupan
perjuangan demi perjuangan demi kebahagiaan.
Segala apa yang berlaku
usahlah ditangis atau dikesalkan
pasti pada suatu masa
sinaran suria pastikan menjelma
mungkin pada hari esok akan ada bahagia
tak tertahan jiwa nan raga
menanti hari esok…
Saya ketawa terkekeh-kekeh tatkala membaca semula sajak yang ditulis lebih 40 tahun lalu. Ketawa kerana idea sajak ini saya adaptasi daripada sajak Sasterawan Negara Pak Samad dan filem ‘Menanti Hari Esok’ yang membawa kemasyhuran kepada seniman Jins Shamsuddin dan seniwati Noorkumalasari.
Meneliti dan mengkaji sajak ini, mengingatkan saya akan sesuatu – sebenarnya saya sangat terpengaruh dengan penulisan Pak Samad, kerana karyanya banyak membantu membentuk saya menjadi seorang penulis.
Penyiaran sajak ini adalah pemangkin kepada usaha saya terjun dalam dunia penulisan dan penerbitan. Pada peringkat awal, saya cuba menghantar tulisan ke forum-forum pembaca, malangnya tidak disiarkan kecuali sekali, itu pun di sebuah akhbar mingguan kanak-kanak.
Apabila menginjak dewasa, saya cuba menulis cerpen dan rencana. Beberapa cerpen yang dihantar di pelbagai penerbitan, tiada khabar berita, hilang begitu saja. Demikian juga rencana, tiada editor ambil peduli.
Pada tahun akhir di pusat pengajian tinggi, saya tidak pedulikan lagi soal menulis cerpen. Tetapi aneh sungguh, suatu hari saya menerima sepucuk surat yang di dalamnya ada sekeping cek RM40. Kandungan surat itu menyatakan cek itu adalah honorarium sebuah cerpen saya yang tersiar dalam salah satu keluaran Mingguan Perdana. Akhbar ini laris dan terkenal pada awal 1980-an.
Wah, saya melompat kegembiraan. Tidak sangka, akhirnya cita-cita saya untuk menjadi seorang cerpenis tercapai jua. “Seluruh Malaya akan tatap dan tahu namaku,” aku mulai berangan-angan.
Yalah, wahai pembaca, semua ini adalah cerita 40-45 tahun lalu semasa saya trang, trang, trang (mudalah) tetapi hari ini pada usia 60+ seakan-akan terasa 'the game is over' (permainan sudah tamat).
Sedarlah saya bahawa kegilaan mengejar nama, pangkat atau apa-apa yang berkaitan sanjungan dunia (misalnya menjadi penulis diminati) sebenarnya tidak ada apa-apa makna.
YA, kita akan penat jika mencari 'keredaan' manusia..Subhanallah, dalam hidup ini banyak tindak tanduk (perbuatan dan keputusan) yang kita buat adalah berdasarkan nafsu termasuk memenuhi kehendak orang termasuklah apa yang orang lain cakap.
Pada usia senja ini, saya sedar sewajarnya dalam membuat apa-apa pun kita sewajarnya berusaha mendapat keredaan Allah dan bukan mendapat sanjungan dan pujian manusia.
Ya, jika kita mahu memuaskan hati (mendapat pujian) manusia kita akan kecewa dan terasa kepenatan daripada sesuatu pekerjaan, tetapi jika kita berusaha mendapatkan keredaan Allah, insya-Allah kita akan tenang...orang puji atau keji pun semuanya sama, yang penting Yang Maha Kuasa meredai kita - ganjaran keikhlasan sudah tersimpan di alam akhirat sana - itulah yang perlu kita buru.
Hidup ini adalah bagi memuaskan-Nya bukan selain-Nya kerana makhluk termasuk manusia (kecuali orang beriman, bertakwa) tidak akan pernah puas. Menurut sebuah hadis, manusia tidak akan puas sehinggalah tanah memenuhi mulutnya (matilah). Jika diberi satu lembah emas, dia mahu yang kedua, yang ketiga dan seterusnya!
Demikianlah selagi hayat masih di badan, manusia bebas dan akan bercakap dan tulis apa saja mengikut 'kepala otak' masing-masing. Kalau kita mendengar sepenuhnya cakap manusia, kita hanya mencari kebinasaan diri...jadi carilah ilmu, timbalah khazanah yang tidak bertepian daripada al-Quran, hadis dan cetusan ulama.
Berhubung bahaya mengikut tulisan dan cakap-cakap orang ini ada digambarkan dalam kisah seorang tua (ada berkata dia Luqmanul Hakim), anaknya dan seekor keldai.
Mula-mula si anak menunggang keldai dengan si bapa menarik tali keldai, orang kampung berkata "apa punya si anak ini, tenaga kuat dibiarkan bapa yang lemah berjalan"...kemudian apabila si bapa ada di atas keldai, orang kampung lain pula berkata: "apa si tua ni, dibiarkan anak yang lemah berjalan", apabila kedua-duanya menunggang keldai, orang kampung lain berkata: "punyalah zalim anak beranak ini menyeksa keldai", kemudian apabila mereka bertindak mengikat dan memikul keldai, orang kampung lain pula berkata: "apalah bodoh punya orang..."
Subhanallah, demikianlah hati akan kecewa dan badan terasa kepenatannya jika kita cuba memuaskan hati manusia. Mereka akan terus bercakap dan bercakap sehingga mereka tidak boleh lagi bercakap. Di akhirat nanti mulut manusia akan dikunci sebaliknya semua anggota badan akan menjadi saksi akan apa-apa yang telah mereka lakukan di dunia. Ya tidak mungkin kita dapat memuaskan hati semua manusia...ada saja yang tak kena di hati mereka.
Namun bagi mereka yang membuat apa saja bagi mendapat keredaan Allah, insya-Allah hati akan tenang - bagi mereka pandangan dan kata-kata manusia kurang penting; apa yang diutamakan adalah pandangan Allah SWT...mereka akan berusaha keras dan seikhlas mungkin bagi mendapat keredaan Allah. Orang puji atau orang tak puji 'tak menjadi hal bagi mereka'.
Hatta mereka yang sudah sampai ke 'makam' tinggi - ucapan terima kasih pun tak diharapkan mereka sebagaimana digambarkan ulama daripada perlakuan Sayidina Ali Abu Thalib yang secara senyap-senyap meninggalkan barangan bantuan di pintu rumah orang miskin pada waktu malam dan rahsia ini hanya diketahui selepas beliau meninggal dunia!
No comments:
Post a Comment