Thursday, November 4, 2021

Rabiulawal 28, 1443: Merindui Madinah Al-Munawwarah...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Firman Allah SWT bermaksud: "Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan orang yang tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin." (Surah Al-Maa'uun Ayat 1-3)


MENGUNJUNGI Madinah Al-Munawwarah tidak termasuk dalam manasik haji. Namun jemaah haji atau umrah amat digalakkan ke sana. Malahan kunjungan ke Madinah termasuk dalam susunan acara jemaah haji atau umrah. Jemaah haji berpeluang berada di Madinah selama lapan atau sembilan hari manakala mereka yang menunaikan umrah tiga hari. Jemaah boleh ke Madinah selepas selesai menunaikan haji dan umrah atau pun sebelumnya.


Keutamaan menziarahi Madinah Al-Munawwarah terutama Masjid An-Nabawi dinyatakan dalam beberapa hadis Rasululullah s.a.w., antaranya yang diriwayatkan oleh At-Tabrani yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan fardu haji ke Baitullah al-Haram dan tidak menziarahi aku sesungguhnya dia menjauhkan dirinya daripadaku” dan “Barang siapa yang mengerjakan haji lalu dia menziarahiku selepas wafatku, seolah-olah dia telah menzirahiku semasa hidupku.”


Kemudian dinyatakan keutamaan beribadat dalam Masjid Nabawi melalui sebuah hadis bermaksud: “Sembahyang di masjidku ini pahalanya adalah seperti 1,000 sembahyang di tempat lain melainkan di Masjid Al-Haram. Berpuasa sebulan di Madinah seperti berpuasa 1,000 bulan di tempat lain dan sembahyang Jumaat di Masjid Madinah seumpama 1,000 kali sembahyang Jumaat di tempat lain.” (Riwayat As-Sahihaini daripada Abu Hurairah)


Selain penerbangan ke Jeddah bagi menunaikan haji dan umrah, ada penerbangan terus ke Madinah. Tentunya, hati terasa sayu sebaik saja menjejak kaki di bumi mulia menempatkan jasad Nabi s.a.w., kemudian menaiki bas menuju penginapan berhampiran Masjid Nabi s.a.w..


Dalam perjalanan saya, daripada kejauhan kelihatan berbalam-balam banjaran gunung, kemerah-merahan dipancari cahaya matahari buat kali terakhir sebelum tenggelam di ufuk barat. Ada jemaah memberitahu saya itulah banjaran bukit atau gunung Uhud, namun tidaklah dapat saya pastikan. Kata jemaah itu lapangan terbang antarabangsa Madinah terletak di sebalik banjaran gunung Uhud.


Saya bersiap sedia dengan buku dan nota panduan bagi mengaup sebanyak mungkin pahala beribadat di Tanah Suci. Bukankah sudah dikatakan melalui hadis bahawa beribadat di Masjid Nabawi adalah 1,000 kali ganda pahalanya daripada beribadat di masjid-masjid lain kecuali Masjidilharam dan Masjid Al-Aqsa? Antara buku tatapan saya adalah ‘Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7,000 Tahun’ oleh Haji Ahmad Haris Suhaimi dari Singapura. (Penerbit HRs Consultant).


Antara perkara yang amat saya tertarik dalam buku itu bab zikir yang antara lain ditulis: “Suatu ketika, Rasulullah s.a.w. telah mendatangi kepada seorang wanita yang kelihatan pada tangannya beberapa biji kurma dan batu-batu kecil yang digunakan untuk membuat kiraan bagi berzikir, lalu Rasulullah bertanya: “Sebaiknya aku beritahukan kepada kamu, apa yang lebih mudah dan lebih afdal daripada itu.”


Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Subhanallah ‘Adada Ma Khalaqa Fis Sama’, Wasubhanallah ‘Adada Ma Khalaqa Fil Ardhi, Wasubhanallah ‘Adada Ma baina Zalik, Wasubhanallah ‘Adada Mahua Khaaliq. Wallahu Akbar Mithla Zalik, Walhamdulillah Mithla Zalik, Wala Ilaha Illallahu Mithla Zalik, Wala Haula Qala Quwwata Illa Billahi Mithla Zalik.”


Maksudnya: “Maha Suci Allah dengan bilangan (zikir) sebanyak apa yang diciptanya di langit, dan Maha Suci Allah dengan bilangan sebanyak apa yang dicipta-Nya di bumi, dan Maha Suci Allah dengan bilangan sebanyak apa-apa yang ada di antara kedua-duanya, dan Maha Suci Allah dengan bilangan sebanyak apa-apa yang dicipta-Nya, dan Allah Maha Besar seperti bilangan itu (semua) juga, dan segala puji bagi Allah seperti bilangan itu juga, dan tiada Tuhan melainkan Allah seperti bilangan itu juga, dan tiada daya dan tiada upaya melainkan Allah seperti bilangan itu juga.”


“Berbermakna berzikir dengan tidak sampai seminit ini, seolah-olah kita telah menghasilkan berjuta-juta benih tanaman yang akan membentuk taman-taman yang indah di Syurga kelak.”


Demikianlah saya begitu taksub, membayangkan berbilion-bilion pahala yang akan saya dapat jika dapat solat waktu berjemaah pada setiap masa di Masjid Nabawi di samping membaca zikir-zikir berkenaan.


Dipendekkan cerita, pada hari ziarah luar (mengunjungi tempat bersejarah di luar Masjid Nabawi seperti Masjid Quba’), bas rombongan jemaah telah tersasar waktu sehingga hampir jam 11.45 pagi tetapi dalam keadaan tergesa-gesa kami mahu pulang ke hotel bagi menyiapkan diri untuk solat zuhur berjemaah di Masjid Nabawi, ada dua orang jemaah perempuan merayu untuk pergi ke pasar kurma seterusnya membeli-belah di sana.


Jemaah lain ada mula membebel dan saya juga berkata-kata dalam hati, “bukankah tadi kita sudah ke ladang kurma, sudah beli kurma, untuk apa ke pasar kurma ini, bukankah sudah hampir masuk waktu zuhur. Alangkah ruginya jika tidak dapat solat berjemaah di Masjid Nabawi!”


Nampaknya, mutawif kami, seorang ustaz muda dari Indonesia dapat membaca isi hati kami lalu berkata: “Bapak-bapak dan ibu-ibu sekalian. Minta maaf banyak-banyak. Saya perlu izinkan mereka pergi ke pasar kurma. Memenuhi hajat orang amat dituntut oleh agama. Hari ini kita penuhi hajat mereka, insya-Allah, lain kali orang lain akan memenuhi hajat kita. Insya-Allah, kita akan dapat kedua-duanya sekali, memenuhi hajat orang dan juga solat waktu di Masjid Nabawi.


Ungkapan ustaz itu mengejut dan menyedarkan diri saya. Betapa saya hanya mementingkan diri, kononnya mahu dapatkan ribuaan dan jutaan pahala tetapi gagal menyelami dan menggembirakan hati insan lain. Saya bukan tidak tahu bahawa mengutamakan orang lain itu sangat dituntut oleh agama, tetapi pada saat-saat begitu mudah lupa diri. 


Bukankah sudah kita pelajari ada saat-saat tertentu solat boleh ditangguhkan misalnya jika hidangan sudah tersedia, kita perlu makan dulu; demikian juga jika kita dalam keadaan mengantuk yang terlampau sangat, tetapi hari itu dalam mengejar kepentingan diri, bagi mengaut keuntungan berganda bagi diri sendiri, saya terlupa segala-galanya.


Demikianlah betapa peristiwa itu telah mengajar saya erti kasih sayang; mengasihi sesama Muslim, memenuhi keperluan dan kehendak mereka selagi ia tidak berlawanan dengan hukum-hakam Allah SWT. 


Mengertilah saya bahawa Islam itu bukan soal ibadat semata-mata tetapi merangkumi segala-galanya termasuk kasih sayang sesama makhluk. Itulah sebabnya mengapa ada hadis menyatakan seorang lelaki pemberi minum anjing masuk syurga manakala seorang perempuan mengurung kucing sehingga mati dilemparkan ke dalam neraka!

No comments: