Monday, November 1, 2021

Rabiulawal 25, 1443: Istidraj, manusia derhaka...(U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 


Renungan 


"Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu sesungguhnya orang-orang sombong takabur daripada berdoa serta beribadat kepada-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." (Surah Ghafir, ayat 60) 


BERSYUKUR kepada Illahi kerana kita dipanjangkan usia dan diberi-Nya kesempatan untuk memuzakarahkan isu-isu semasa. Kali ini kita memperkatakan tentang moral masyarakat yang semakin merundum di samping jenayah yang semakin menjadi-jadi tetapi pada masa yang sama mereka dilimpahi rezeki dan nikmat melimpah luah. Kita bimbang ia istidraj Allah SWT.


Sesetengah pemimpin dan penyokongnya kerap kali mendabik dada (takabur) dan dihebahkan secara-besaran oleh media massa kononnya kemewahan yang dinikmati sekarang ini adalah hasil kebijaksanaan mereka mentadbir negara termasuk mengurus ekonomi, pihak lain tidak pandai.


Tentunya jika dilihat secara zahir, seolah-olah benar apa yang direpekkan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan. Pemimpin dan sesetengah rakyat kelihatan hidup mewah tetapi benarkah mereka berada dalam kedudukan sewajarnya? 


Allah SWT telah melimpahkan sumber alam yang cukup kaya kepada negara ini – petroleum, kelapa sawit, getah dan sebagainya – tetapi apakah kehidupan rakyat 'sejahtera' dalam erti sebenarnya?


Kita bimbang sesetengah pemimpin kita kerap mendabik dada kononnya merekalah saja yang boleh memerintah sehingga sesetengah rakyat negara ini berupaya hidup mewah, sewajarnya mereka perlu mengambil tanggungjawab bahawa keadaan sosial dan jenayah di negara ini semakin teruk dari sehari ke sehari.


Negara dan rakyat kini ditimpa pelbagai masalah menakutkan. Jenayah seperti pembunuhan, perompakan, ragut, rogol, zina dan membuang bayi semakin menjadi-jadi. Daripada setinggi-tinggi jenayah berprofil tinggi sehingga pembulian di sekolah, semuanya membimbangkan, membayangkan terlalu banyak perkara tidak beres dalam masyarakat kita. 


Jenayah kejam yang tidak terfikirkan dulu seperti anak membunuh bapa dan anggota keluarga lain termasuk suami isteri, perlu dimuhasabah; apa sebenarnya sudah menimpa masyarakat kita? Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda yang kita didik di sekolah-sekolah kita hari ini? 


Kita percaya ada kaitan antara jenayah yang semakin menjadi-jadi dan moral masyarakat yang semakin buruk ini dengan kemewahan dalam negara yang didakwa pemimpin berkenaan. Kita bimbang jika berlaku istidraj, iaitu adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredai-Nya. 


Rasullulah s.a.w. bersabda: ”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.” (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi) 


Tetapi, manusia termasuk pemimpin yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya dan pengampunya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka. 


Sekarang kita dapat saksikan betapa sejumlah pemimpin dan rakyat (pengampu) yang bermaksiat seperti terbabit dalam amalan rasuah, perjudian dan jenayah seksual, hidup mereka semakin senang dan masih berkuasa dan berkedudukan tinggi. Mereka masih memegang jawatan pengerusi itu dan pengerusi ini. 


Sebagai kebalikannya, orang taat dan baik termasuk pemimpinnya, ramai yang hidup sederhana saja malah ada yang susah. Manusia istidraj adalah orang yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. 


Mereka memandang hina kepada orang yang beramal, mereka tidak tahu sebenarnya, Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkan mereka. 


Manusia, apabila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah SWT, termasuk hukum-Nya. Misalnya, hukum hudud diperlekehkannya, ingatlah Firaun yang ada segala-galanya itu pun akhirnya binasa, apalah sangat pemimpin dan rakyat takabur negara ini. Oleh itu takutilah istidraj Allah SWT.

No comments: