Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)
PADA 'usia tak berapa muda ni', sesekali saya dan isteri berkunjunglah ke rumah anak menantu (dan cucu-cucu); sekali tu di rumah salah seorang daripada mereka, saya terjumpa buku 'The Psychology of Money' karya Morgan Housel (Harriman House) lantas membacanya.
Ada isi kandungannya memikat saya; misalnya dalam membicarakan topik 'Never Enough' (Tak Pernah Cukup), penulis menegaskan ramai manusia tersilap mencari bahagia...mereka tak pernah cukup dengan apa yang dimiliki...sudah jadi jutawan (millionaire) nak jadi 'billionaire' pula!
Natijahnya, ramai yang kecundang...macam semut dan gula, macam anjing dengan bayang-bayang - ya orang tamak selalu rugi...ada hadis menyatakan jika seseorang itu ada sebuah lembah emas, dia nak yang kedua, kemudian ketiga dan seterusnya sehingga tanah memenuhi mulutnya (matilah)!
Seorang ustaz dalam kelas pengajiannya yang saya hadiri bertanya jemaah masjid yang kebanyakannya golongan berusia 60+ "sebenarnya kita nak apa lagi dalam hidup ini...nak kahwin sudah kahwin, nak kereta sudah ada kereta, nak rumah sudah ada rumah, nak anak sudah ada anak, nak cucu sudah ada cucu...pendeknya semua sudah rasa...yang belum rasa hah tu masuk kubur" (lantas tangannya menunjukkan perkuburan di belakang masjid).
Ya masuk kubur saja kita belum rasa...kepada semua terutama golongan 60+ ingat-ingatlah umur kita semakin berkurangan hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, tahun demi tahun sehinggalah kita dipanggil untuk menghadapi Illahi.
Nabi Muhammad s.a.w. yang kita kasihi meninggal dunia dalam usia 63 tahun, demikian juga sahabat dan pengganti baginda Sayidina Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab, mereka meninggal dalam usia yang hampir sama dengan baginda Rasul.
Jika diandaikan umur kita sama juga dengan umur Nabi s.a.w. dan dua sahabat karibnya, bayangkanlah berapa baki umur kita di alam fana ini. Jika kita sudah berusia 60 tahun, baki umur kita hanya tiga tahun; jika umur kita 50 tahun, bakinya 13 tahun lagi.
Itu mengikut perkiraan tahun Masihi, jika berdasarkan kiraan tahun Hijrah, mereka yang berusia 60 tahun sebenarnya sudah berusia 62 tahun (tahun Hijrah kurang 11 hari berbanding tahun Masihi jadi setiap 30 tahun tambah 1 tahun). Jika kita melepasi 63 tahun, kita 'berumur subsidi' seperti diungkapkan kebanyakan orang sekarang.
Jika selama 60 tahun, kita hidup 'tanpa apa-apa' (maksudnya terlalu mengikut nafsu dunia) bayangkan apa yang kita dapat lakukan dalam masa baki usia kita. Bayangkan juga kita cuma berpeluang menyambut hari raya beberapa kali sahaja lagi (kiasan ini kerap digunakan di kampung-kampung). Persoalannya apa yang dapat kita lakukan dalam masa sesingkat ini?
Namun ada satu pesanan ulama yang dapat menguatkan azam kita untuk menempuh secara bermanfaat baki umur kita yang sangat singkat itu. Ulama berpesan masa itu sebenarnya ada tiga saja iaitu semalam, hari ini dan esok.
Semalam sudah menjadi sejarah; esok belum pasti. Yang kita ada hanya hari ini; jadi maksimumkan masa yang ada sekarang ini untuk menjadi insan terbaik dan insya-Allah, di akhirat nanti kita akan golongankan bersama para salihin, sadikin, syuhada dan anbia (golongan yang mendapat nikmat seperti diungkapkan dalam Surah Al-Fatihah)..
Bersediakah kita melakukan perubahan bagi menjadi insan tawaduk dengan berusaha mematuhi semua perintah Allah SWT dalam semua bidang kehidupan? Jika selama 60 tahun kita hidup, kita gagal melihat hukum-hukum Allah terlaksana sepenuhnya di bumi-Nya, masanya semakin singkat untuk kita menyaksikan saat paling bermakna itu. Kita tetap tertanya-tanya bila dan bila tetapi masa yang kita ada semakin lama semakin habis.
Misalnya, kita cukup mengerti, saban tahun pada bulan Ramadan hampir semua umat Islam berpuasa sejajar dengan ayat 183 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Tetapi bagaimana pula penerimaan kita apabila membaca ayat 178 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukum qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.”
Persoalannya di sini, adalah selama 60 tahun kita hidup itu, kita telah menggunakan segala kesempatan diberikan Allah SWT itu untuk berusaha menegakkan hukum-hakam-Nya termasuk perintah dalam ayat 178 Surah al-Baqarah itu.
Jika ya, alhamdulillah; tetapi jika tidak, marilah kita bermuhasabah diri, memanfaat baki masa yang sungguh singkat itu untuk menegakkan segala perintah Allah SWT dengan harapan menggunung agar Dia menerima segala amalan walaupun ia dilakukan pada sisa akhir umur kita.
No comments:
Post a Comment