Friday, November 19, 2021

Rabiulakhir 13, 1443: PAS Umno tak bermusuh - Pj PAS Melaka

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 


Renungan


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


PADA ambang pengundian PRN Melaka (Sabtu, 20 November), saya sempat mewawancara kilat Pesuruhjaya (Pj) PAS Melaka yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dun Duyong (N21), Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.


Disebabkan ruangan ini menyentuh golongan 60+ (veteran), soalan pertama saya kepada Ustaz Kamar (panggilan mesra orang kampung) apakah 'orang lama' sudah berubah untuk mengundi beliau kali ini kerana pada PRU-14 (2018) dahulu golongan ini tak berganjak memilih parti lama.


Pada PRU-14 lalu, di Dun yang mempunyai 18,110 pengundi ini (Melayu dipercayai lebih 50 peratus, Ustaz Kamar meyakini peratusnya lebih tinggi), undi pengundi Melayu di kalangan 'orang lama' dipercayai diraih calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili MCA (Lee Kiat Lee yang mendapat 4,747 undi).


Namun calon BN ditewaskan oleh Damian Baba Yeo daripada DAP (PH) yang memperolehi 7,642 undi (majoriti 2,895) meninggalkan Ustaz Kamar di kedudukan ke-3 dengan 2,938 undi manakala calon Bebas, Lim Jak Wong hilang deposit dengan hanya meraih 62 undi.


Kali ini PRN secara mengejut ini Dun Duyong menyaksikan satu lagi kejutan  apabila enam orang bertanding - Damian Yeo Shen Li (PH), Mohd Norhelmy Abdul Halem (BN), Kamaruddin Sidek (PN), Mohd Faizal Hamzah (Putra) dan dua calon Bebas, Muhammad Hafiz Ishak dan Gan Tian Soh.


Ustaz Kamar yakin pengundi veteran Melayu sudah berubah untuk mengundi beliau sebagai calon PN apatah lagi pemimpin tertinggi perikatan ini, Tan Seri Muhyiddin Yassin dengan panggilan mesra Abah amat berpengaruh di kalangan 'orang lama' antara lain kerana kerap dilihat membaca doa...ya ada terpampang sepanduk besar di sini - Abah Sayang Melaka.


Kepada golongan muda yang rata-ratanya mahir ICT (kaedah kempen pilihan raya terkini), Ustaz Kamar merayu mereka memberi penerangan serta penjelasan kepada mak ayah dan datuk nenek akan kepentingan mengundi PN agar kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri dapat diselaraskan.


Sekalipun akan berentap dengan calon orang muda Umno (Mohd Norhelmy Abdul Halem), Ustaz Kamar menegaskan PAS dan Umno tak bermusuh, antara lain katanya: "Kita menghormati hak parti masing-masing untuk bertanding...kita tak serang Umno...kita minta pengundi memilih dari segi integriti calon dan parti...kita bersaing pada pilihan raya ini sahaja, selain itu hubungan kita baik-baik sahaja."


Diterjah soalan apakah jawatan beliau sebagai Penasihat Agama Ketua Menteri dahulu kini dilihat aneh dalam 'pertarungan Umno-PAS' pada PRN ini, Ustaz Kamar menegaskan tugasnya dahulu adalah 'perjawatan dalam kerajaan lama' 

sedangan PRN ini adalah dalam proses menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

 

Dahulu (pada PRU-14 dan sebelumnya), penulis sebagai pengundi di Dun ini (termasuklah ibu ayah dan ramai lagi sanak saudara), sebenarnya sudah lama ternanti-nanti akan kehadiran seorang calon Muslim untuk dimenangkan seterusnya 'mendaulatkan' Islam di bumi Hang Tuah dan alhamdulillah Ustaz Kamar muncul pada PRU-14. Sebelum itu, pertarungan di Dun Duyong ini selalunya membabitkan calon 'not yet Muslim' daripada BN (MCA) dan DAP.


Bagi BN, pada PRN ini Dun Duyong tidak diwakili MCA, calon Umno mendapat peluang keemasan, dikhabarkan mendatangkan rasa kurang puas hati di kalangan penyokong MCA sehinggakan adik wakil rakyat dahulu, Gan Tian Soh (abang beliau Gan Tian Loo) bertindak bertanding sebagai calon Bebas. Perpecahan ini mungkin dimanfaat sepenuhnya pihak pesaing,



Bagi Ustaz Kamar pula, sekalipun ditentang tiga calon Melayu/Muslim beliau tetap berazam menawan hati pengundi Melayu/Islam dengan pendekatan pencerahan keindahan Islam yang selama ini terpahat di hati orang Melayu sejak zaman Kesultanan Melaka dahulu apatah lagi di Dun Duyong ini ada Kampung Duyong yang sinonim dengan pahlawan terbilang, Hang Tuah.


Sejumlah pengundi Melayu/Islam di Dun Duyong yang diwawancara, berharap Ustaz Kamar dapat 'berbuat sesuatu' pada saat-saat akhir sebelum hari pengundian untuk memenangi hati mereka terutama di kalangan mak cik dan pak cik (golongan veteran), terutama di kalangan orang pekat parti lama dan orang atas pagar. 


Kepada pengundi 'not yet Muslim' yang ramai seperti di Durian Daun juga tidak dilupai - insya-Allah beliau akan mempamerkan keindahan Islam termasuk dari segi akhlak (hubungan sesama manusia) bagi memikat mereka mengundi wakil rakyat mewakili parti Islam - diucapkan Selamat Berjaya kepada Ustaz Kamarudin Sidek calon PAS (Perikatan Nasional) bagi Dun N21, Duyong!


No comments: