Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"...dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), untuk menjelaskan dan (juga memberi) petunjuk serta rahmat dan pengkhabaran gembira bagi orang-orang yang tunduk kepada-Nya." (Maksud Ayat 89 Surah an-Nahl)
RENUNGILAH syair Arab ini dan fikir-fikirkanlah maksudnya. Semakin tua seseorang semakin sukarlah untuk dia menerima ilmu seperti penulis ini. Jadi kepada muda-mudi tuntutlah ilmu selagi terdaya.
Kukerap terlupa apa yang kupelajari pada masa tua
sedang yang kupelajari pada masa muda
tidak pula kuterlupa
takkan berkesan ilmu itu
kecuali yang dituntut pada masa muda
kalaulah boleh dibelah hati si pelajar pada waktu muda
kelihatan ilmunya umpama ukiran di atas batu
ilmu itu tak akan berkesan jika dituntut pada usia tua
Pabila tumpul hati
tumpullah pendengaran dan penglihatan
hidup manusia bergantung dua; akal dan logikanya
Pabila luput kedua-duanya, hidup sia-sia tidak berhaluan
Fikiran seseorang yang muda belia apatah lagi kanak-kanak masih banyak ruang kosong, membolehkan dia mudah menerima ilmu sedangkan orang dewasa apa lagi tua banyak perkara perlu difikirkan menyebabkan dia sukar menerima perkara baharu, kata orang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Kali ini saya utarakan kepentingan anak-anak muda kita agar gigih menimba ilmu pada ketika negara kita sudah pun berusia 60+ (Ogos lalu menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-64)..
Selain anak-anak muda, adalah penting untuk pemimpin kita memikirkan masa depan negara yang 'tak berapa muda ini'. Sebagai seseorang insan, 60 tahun adalah usia pintu gerbang alam tua tetapi bagaimana pula bagi sesebuah bangsa dan tamadun yang melepasi usia enam dekad?
Kita mungkin boleh menilai kematangan negara melalui isu berkenaan kemerdekaannya. Perkara pertama yang mahu disentuh adalah mengenai erti kemerdekaan itu sendiri. Bagi seorang kanak-kanak, Hari Merdeka mungkin bermaksud hari mengibar bendera, perarakan dan nyanyian. Bagi sesetengah orang, perlakuan itu bermaksud menunjukkan semangat patriotik seperti mengibar bendera.
Tetapi bagi seorang dewasa yang matang fikirannya tentulah maksud kemerdekaan itu lebih daripada itu. Kemerdekaan mempunyai maksud terlalu luas dan bukan bebas daripada cengkaman penjajah asing.
Penulis teringat khutbah Jumaat yang penulis amati di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beberapa tahun lalu. Khatibnya berkata kemerdekaan bukan saja bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsa lain.
Kemerdekaan juga bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsanya sendiri. Khatib mengambil contoh perjuangan Rasulullah s.a.w. untuk membebaskan bangsa baginda (Quraisy) daripada penjajahan mental ketua suku kaum mereka.
Hampir 10 tahun selepas berhijrah ke Madinah, baharulah baginda dapat memerdekakan penduduk Makkah daripada amalan keji seperti menyembah berhala. Selepas pembersihan kota suci Makkah, Islam dapat berkembang dengan pesat di seluruh Jazirah Arab.
Bagi orang Melayu yang merdeka jiwanya, tentulah kemerdekaan itu tidak hanya bermaksud bebas daripada cengkaman penjajah British. Ramai yang berkata penjajahan dalam bentuk fizikal mungkin tidak berulang tetapi cengkaman kuasa asing dalam bentuk lain masih wujud. Contohnya penjajahan dari segi ekonomi dan budaya.
Apatah lagi pada zaman perkembangan teknologi komunikasi yang amat pesat sekali. Hari ini mungkinkah hampir semua orang sudah menjadi 'hamba telefon bimbit'?...
Kini kita dapat saksikan kebenaran dakwaan itu. Dari segi ekonomi, kita masih bergantung kepada kuasa besar perdagangan yang bukan di kalangan negara Islam manakala globalisasi menyaksikan penduduk dunia amat mengenali KFC, McDonald's, Coke dan sebagainya.
Kita juga amat mengenali Hollywood dan Bollywood, sekali gus mengesahkan kita sebenarnya tidak merdeka dalam erti kata sebenarnya.
Jika kita menghayati apa yang berlaku kepada bangsa Melayu sendiri, kita akan sedar dalam banyak segi kita masih jauh daripada menepati maksud kemerdekaan itu.
Orang Melayu masih hidup dalam kelompok-kelompok tertentu dengan kumpulan berkuasa menjajah kumpulan yang tiada kuasa. Kumpulan tiada kuasa berterusan ditekan, hatta dalam menyatakan pandangan masing-masing.
Berdasarkan senario ini, adalah amat penting untuk anak-anak muda menimba ilmu sebanyak mungkin bagi memerdekakan bangsanya daripada terus dijajah termasuk oleh bangsanya sendiri. Ilmu itu amat berkesan ditimba semasa muda sebagai bekalan untuk berjuang sepanjang hayat.
Janganlah persia-siakan usia muda kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara - hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, lapangmu sebelum sibukmu, zaman mudamu sebelum tuamu dan masa kayamu sebelum papamu." - Riwayat Al-Baihaki daripada Ibnu Abbas.
No comments:
Post a Comment