Tuesday, November 16, 2021

Rabiulakhir 10, 1443: Iktibar dicakar kucing...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


SEORANG anak saya membela seekor kucing Parsi dalam rumah. Di luar rumah saya sentiasa ada sejumlah kucing jinak dan liar berkeliaran. Ada jantan dan betina. Suatu hari ketika saya membuka pintu dapur, si kucing Parsi yang kebetulan berada di situ melompat keluar, mengejar seekor 'kucing jantan jalang' yang cuba menjadi 'raja' di kawasan sekitar kediaman saya.


Kedua-dua kucing berlari jauh ke rumah seorang jiran, menyebabkan saya yang ketika itu hanya mengenakan kain pelikat dengan tuala mandi di tubuh (subhanallah, malu mengenangkannya) terpaksa mengejarnya. Kedua-duanya bergaduh di halaman rumah jiran itu.


Melihat kelibat saya, kedua-dua kucing itu berlari lagi dan kemudian berhenti untuk sedia bergaduh. Bulu dan ekor kedua-duanya sudah 'meremang'. Tanpa berfikir, saya cuba menangkap si kucing Parsi itu untuk membawanya kembali ke rumah dengan tidak pun membaca 'Bismillah' (tak ingat Allah-lah tu). Itulah 'bodohnya' saya kerana cuba menangkap 'binatang liar' yang tengah 'naik syeh'. Apa lagi saya dicakarnya di tangan. 


Seorang anak lelaki saya cuba membantu, dia juga kena cakar. Akhirnya kedua-dua kami 'dikejarkan' ke sebuah klinik 24 jam kerana 'klinik biasa' semuanya sudah tutup kerana kejadian berlaku pada hampir maghrib malam Ahad. Alhamdulillah, luka taklah teruk sangat, tapi kami kena suntik dan diberi ubat yang kosnya berjumlah RM100.


Ya, tak ada orang yang suka terbabit dalam 'kemalangan' (hal yang kita anggap tak baik) seperti kena cakar kucing. Tetapi saya dan anak saya sudah ditakdirkan untuk dicakar kucing. Itu ketentuan Illahi. Demikian kita tak suka dengan ketetapan sedih lain seperti kematian kaum kerabat, jatuh sakit, harta hilang dan lambat dibayar gaji. Semuanya adalah ujian daripada-Nya.


Sebagai hamba Yang Maha Kuasa kita perlu menerima ketentuan-ketentuan ini dengan lapang dada, malah kita perlu bersyukur kerana kita masih diberi-Nya peluang untuk terus hidup namun sebagai manusia biasa, saya 'marah-marah' dengan 'ketentuan yang saya anggap tidak baik ini' dan baru sekarang ini cuba-cuba belajar untuk memahamkan diri apa yang kita suka dan tidak suka itu 'tidak penting' - yang teramat penting ialah kita hendaklah sealiran dengan apa yang Allah suka dan tak suka!


Dicakar kucing difikirkan tidak baik oleh saya tetapi subhanallah, mungkin ia baik di sisi Allah SWT. Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Tahu. Dia tahu bahawa peristiwa saya dicakar kucing itu adalah baik bagi saya, Dia mahu mengajar saya tetapi saya tidak dapat melihat dan menyelaminya. Maklumlah saya tersangatlah kurang ilmu...


Kesedaran sebegini timbul di hati saya akibat terkesan dengan tazkirah seorang ustaz di sebuah masjid berhampiran rumah saya yang menyebut bahawa hampir semua manusia sukakan sesuatu yang dia sangkakan baik dan tidak sukakan sesuatu yang dia sangkakan tidak baik baginya sedangkan hakikatnya yang menentukan sesuatu yang baik dan tidak baik itu hanyalah Allah SWT.


Ambil contoh mudah, ubat itu pahit dan gula itu manis...hampir semua manusia tidak suka makan ubat tetapi suka makan yang manis-manis. Pada 'manusia biasa-biasa' dia suka gula-gula dan mengelat daripada makan ubat, tetapi hakikatnya ubat itu membantu dalam penyembuhan sesuatu penyakit sedangkan gula-gula yang disukai itu membawa kepada penyakit...


Subhanallah benar sekali kata ustaz itu, kebanyakan daripada kita hidup berdasarkan kepada apa yang kita suka dan bukannya Allah suka. Ambil contoh mudah, kita suka makan tetapi Allah tidak suka kita makan melampaui batas. Kita suka mengikut nafsu termasuk dari segi seks (maaf cakap atau tulis) tetapi Allah tidak suka kita melampaui batas. Kita suka harta, anak-anak, sawah ladang dan kenderaan hebat, tetapi Allah tidak suka kita melampaui batas. 


Ringkasnya, semuanya ada had dan peraturan. Boleh makan, minum, berkelamin, berharta banyak dan sebagainya tetapi semuanya tertakluk kepada kehendak Yang Maha Kuasa bukan kehendak dan kesukaan kita!


Dan bagi diri saya; saya tidak suka dicakar kucing tapi bagi Allah SWT ia sesuatu yang baik bagi diri saya. Ya untuk mengajar saya agar tidak sombong, tidak berasa kuat sebaliknya mengakui terlalu lemah di dunia ini. Iktibarnya, sebenarnya kita sebagai manusia adalah terlalu lemah, bila-bila masa saja boleh ditimpa kemalangan, jatuh sakit dan MATI. Jadi bertaubatlah dan akuilah yang terbaik bagi kita adalah atas kehendak Allah SWT bukan  berdasarkan kemahuan kita.


Sebagai pengakhiran celoteh, akuilah undang-undang Allah termasuk hudud itu adalah yang terbaik cuma kita saja manusia yang hidung tak mancung pipi tersorong-sorong tetap dulu, kini dan selamanya sombong tidak mahukan hukum Allah sebaliknya memilih undang-undang ciptaan manusia!


Kena cakar kucing pun sudah tak tahan bisanya, jadi fikir-fikirkan azabnya jika dihumbankan ke dalam neraka-Nya. Nauzubillah. Seksaan neraka paling ringan yang dialami Abu Talib, otaknya menggelegak apabila dipakaikan terompah neraka. Jadi, masih ada hati hendak melawan Allah seperti menolak hukum-hakam-Nya?


Aku bertaubat kepadamu, ya Allah! Kau ampunilah daku yang banyak dosa ini sebab itu kena cakar kucing. Kalau sombong lagi entah-entah kena 'cakar rimau' pula...

No comments: