Thursday, August 5, 2021

Zulhijah 26, 1442: Masa saksi hukum-hakam Islam terlaksana sepenuhnya kian singkat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Takutilah mereka dengan hari penyesalan (Kiamat) ketika dihukum tentang perkara yang telah dilakukan sedangkan mereka dalam kelalaian dan mereka tidak beriman." (Q.S. Maryam:39)



MEMASUKI tahun baharu Hijrah 1443 bermakna baki usia kita semakin pendek. Kita menjadi semakin cemas sama ada dengan sisa umur itu kita dapat menyaksikan hukum-hakam Islam ditegakkan sepenuhnya dalam diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara kita.


Adalah wajib bagi setiap Muslim mempunyai niat atau cita-cita menegakkan hukum-hakam Islam. Dengan adanya niat itu, diharapkan kita terlepas daripada dakwaan tidak melaksanakan hukum Allah apabila diadili di Mahsyar nanti.


Bagaimanapun niat saja tidak mencukupi. Niat perlu disertakan usaha dan doa. Setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Misalnya, ustaz dengan kelas pengajiannya, pemimpin dan aktivis parti dengan perjuangan masing-masing, penulis dengan tulisannya dan begitulah seterusnya.


Selain usaha, doa amat penting, apakah kita sudah berdoa bersungguh-sungguh, merintih pada-Nya agar dibukakan-Nya jalan bagi kita membantu usaha ke arah menegakkan hukum-hakam Islam sepenuhnya di negara ini. 


Marilah kita berdoa semoga pembesar dan pemimpin negara dibukakan hati untuk melaksanakan hukum-hakam Islam. Marilah kita berdoa supaya pemimpin kita terbuka hatinya untuk menjalankan hukum-hakam Islam.


Islam yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah sempurna. Ini termasuklah hukum-hakamnya. Adalah amat malang jika manusia menolak hukum-hakam Allah sebaliknya mencipta atau menerima hukum manusia terutama dari Barat untuk diadaptasi dalam kehidupan.


Adalah salah untuk berhukum selain daripada apa ditetapkan oleh-Nya. Kenapa manusia pandai-pandai mahukan penyelesaian mengikut cara dan pemikirannya dan bukan undang-undang Yang Maha Kuasa? Tidak mahukan hukum-hakam Allah bermakna tidak takutkan Allah. Jika seseorang atau negara tidak melaksanakan hukum Allah bermakna dia lebih berkuasa daripada Allah, sebab dia mampu tolak perintah Allah.


Kita doakan agar Allah Taala membukakan hati pemimpin mendaulatkan Islam. Kita sudah terlalu rindu mahu melihat hukum-hakam Allah tertegak di bumi-Nya. 


Dari setahun ke setahun, umur kita semakin berkurangan, apakah hukum hakam Allah sudah ditegakkan? Aneka jenayah termasuk pembunuhan, zina dan rasuah semakin menjadi-jadi, akhlak pemimpin dan rakyat semakin buruk, masa depan kehidupan semakin kelam.


Menoleh ke belakang dan melihat ke depan, kita rindu untuk melihat Islam didaulatkan. Umur kita semakin pendek, kita menjadi cemas; sempatkan kita melihat hukum-hakam Allah terlaksana sebelum mata kita tertutup rapat.


Sehubungan itu, dalam kesempatan singkat ini marilah kita bergabung tenaga dalam jemaah yang berazam menegakkan hukum-hakam-Nya. Tiada daya upaya untuk kita bertindak sendirian, marilah kita korbankan diri dalam membantu jemaah ini menegakkan Islam. 


Biarlah kita mati dalam perjuangan menegakkan hukum-hakam-Nya sepenuhnya, sekalipun cita-cita itu tidak terlaksana ketika hayat kita tetapi yakinilah suatu hari Islam tetap tertegak di bumi tercinta ini.

No comments: