Friday, August 13, 2021

Muharam 4, 1442: Antara bapa popular, bapa bertanggungjawab

DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 


Renungan 


Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Jika salah seorang antara kamu minum maka janganlah bernafas di dalam bejana (tempat air minum). Jika kamu ke bilik air maka janganlah menyentuh kemaluan dengan tangan kanan, dan janganlah beristinjak dengan tangan kanan." (HR. Bukhari dan Muslim) 


BAGI sebahagian rakyat, Perdana Menteri adalah bagaikan bapa mereka. Sebab itu ada gelaran diberikan kepada mereka seperti Bapa Kemerdekaan dan Bapa Pembangunan. Isu Perdana Menteri sekarang ini mendapat perhatian sesetengah pihak jadi pada kesempatan kali ini kita ingin mengajak pembaca memuzakarahkan kedudukan seorang bapa sama ada dia mahu menjadi bapa popular atau bapa bertanggungjawab sekali gus penyayang terhadap anggota keluarganya. 


Dalam sesebuah keluarga, bapa bertanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Dia adalah ketua keluarga. Bertanggungjawab terhadap mereka di dunia supaya bahagia di akhirat. Dalam Surah at-Tahrim ayat 6, Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka." Tentunya pada peringkat awal perkahwinan, hanya ada suami dan isteri. Terpulanglah kepada si suami sama ada mahu menjadi popular (disenangi) isteri atau menjadi suami bertanggungjawab sekali gus menyelamatkan isterinya daripada ceburan api nereka. 


Seorang suami jika mahu popular atau dalam istilah orang sekarang 'abang begitu sporting' kepada isterinya, berilah kebebasan sepenuhnya kepada isteri. Jika isteri mahu keluar rumah berjumpa temannya tidak kira lelaki atau perempuan, biarkan; usah ditanya ke mana dia pergi. Jika dia keluar rumah tanpa mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya seperti yang biasa dilakukannya sebelum berkahwin, biarkan. Ini kerana jika si suami cuba menghalang isteri daripada berbuat demikian, dia tidak lagi jadi popular malah ada kalanya menjadi bahan kemarahan. 


Kemudian berilah peruntukan (wang) yang besar kepada isteri. Apa isteri nak buat atau belanjakan wang itu biarkan. Jika isteri meminta diberikan cincin emas dan permata yang harganya tidak mampu dibiayai dengan wang gaji, usahakan untuk menjayakannya, hatta sehingga terpaksa makan wang rasuah pun tak apa. Ikutlah semua cakap isteri, pasti dia bertambah popularlah si suami. 


Si isteri pasti sentiasa mahu suami berada di sampingnya, jadi tak payahlah si suami pergi solat berjemaah di masjid; tak payahlah hadiri kelas pengajian di masjid; tak payahlah sertai jemaah memperjuangkan Islam apatah lagi berjihad di jalan-Nya. Jika dibuat semua ini pasti si suami akan menjadi popular di hati isterinya. Si isteri pula tak payahlah diminta ke masjid untuk mengikuti kelas pengajian kerana ia akan membuatkan si suami tidak popular. Sebaliknya biarkan si isteri bermalas-malasan menonton filem Hindustan, dari pagi sampai malam. 


Apabila sudah beranak pinak, untuk menjadi popular berikan anak wang belanja yang besar, sediakan pelbagai kemudahan kepada mereka. Apa yang anak-anak buat dengan duit itu biarkan kerana dengan itu si bapa akan popular di hati anak-anak. Jika anak-anak tidak menunaikan ibadat seperti solat atau puasa, biarkan kerana dengan menyuruh mereka, si ayah akan mengundang kemarahan mereka dan menjadi tidak popular. Jika anak-anak mula merokok biarkan kerana jika ditegur bapa akan tidak menjadi popular. Bapa tak 'sporting', kata mereka. Jika anak-anak sudah lebih teruk lagi seperti mengambil minuman keras dan main judi, biarkan kerana bapa 'sporting' akan popular di kalangan anak-anak. 


Bapa bertanggungjawab yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan biasanya tidak popular di kalangan anak-anak. Asyik-asyik ajak sembahyang, kata mereka; tetapi percayalah kesannya tersangat hebat. Apabila seorang anak itu sudah dewasa lebih-lebih lagi jika si bapa sudah meninggal dunia, barulah dia menghargai kesungguhan si bapa termasuk sentiasa teringat bagaimana dia dirotan tatkala tidak solat; sesungguh bapa yang tidak popular itulah yang berjuang bermati-matian menyelamatkannya daripada diceburkan ke dalam api neraka. Jadi yang mana satu pilihan pembaca, seorang bapa yang popular atau bapa yang bekerja kuat bagi kebahagiaan keluarganya bukan saja di dunia bahkan bersambungan di akhirat nanti!

No comments: