Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Firman Allah Taala: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu apabila disebutkan Allah nescaya gementarlah hati mereka ketakutan (laksana hati jadi jilah bersih dan hidup)." (al-Anfhal, ayat 2)
KIRA-KIRA 20 tahun lalu (Nov/Dis 2001) saya berada di sempadan Pakistan-Afghanistan bersama pasukan perubatan/bantuan PAS bagi membantu pelarian di samping melaporkan perkembangan terkini di bumi bergolak itu yang diinjak-injak penuh sombong tentera sofistikated Amerika.
Hari ini tentera Amerika malah Washington sendiri tertunduk malu besar, penuh penghinaan terpaksa meninggalkan Afghanistan yang tak pernah terkalah oleh kuasa penjajah dunia - dahulunya British, kemudian Soviet Union (USSR) dan terkini Amerika Syarikat.
Namun selepas tewasnya British dan USSR, Afghanistan tak pernah aman, dan kali ini selepas Taliban berjaya menegakkan kerajaan di Kabul berikutan pengunduran tentera Amerika, didoakan bumi ini dapat mencatatkan lembaran baharu yang memberi sinar kepada umat Islam dan dunia seluruhnya.
Ketika tumbangnya rejim Najibullah boneka USSR di Afghanistan pada 1992, dunia Islam berharap kerajaan baharu Mujahidin yang ditubuhkan di Kabul menjadi contoh kegemilangan tamadun Islam zaman moden.
Ditambah kemunculan enam republik Islam di Asia Tengah (Azerbaijan, Turkmenistan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Kazakhstan), selepas kehancuran USSR pada 1991, harapan kembali berbunga bahawa tamadun Islam akan kembali bersinar selepas hancurnya daulah Islamiyah Uthmaniyah Turki pada 1924, gara-gara 'permainan licik' Kamal Ataturk.
Malangnya impian itu menjadi igauan apabila Afghanistan menjadi 'neraka dunia'. Penduduknya yang sudah melalui kesengsaraan perang berikutan campur tangan USSR terus menderita. Kali ini di tangan saudara seagama dan kemudian oleh si penjarah zalim Amerika pimpinan presiden gila, George W Bush.
Di Afghanistan, Pertubuhan Persidangan (kini Kerjasama) Islam (OIC) yang diamanahkan memastikan kesejahteraan ummah, gagal meleraikan kumpulan Mujahidin yang bertelagah. Pada awal dekad 90-an, ketua kumpulan Hizb-I-Islami, Gulbuddin Hekmatyar terus memerangi Presiden Burhanuddin Rabbani sekalipun diberikan jawatan perdana menteri.
Kemunculan kumpulan pelajar, Taliban adalah di luar jangkaan, tetapi mereka mendapat sokongan rakyat. Pada pertengahan dekad 90-an, mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan bumi Afghanistan dan akhirnya berkuasa pada 1996-2001 sebelum 'dibantai' secara zalim oleh Amerika berikutan Tragedi.11 September 2001.
Ketika memerintah, pendekatan dan kesungguhan Taliban melaksanakan hukum-hakam Islam yang didakwa 'secara keras (mengikut tafsiran mereka)', menyebabkan mereka terasing daripada dunia Islam sendiri dan dicemburui Barat. Suatu ketika tindakan mereka menghancurkan patung purba Buddha di Bamiyan, mencetuskan kemarahan dunia.
Apabila tercetus Peristiwa 11 September, tidak semena-mena Taliban menjadi sasaran. Taliban didakwa melindungi pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden. Lanjutan dendam Barat kepada Taliban, Amerika menggunakan kesempatan itu untuk 'menguji' senjata-senjata canggihnya di bumi yang hampir musnah itu.
Hasilnya Afghanistan hancur tetapi Amerika dengan bongkaknya berkata demokrasi sedang berkembang selepas meletakkan bonekanya, Hamid Karzai sebagai presiden yang kuasanya berakhir pada 2014 dan digantikan oleh Ashraf Ghani yang akhirnya terpaksa melarikan diri ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ketika Taliban mara ke Kabul.
Kini, Taliban yang kembali berkuasa, mengumumkan penubuhan negara Emiriyah Islam Afghanistan. Munculnya kembali Taliban berkuasa di Kabul selepas 20 tahun apatah lagi selepas berjaya membawa pengunduran tentera Amerika disambut gegak gempita sebahagian pihak di dunia Islam.
Ada yang mendakwa ini sebahagian daripada kebangkitan Islam...akan munculnya Panji-Panji Hitam Dari Timur, petanda kemunculan Imam Mahadi dan sebagainya.
Apa pun dakwaan pihak-pihak ini selepas kejayaan Taliban menguasai Kabul, diharap pejuang atau mujahidin Afghanistan tidak mengulangi apa yang mungkin didakwa sebagai kesilapan lampau (ketika berkuasa dahulu) iaitu apa didakwa sikap keras mereka seperti tidak membenarkan murid perempuan ke sekolah.
Sehubungan itu, disambut baik apa didakwa sebagai era baharu pemerintahan Taliban seperti diikrarkan oleh pengasas bersama dan pemimpin politik kumpulan Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar bahawa pihaknya akan menjalin hubungan baik dengan negara luar dan menghormati hak-hak wanita di Afghanistan.
Abdul Ghani yang digembar-gemburkan bakal Presiden Afghanistan.berusaha meredakan ketakutan rakyat yang khuatir zaman pemerintahan agak keras kumpulan itu akan kembali sama seperti sebelum ini.
“Kami tidak mahu ada musuh dalaman atau luaran. Wanita boleh bekerja, belajar dan akan dibenarkan bergiat aktif dalam masyarakat tetapi perlu mengikut syariat Islam,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid dalam sidang akhbar pertama kumpulan itu selepas menguasai Kabul. Katanya, terdapat perbezaan sangat besar antara pentadbiran Taliban sekarang berbanding 20 tahun lalu, katanya.
Benar, dunia apatah lagi dunia Islam berharap Taliban sudah matang pada peluang kedua ini. Jangka waktu 20 tahun bukan singkat; jika anak-anak Pashtun (kaum majoriti di Afghanistan dan ramai berada di Pakistan) yang saya (penulis) santuni di kem-kem pelarian sempadan Afghanistan-Pakistan ketika itu berusia 10 tahun, mereka kini sudah menjadi pemuda sasa dan pemudi cerdas dalam membangunkan bumi pertiwi tercinta (Afghanistan) sekali gus membela Islam. Allahuakbar!
No comments:
Post a Comment