Tuesday, August 17, 2021

Muharam 8, 1443: Semuanya Allah punya...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."


SUATU hari sejurus solat sunat ba'diyyah zuhur di masjid kampung saya, terkejut saya apabila pengerusi masjid and seorang AJK-nya menyuakan satu bungkusan barangan keperluan dapur termasuk sekampit beras lima kilogram kepada saya.


Selain itu, ada satu lagi bungkusan, yang kata AJK masjid, saya diamanahkan untuk menyampaikannya kepada bapa saya. Saya tak berkata apa-apa selain mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka dan mengangkut barangan pemberian itu ke motosikal saya. 


Saya perasan hanya saya dan bapa diberikan bungkusan itu, orang lain tiada. Saya pula tak tanya atas faktor apa saya dan bapa diberikan barangan berkenaan.


Saya 'rasa', saya 'taklah susah sangat' untuk diberi bantuan itu, tetapi prinsip saya mudah, orang beri kita ambillah sahaja, jangan banyak 'songeh'. Ucap Alhamdulillah, semoga Allah tambah lagi rezeki kita, insya-Allah.


Sampai di luar rumah saya 'check' (periksa) bungkusan itu. Selain sekampit beras dan 10 biji telur yang dibubuh berasingan, ada tepung gandum 1kg, gula  pasir 1kg, sepaket biskut lemak, sebotol kicap, setin susu lemak manis, sepaket uncang teh dan setin kecil kaya.


Syukur, Alhamdulillah, tetapi hakikatnya saya tidak perlukan barangan itu. Jadi apa yang saya lakukan, saya pamerkan barangan itu dan ditambah dengan barangan lain yang saya beli sendiri, di depan rumah saya dengan menulis plakad 'Makanan Infak' - ertinya siapa yang lalu-lalang dan berkehendakan barangan berkenaan, ambillah...


Demikianlah rezeki Allah kepada kita terlalu lumayan dan tak dapat dijangka. Ya, tiba-tiba sahaja, saya diberikan beras, gula, telur dan sebagainya yang saya tahu di dapur rumah saya tak pernah putus bekalannya. Tetapi, ya mengapa diberikan kepada saya lagi...inilah rahsia Allah SWT yang kita tak tahu, tetapi kita boleh renungi hikmahnya...misalnya rezeki daripada Allah diberikan kepada sesiapa dipilih-Nya dan juga kita boleh berbudi kepada orang lain dengannya.


Berkenaan hal ini, terkenang saya akan lirik sebuah lagu Iwan Syahman yang antara lain berbunyi: 


Lihatlah gunung yang tinggi
Subhanallah, itu Allah yang punya

Lihatlah pantai yang indah
Subhanallah, itu Allah yang punya

Tiada yang engkau punya
Semuanya Allah punya
Tiada yang engkau punya
Semuanya Allah punya

Lihatlah burung yang terbang
Subhanallah, itu Allah yang punya

Lihatlah bunga yang mekar
Subhanallah, itu Allah yang punya




Tiada yang engkau punya
Semuanya Allah punya
Tiada yang engkau punya
Semuanya Allah punya

Kau lihat bukan kau punya
Itu semua Allah punya
Kau dengar bukan kau punya
Itu semua Allah punya

Dari itu janganlah sombong
Janganlah riak serta iri hati
Dunia hanya pinjaman sementara
Akhirnya kembali kepada-nya

Tiada yang engkau punya
Semuanya Allah punya
Tiada yang engkau punya
Semuanya Allah punya


Rezeki yang Allah SWT beri kepada kita jangan ditamak-tamakkan. Kalau sudah rezeki itu ditakdirkan milik kita, ia tetap milik kita sekalipun dalam mulut buaya, kata orang-orang tua. Namun kalau bukan ditakdirkan bukan milik kita, dah hampir masuk ke mulut pun boleh ditepis orang lantas jatuh ke tanah.


Berhubung ketamakan manusia termasuk di kalangan pemimpin, bekas Mufti Wilayah Persekutuan (kini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kitab Syarah Al-Hikam ada mencatatkan kisah ini untuk menjadi pengajaran bersama.


Al-Qahir, salah seorang khalifah kerajaan Abbasiyyah, berkata: "Saya mahu menyimpan bekalan untuk tempoh setahun, dan menyimpan harta untuk hari-hari susah." Kemudian dia menggali  sebuah lubang di tanah dan mengisinya dengan emas dan perak, seolah-olah dia tidak percaya kepada Allah SWT.


Dia berkata kepada anak-anaknya: "Wahai anak-anakku! Kalian janganlah takut miskin. Ayahanda sudah memenuhkan lubang ini dengan harta yang banyak. Seandainya ia dibahagikan kepada seluruh penduduk Baghdad, nescaya setiap penduduknya akan menjadi saudagar."


Apakah yang Allah SWT berikan kepadanya, setelah dia menyimpang dan tidak mematuhi perintah-Nya. Akhirnya, dia dipecat daripada jawatan khalifah. Kedua-dua biji matanya dicungkil keluar. Semua harta kekayaannya disita dan diserahkan kepada khalifah selepasnya.


Setelah itu, dia menjadi peminta sedekah di hadapan masjid jamek terbesar  di Baghdad. Dia selalu berkata: "Wahai hamba-hamba Allah! Sumbangkanlah sebahagian hartanya ke jalan Allah."


Mendengar kata-katanya, orang ramai berkata: "Tengok lelaki ini. Dulu, dia mensia-siakan Allah, Kini, Allah pula mensia-siakannya."


Marilah kita mengambil pengajaran daripada kisah ini, sejajar dengan saranan Allah SWT dalam firman-Nya dalam Surah Qaf (50) ayat 37 yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam (apa yang disebutkan) itu, terdapat peringatan bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang mengerti) atau menumpukan pendengarannya (kepada peringatan itu), dalam keadaan dia hadir (hati dan tidak lalai)."


Semoga kita semua menjadi hamba Allah SWT, yang sentiasa taat dan patuh kepada-Nya, sama ada semasa senang mahupun semasa susah, sehingga kita meraih 'mardhatillah' di dunia dan akhirat. 


Kepada orang berharta dan yang berasa 'punya apa-apa', ingatlah harta hatta diri kita sendiri bukan milik mutlak kita - rajin-rajinlah mengagih-agih sebahagian daripada harta apatah lagi pada musim pandemik yang sukar sekarang ini; ya tiada yang kau punya, semuanya Allah punya...

No comments: