Sunday, August 22, 2021

Muharam 13, 1443: Hipokrit (munafik) dalam politik hancur generasi muda

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."


SETIAP tamadun, apatah lagi agama menyanjungi ketelusan. Agama membenci sikap hipokrit (bermuka-muka) dan dalam istilah agama Islam ia dipanggil munafik.


Berhubung persoalan munafik ini, saya tertarik dengan tulisan seorang pembaca dalam akhbar 'The Sun' tidak lama dulu. Penulis bimbang sifat munafik yang semakin berleluasa dalam masyarakat akan menjejaskan masa depan anak-anak.


Antara lain, Noel F D'Oliveiro menulis: "Hipokrasi (bersifat munafik) adalah kejahatan tahap tertinggi dalam masyarakat. Ia wujud dalam diri kita dan dalam semua peringkat masyarakat, dalam kelas atasan dan rendah. Kita semua biasa dengan sifat munafik ini - dalam politik, pengiklanan, media massa, perubatan dan paling menyedihkan dalam agama."


Kita lihat dulu amalan munafik dalam bidang politik. Kita lihat politik antarabangsa. Biasalah bagi kuasa besar dunia (Amerika Syarikat, Britain dan sebagainya) bercakap hebat mengenai amalan demokrasi dan hak asasi manusia.


Tetapi hakikatnya, mereka tidak pedulikan apa yang mereka hebohkan itu. Kuasa besar ini mahu negara lain mengikut telunjuk mereka. Yang melawan akan menerima padah seperti Iraq, Sudan, Libya atau Iran dan Afghanistan. 


Laungan demokrasi dan hak asasi adalah untuk memuaskan nafsu mereka saja. Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mereka wujudkan diperkudakan untuk kepentingan sendiri. PBB dijadikan topeng untuk mengesahkan sifat munafik mereka.


Politik negara kita juga menyaksikan perkara yang sama. Dari peringkat paling atas, cakap-cakap mengenai demokrasi dan hak asasi dihebohkan, tetapi setakat mana ia benar-benar dikotakan, tidaklah diketahui.


Di kalangan tokoh politik, sifat hipokrit boleh disaksikan menjelang satu-satu pilihan raya. Biasanya, sebelum sesuatu pilihan raya, sesebuah parti atau calon itu akan membuat pelbagai janji manis, tetapi selepas pilihan raya, kebanyakannya dilupakan. Ini satu ciri munafik - mungkir janji.


Kemudian kita saksikan gelagat sesetengah tokoh politik dan pemimpin kita yang 'cakap tak serupa bikin'. Ada pemimpin apabila harga minyak naik, menghebohkan 'ubah gaya hidup' tetapi dia dan anak isteri hidup bermewah-mewah. Bukankah ini hipokrit namanya.


Pembohongan ini akan mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak. Jika orang tua sudah mengajar mereka berbohong, hampir pasti sifat buruk itu akan diteladani. Kata orang jika guru kencing berdiri, pasti anak murid kencing berlari.


Kemudian kita lihat pula pembohongan yang dilakukan oleh sesetengah media kita. Kalau tersilap lapor, boleh dimaafkan tetapi jika sengaja menyiarkan laporan tidak benar semata-mata untuk memuaskan pihak tertentu, ia akan 'melahirkan pembohong' dalam masyarakat kita.


Dalam bidang pengiklanan juga berlaku pelbagai pembohongan. Dikatakan sesuatu barangan mempunyai pelbagai keistimewaan sedangkan hakikatnya tidak begitu.


Sekalipun dunia dikatakan sudah sampai ke kemuncak ketamadunan manusia, wanita terus diekspolitasi, termasuk dalam dunia pengiklanan. Kecantikan wanita terus diperdagang sedangkan seluruh dunia dicanang bahawa wanita kini menikmati kehidupan paling bermaruah.


Cuba kita renung dan fikirkan nasib wanita berdasarkan Academy Award bintang-bintang Hollywood.  Kebanyakan gambar artis wanita yang dipancarkan ke seluruh dunia sama ada melalui media cetak atau elektronik, menunjukkan buah dada masing-masing sedangkan pasangan mereka (lelaki) berpakaian serba lengkap.


Artis-artis ini dan kebanyakan pertubuhan wanita dunia menganggap cara hidup ini adalah yang terbaik, sebagai sesuatu yang bertamadun, hakikatnya ia satu langkah menzalimi wanita itu sendiri.


Ironinya, wanita Islam Afghanistan yang memakai burqa dituduh sebagai kolot dan pemerintah yang memaksa pemakaiannya dianggap zalim dan perlu diperangi. Itulah sebabnya Taliban dihancurkan dan cara hidup Barat dihidupkan kembali di Afghanistan. Namun sekarang Taliban kembali berkuasa di Afghanistan. Kita tunggu perkembangan selanjutnya.


No comments: