Monday, August 23, 2021

Muharam 14, 1443: Umat Islam perlu banyak bertindak daripada cakap

Dengan nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


JANGAN BERSUMPAH SEMBARANGAN: Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah kalian bersumpah dengan nama-nama ayah-ayahmu, dengan nama ibu-ibu, juga janganlah kamu bersumpah dengan nama-nama dewa. Dan janganlah kamu bersumpah dengan nama Allah, kecuali kalian orang-orang yang benar." (HR. Abu Daud dan Nasa'i)


BAYANGKAN senario hari minggu ini. Sebaik saja bangun pagi kita bergegas ke bilik air. Gosok gigi dengan ubat gigi Darlie. Mandi dan kemudian sarungkan baju Camel dan seluar Levis. Tengah hari apabila terasa lapar kita bergegas ke restoran Kentucky Fried Chicken. Sudah kenyang mata mengantuk. Raba poket, keluarkan rokok Winston. Untuk hilangkan bosan, langkah ke hayun ke pawagam. Tengok filem Avatar.


Tanda sedar sebahagian besar barangan dan perkhidmatan yang kita gunakan sebenarnya datang dari jauh. Dari Amerika. Biasanya pada ketika tekanan ke atas umat Islam amat hebat seperti serangan ganas ke atas rakyat Palestin atau penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w., kita bercakap hebat untuk memulaukan barangan keluaran atau bercirikan Amerika dan Israel.


Gesaan atau kempen memulaukan barangan Amerika mungkin didorong daripada semangat berkobar-kobar untuk membalas apa yang dianggap ketidakadilan ke atas ummah, tetapi setakat mana kesungguhannya atau mungkinkah usaha itu hanya mampu hidup pada ketika krisis tetapi semakin lama semakin dilupakan.


Satu perkara begitu mendukacita yang melanda umat Islam dalam menangani masalah membabitkan ummah terutama dari aspek antarabangsa, adalah dengan gaya menunjuk-nunjuk (tunjuk perasaan, bantahan, mogok, pemulauan dan sebagainya). Amat sedikit sekali usaha dilakukan untuk menyelami punca masalah dan mencari jalan menyelesaikannya.


Hakikatnya umat Islam mesti kuat, mereka mesti keluar daripada kepompong pergantungan kepada kuasa besar dunia. Dewasa ini, hanya sebuah negara Islam yang mampu melakukannya iaitu Iran. Disebabkan ini, ia menjadi pusat cemburu kuasa besar Barat yang menunggu saja masa untuk menghancurkannya. Tetapi itu tidak semudah itu sebab pemimpin dan rakyat Iran mempunyai jati diri yang amat kuat.


Oleh itu, sewajarnya umat Islam belajar membangun dan memajukan diri sendiri. Masanya belum terlambat dan biarlah kita merangkak daripada tidak berbuat apa-apa. Kung Fu-Tze pernah berkata, 1,000 langkah bermula daripada langkah pertama. Umat Islam perlu mengakhiri sikap menyalahkan orang lain. Salahkah Amerika dan kuasa besar lain. Kutuk Amerika, kutuk Britain dan kutuk Rusia. Hantar memorandum meminta belas kasihan kepada pemimpin dunia, tetapi seperti biasa ia tidak membantu ummah.


Umat Islam perlu bangun daripada tidur yang lama. Sedar daripada mimpi. Kita sering bercakap mengenai keagungan zaman lampau. Zaman keemasan Islam ketika pemerintahan Umaiyah, Abasiyah atau pun zaman Uthmaniyah. Kita bangga dengan tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ulugbek, Ibnu Battuta dan sebagainya. Tetapi mengapa tidak pula mahu bercakap mengenai zaman keemasan Islam pada masa depan?


Mengapa kita tidak ubah sikap daripada memperkatakan sesuatu yang sudah berlaku kepada perkara yang berlaku? Misalnya sepatutnya kita bangga kerana Iran sebagai sebuah negara Islam telah berjaya memajukan loji nuklear sebagai sumber tenaga tetapi mengapa tidak sebuah pun negara Islam berani menghantar kawat tahniah? Pendeknya negara dan umat Islam terus diburu ketakutan, bimbang dikerjakan oleh kuasa besar dunia. Iraq dan Afghanistan (Taliban) sudah merasakan akibatnya, tentunya negara umat Islam lain tidak mahu menanggung risikonya.


Setiap umat Islam mesti ada wawasan memajukan diri. Jika umat itu maju, sekali gus Islam akan maju dan berupaya menjadi saingan dan digeruni oleh pihak musuh. Jika tidak umat Islam akan berada pada tahap sekarang. Sering di perkotak-katikkan oleh kuasa besar dan kita tidak berupaya untuk menentang dalam erti kata sebenarnya selain daripada hanya mengutuk, membantah, memulau dan sebagainya.


Sewajarnya pada tempoh yang dikatakan era kebangkitan Islam ini, cendekiawan Islam sudah ke depan dengan pelbagai rekaan dan ciptaan yang dapat membimbing umat ke zaman keemasannya semula.


Tetapi ini hampir tidak berlaku dan kita masih ditenggelami dengan tokoh-tokoh Barat dengan aneka macam ciptaan mereka. Kita masih agung-agungkan Ibnu Sina tetapi kita tidak mampu melahirkan banyak lagi ‘Ibnu Sina’ pada zaman baru ini. Sedangkan dunia Barat sudah melahirkan ramai ‘Thomas  Edison’ yang baru sesuai dengan zaman ini.


Untuk mencipta sesuatu ia ibarat panggang daripada api. Dunia dan umat Islam masih khayal dengan sengketa sesama mereka sedangkan dunia Barat sudah melakukan pelbagai langkah penyatuan misalnya penggunaan mata wang Euro untuk seluruh Eropah. Orang sudah menjejakkan kaki ke bulan sedangkan kita bagaikan pungguk masih ternanti-nanti kekasihnya yang tak kunjung tiba. Kita katakan ‘orang kita’ (Syeikh Muszaphar) sudah ke angkasa lepas, tetapi mana langkah susulannya? Adakah kita sudah memajukan teknologi roket dan seumpamanya?


Negara Islam masih terbelenggu. Terhimpit oleh masalah sendiri. Rakyatnya pula terpaksa memikirkan periuk nasi masing-masing daripada memikirkan sesuatu kemajuan untuk ummah. Untuk mengisi perut, bantuan asing diperlukan, jadi di manakah mereka mempunyai kekuatan untuk memikirkan nasib saudara seagama mereka.


Hanya dengan kembali ke Islam sepenuhnya termasuk perpaduan sesama ummah, barulah dapat ummah kembali ke zaman kegemilangannya. Tetapi apakah ia boleh berlaku dalam tempoh terdekat jika dilihat kelakuan umat Islam sendiri? Lihatlah di sekeliling, anda akan dapati berapa ramai anak-anak generasi muda orang Islam hanyut dalam budaya Barat khasnya, Amerika.


Anak-anak muda termasuk gadisnya dibalut pakaian jenama Amerika, jeans Levis dan sebagainya yang ketat sedangkan si lelaki terjepit rokok jenama Amerika juga. Mereka makan ‘fast food’ cara Amerika juga, malah restoran Kentucky Fried Chicken atau MacDonald’s bukan saja menjadi pemandangan biasa di negara umat Islam seperti Malaysia tetapi juga di Tanah Suci Makkah dan Madinah.


Sesungguhnya orang Islam sekarang, terutama generasi mudanya sudah ‘dibeli’ oleh Amerika, pengaruhnya dalam kehidupan hampir mencecah 100 peratus, jadi apa yang hendak diharapkan daripada generasi yang otaknya yang sudah berkiblat ke arah gaya hidup Amerika ini. Oleh itu, kepada mereka yang mendakwa sebagai pejuang Islam, bertindaklah segera sebelum golongan muda dikuasai sepenuhnya oleh budaya Amerika; ummah perlu banyakkan bertindak daripada bercakap!

No comments: