Saturday, August 21, 2021

Muharam 12, 1443: Keluar hanya RM200 untuk kahwinkan anak!

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan serulah kepada umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang beramai-ramai mengunjungi (rumah Engkau, Baitul Lahil Haram) dengan keadaan ada yang berjalan kaki dan ada yang menunggang berjenis-jenis unta yang kurus disebabkan perjalanan yang datang dari segenap ceruk pelosok dan rantau yang jauh.

"Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka, serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari tertentu (Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban pada 10 Zulhijah dan pada hari-hari berikutnya pada 11, 12, dan 13 Zulhijah - Hari Tasyrik) kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban), dengan demikian makanlah kamu daripadanya (daging binatang-binatang korban itu) dan berilah makan kepada orang yang susah dan fakir miskin." (Maksud Ayat 27-28 Surah al-Haj


SABTU, 14 Ogos 2021, saya nikahkan seorang anak perempuan saya. Kali pertama saya berperanan sebagai wali; dua anak yang berkahwin sebelum ini adalah lelaki.


Perkahwinan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 sungguh, sungguh luar biasa. 


Anak saya dan pasangannya, membuat sejumlah panggilan ke pejabat agama, mengisi borang dan kemudian membuat tempahan tarikh dan masa untuk bernikah juga di pejabat agama.


Upacara menikah juga sungguh, sungguh, sungguh luar biasa. Hanya pasangan calon pengantin dan wali dibenarkan masuk. Sudah pasti mematuhi segala SOP PKP.


Di meja pejabat, saya dan pasangan calon pengantin berhadapan dengan tiga pegawai pejabat agama. Di tengah adalah jurunikah, di sebelah kanan dan kirinya adalah pegawai pengurus merangkap saksi. Ertinya, hanya ada enam orang pada majlis ini.


Apabila semua dokumen termasuk sijil ujian Covid-19 dan keperluan sudah disahkan, jurunikah meminta semua hadirin beristighfar, mengucap, berselawat dan kemudian menerangkan secara ringkas tujuan perkahwinan.


Beliau kemudian memfokus kepada saya sebagai wali...bertanya sama ada saya sudah bersedia menikahkan anak saya. Sebuah kad tertulis apa yang perlu saya sebut ada di depan saya (ia sama seperti kad lafaz bayar zakat).


Saya mengangkat tangan untuk disuakan kepada bakal menantu untuk memulakan akad nikah tetapi dengan pantas ditegur jurunikah...katanya sekarang ini tak perlu berjabat tangan...patuhi SOP!


Kali pertama lafaz akad nikah, bagi saya semua ok...tetapi apabila jurunikah berpaling kepada saksi di kiri dan kanannya, mereka kurang puas hati...kerana pada lafaz ada tempatnya perlu berhenti lama sikit...oklah kita buat kali kedua.


Pada kali kedua, mereka berpuas hati...akad nikah sudah sah. Pegawai di kiri jurunikah, membaca khutbah nikah dan selepas bacaan taa'lik pengantin lelaki dan penyerahan wang mas kahwin...semuanya sudah selesai dalam masa tak sampai setengah jam!


Anak dara saya dan pasangannya kini sudah jadi suami isteri...itu cerita nikahnya, bagaimana majlis perkahwinan? Itulah yang sedihnya. Ya, tak ada majlis pada masa PKP ini. 


Bagaimana dari segi perbelanjaan. Bagi diri saya, saya cuma sewa sebuah 'homestay' yang selesa juga untuk tetamu (keluarga bakal menantu) yang datang jauh dari Utara dengan kos RM1,200 untuk dua malam.


Alhamdulillah, saya perlu keluarkan cuma RM200 sahaja kerana RM1,000 lagi dbiayai daripada tabung keluarga adik beradik saya.


Isteri saya yang kasihan dan sedih anak kahwin tak ada majlis, memesan makanan bungkus sebanyak 300 paket untuk diedarkan kepada sanak saudara terdekat, jiran tetangga dan jemaah solat zuhur masjid. 


Masa PKP ini, harga makanan katering jatuh merosot - RM10 satu paket kali 300 bungkus, beliau hanya berbelanja RM3,000! Demikanlah hikmah masa PKP ini tak perlu puluhan ribu ringgit untuk kahwinkan anak...hal ini taklah seperti majlis perkahwinan 'ekstravaganza' tidak lama dahulu yang antara lain ditegur oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).


Persatuan ini mengkritik hebahan melampau dan majlis perkahwinan besar-besaran termasuk membabitkan artis yang dakwanya menyumbang ke arah penyuburan nilai-niai negatif, antaranya pembaziran dan menyalahi hukum agama.


Gambaran dan laporan melampau berhubung perkahwinan seorang artis terkenal dengan seorang usahawan tempatan di dada-dada akhbar tidak lama dahulu menimbulkan persoalan, apakah kesannya kepada masyarakat sehingga mengkesampingkan isu-isu yang lebih penting daripadanya.


Adakah wartawan-wartawan hiburan tidak tahu memilih sesebuah berita atau itulah sahaja sebuah 'current issue'. Sedangkan banyak lagi isu yang boleh diketengahkan untuk tatapan umum.


Yang nyata kesannya kepada masyarakat ialah sehingga menganggap isu-isu itu adalah isu negara, isu terpenting dan kadang-kadang menenggelamkan teguran atau nasihat seorang mufti atau ulama.


Lebih parah lagi apabila isu-isu seperti ini di 'highlight', menggambarkan masyarakat Islam khususnya, gila kepada budaya pembaziran, budaya kemegahan, budaya hiburan. Ia menggambarkan juga di Malaysia ini orang-orang yang penting ialah golongan artis.


Kini, isu percintaan, perkahwinan, persiapan ke arah majlis kenduri perkahwinan melampaui isu-isu lain. Ia bukan saja mendapat penonjolan di dalam akhbar perdana di muka hadapan, tetapi juga mendapat liputan khas melalui TV, satu-satunya media elektronik yang sangat memberi pengaruh.


Semua liputan dan berita seolah-olah pasangan ini pasangan yang cukup 'ideal', melebihi percintaan Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, Uda dan Dara dan kemegahan membina tugu cinta mereka sama dengan Shah Jahan yang membina Taj Mahal.


Tetapi masyarakat yang mabuk dengan isu ini, yang menganggap artis adalah segala-galanya lupa beberapa sejarah pahit yang memalukan.


Perkahwinan sememangnya baik dan seharusnya kita berdoa agar pasangan (tidak saja artis) kekal jodoh sehingga akhir hayat. Tetapi kenapa berita ini menjadi lebih penting daripada yang lain dan digembar-gemburkan oleh media.


Ia sudah menjadi riak, takbur, membazir, melampau dan kadang-kadang sampai melanggar tata susila hukum. Namun apa yang mendukacitakan, ulasan-ulasan dan paparan dari wartawan hiburan seperti ini tidak mengambil kira hal-hal hukum kerana mahu meng'highlight'kan orang-orang seumpama ini.


Antaranya ialah sebanyak tujuh kamera digunakan di Masjid Wilayah Persekutuan bagi tujuan merakamkan upacara perkahwinan. Siaran secara langsung pula dibuat. Pentas khas diletakkan di dalam ruang masjid, satu-satunya rumah ibadah. Seramai 30 krew produksi pula akan bekerja keras.


Memanglah masjid sangat baik dijadikan tempat ijab qabul pernikahan. Tetapi apabila ia menunjukkan seperti melampau, riak dan bermegah-megah, menunjukkan kehebatan, apakah ia baik di sisi agama?


Kita tidak tahu, apakah ia mendapat restu dari pihak pentadbir agama dan masjid di situ? Jika ia direstu dan diluluskan begitu mudah, alangkah malangnya pemikiran sebegitu rupa kerana pihak bertanggungjawab juga terbawa-bawa dengan budaya keglamoran artis-artis.


Bukan masanya lagi apabila ada orang berkata, apa pun yang dilakukan oleh seseorang, itu adalah hak mereka. Memang sesiapa pun boleh mengeluar hantaran berjuta ringgit, belanja majlis perkahwinan berjuta, merancang akad nikah di dalam kolah masjid atau sebentuk cincin bernilai jutaan ringgit.


Tetapi dalam masa yang sama, tidakkah kita merasa prihatin, sensitif dan peka terhadap enam ratus kanak-kanak yang menghidap sakit jantung, yang melanda kebanyakan keluarga berpendapatan rendah?


Bagaimana dengan nasib mangsa peperangan di Lubnan, Palestin, Iraq dan Afghanistan? Bagaimana dengan nasib masa depan anak dan isteri yang ditinggalkan ini?


Tergamakkah kita memakan juadah dan majlis santai meraikan pengantin, tetapi dalam masa yang sama, ada mereka yang menjerit kesakitan kerana luka dan berpenyakit kronik.


Memang di sisi lain mungkin akan dijawab ia tidak ada kena mengena. Tetapi itulah sebenarnya gambaran masyarakat kita. Jika ia tidak dilakukan oleh pihak yang terlibat, siapakah pula yang bertanggungjawab menggembar-gembur hal ini.


Lebih-lebih lagi para artis di negara kita menjadi 'role model' kepada golongan remaja dan kami percaya kita perlu menyemai budaya yang lebih baik dan bukannya pembaziran dalam melakukan sesuatu. CAP memandang berat hal ini.


Ia bukan satu tafsiran cemburu tetapi mestilah dilihat dalam bentuk keprihatinan, kepekaan terhadap orang lain yang turut menjadi anggota masyarakat Malaysia. Ia juga satu bentuk budaya bermegah, membazir yang tidak dituntut oleh mana-mana agama mahupun budaya yang sihat.


Kesederhanaan adalah yang terbaik dan CAP mengharap semua pihak dapat mengamalkan sikap dan budaya ini.


No comments: