Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
BARU-BARU ini saya menghadiri ceramah Pakatan Harapan di Bukit Katil. Melaka bertemakan 'Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' yang menampil serta menghimpunan pemimpin Bersatu, Amanah dan KEADILAN manakala wakil DAP tidak hadir kerana menghormati kematian bekas Setiausaha Agungnya, Kerk Kim Hock.
Apa yang dapat saya rumuskan daripada pidato pemimpin-pemimpin berkenaan; pertama semua pihak perlu bertindak bagi mengakhiri pemerintah sekarang yang sarat dengan aneka penyelewengan melalui pilihan raya umum (PRU) akan datang dan kedua perlunya kebangkitan rakyat (people's power) yang terbukti dapat menjatuhkan hatta rejim paling korup seperti Suharto (Indonesia), Ferdinand Marcos (Filipina) dan Hosni Mubarak (Mesir).
Tema 'kleptokrasi' mengundang pertanyaan...apa makna perkataan yang mungkin baru ini dalam bahasa Melayu? Saya mencari-cari perkataan ini dalam Kamus Dewan (edisi keempat)...memang perkataan ini tiada, yang ada adalah kleptomania yang didefinisikan sebagai 'tabiat yang suka mencuri yang tidak dapat dikawal walaupun barang yang dicuri tidak berharga atau diperlukan'.
Pencarian di Google menemukan saya dengan Wikipedia Indonesia yang menjelaskan: kleptokrasi (berasal dari bahasa Yunani kleptes (pencuri) dan kratos (kuasa), Kleptokras i ("pemerintahan para maling") adalah istilah yang mengacu kepada sebuah bentuk pemerintahan yang mengambil uang (wang) pungutan (pajak) yang berasal dari publik / rakyat untuk memperkaya kelompok tertentu atau diri sendiri. Pemerintahan ini umumnya tidak jauh dari praktik-praktik korupsi, kezaliman dan kriminalisasi'.
Jadi tema 'Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' adalah 'tepat' jika disandarkan kepada hujah dikemukakan pemidato seperti Mohd Rafiq Naizamohideen (Bersatu), Adly Zahari (Amanah), Dr Xavier Jayakumar serta Tian Chua (KEADILAN) dan Mohamad Sabu (Amanah) yang memfokuskan isu penyelewengan seperti 1MDB dan pemungutan hasil melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Semua penyelewengan dan pungutan wang ini berkisar angka 'berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit', namun agak mencuit hati apabila Shamsul Iskandar Akin (KEADILAN) yang muncul di pentas, mengemukan istilah 'kelepet' bagi penyelewengan kewangan secara kecil-kecilan yang mungkin membabitkan puluhan atau ratusan ringgit yang didakwanya dilakukan oleh petugas dan pemimpin kecil tertentu.
Ahli Parlimen Bukit Katil itu mendakwa, pemimpin kecil 'mengkelepet' wang daripada peruntukan seperti majlis keraian (jamuan atau kenduri), projek-projek tertentu malah wang bantuan kerajaan seperti bantuan kebajikan masyarakat dan zakat turut 'dikebas' mereka, sebahagiannya.
Sebenarnya, perkataan 'kelepet' yang diertikan 'mencuri secara tidak disedari (diperasan) orang lain' tidak ada dalam Kamus Dewan - ia mendefinsikan 'kelepet' sebagai 'lipatan pada tepi kain dan sebagainya'.
Namun penggunaan perkataan 'kelepet' digunakan secara meluas oleh sesetengah orang Melayu di Melaka bagi menggambarkan penipuan atau tindakan menyorok sebahagian kecil wang yang diamanahkan untuk disampaikan kepada orang atau pihak tertentu.
Misalnya, jika bantuan kebajikan sebanyak RM300, sejumlah kecil seperti RM50 'dikelepetkan' untuk dimasukkan dalam poket sendiri. Jadi penerima akan dapat RM250 - kebanyakan orang tidak perasan atau tidak mahu 'bising-bising' dengan perbuatan 'kelepet' ini.
Wang awam (kerajaan yang juga bermaksud rakyat) turut 'dikelepet' untuk membiayai majlis keraian parti...hal seperti ini sewajarnya tidak berlaku kerana ada perbezaan antara parti dan pemerintah; tetapi perkara ini tidak menjadi soal besar bagi pihak berkenaan.
Kedua-dua amalan kleptokrasi dan 'kelepet' adalah amat buruk dan telah meletakkan negara dan rakyat dalam keadaan amat resah. Jurang kaya (terutama membabitkan kroni) dan miskin semakin melebar dengan rakyat merintih dengan kenaikan harga barangan harian yang hampir semuanya bercukai. Malah perkhidmatan utiliti asas seperti air dan elektrik pun bercukai!
Benar seperti diungkapan oleh hampir semua penceramah, hanya kuasa (kebangkitan) rakyat dapat menghancurkan pengamal' kleptokrasi' dan 'kelepet' ini. Ya, realisasikan kebangkitan rakyat itu secara aman melalui PRU-14 tidak lama lagi!
No comments:
Post a Comment