Friday, September 1, 2017

U Masjid (34): Merindui Masjidilharam, Masjid Nabawi...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

KINI umat Islam berada pada 10 hari pertama bulan kemuncak haji, Zulhijah. Selain jemaah haji yang pastinya dalam konsentrasi mengerjakan manasik haji termasuk wukuf di Arafah; bagi orang yang tidak menunaikan haji pelbagai amalan amat dituntut pada hari-hari ini termasuklah berpuasa sunat terutama pada Hari Wukuf (9 Zulhijah).

Di kalangan kebanyakan kita yang sudah ke Tanah Suci sama ada mengerjakan haji dan umrah,  hati akan sentiasa dilambai-lambai untuk ke sana lagi dan lagi. 

Masjidilharam dengan Kaabahnya dan Masjid Nabawi dengan makam Nabi s.a.w. yang mulia tetap tersemat di hati. Oh, sungguh rindu untuk 'mendakap' dua masjid terulung iaitu Masjidilharam dan Masjid Nabawi, bila kapan dapat ke sana lagi agaknya?

Kedua-duanya ini adalah 'universiti' terhebat dunia, sungguh banyak tarbiyah, ilmu dan rahsia kehidupan yang dapat diselami di sana. Di bumi bekas berpijaknya kaki Rasulullah saw yang mulia dan sahabat-sahabat baginda, ada kalanya 'terasa' bagaikan kita bersama mereka.

Teringat dan terasa syahdu sekali talbiyah umrah dan haji: "Labbaikallahumma Labbaik, Labbaikala Syarikala Laka Labbaik, Innal Hamda Wan Nikmata Laka Wal Mulk, La Syarika Laka." (Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Ya Allah, hamba-Mu datang menyambut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu).

Bagi yang sudah ke Tanah Suci, terasa kerinduan untuk ke sana lagi dan lagi, dan bagi yang belum, marilah kita berdoa beramai-ramai agar mereka dapat juga ke sana sekalipun tercatat dalam nombor giliran Tabung Haji 50 tahun lagi.

Ya, saudaraku jemaah haji, kami berharap anda memberi kesempatan untuk selain anda supaya bisa melaksanakan sya'iroh (syariat) haji!
Kata-kata indah ini saya temui di badan sebuah bas jemaah Indonesia di Mina ketika menunaikan haji kali pertama pada musim haji 1422 (2002M).

Kata-kata perangsang ini amat bermakna untuk menyuntik semangat muda-mudi Islam agar merancang pemergian mereka ke Tanah Suci. Sebaik-baiknya seseorang Muslim itu mula menyimpan sejumlah wang setiap bulan apabila dia mula bekerja, mungkin pada usia 23 tahun (selepas tamat pengajian universiti).

Dengan menyimpan atau membuat potongan gaji RM50 atau RM100 sebulan kepada Tabung Haji, seseorang itu boleh memasang niat dengan mendaftar menunaikan haji dalam masa 10 tahun kerana pada ketika itu jumlah simpanannya sudah mencukupi.

Ini kerana dalam setahun simpanan RM100 sebulan itu berjumlah RM1,200 dan dalam masa 10 tahun menjadi RM12,000 tanpa dicampur bonus simpanan. Jumlah itu sudah memadai untuk penyimpan itu menunaikan haji kerana perbelanjaan semasa kira-kira RM10,000 seorang.

Berdasarkan congkak mudah ini, seseorang itu dapat menunaikan haji pada usia 30 atau 40-an. Pada peringkat umur ini, fizikal seseorang itu adalah pada tahap terbaik dan ini akan memudahkannya melakukan manasik haji yang penuh cabaran seperti melontar di jamrah, bermalam di Mina, berwukuf di Arafah, bahkan untuk tawaf dan saie di Masjidilharam.

Selain tahap fizikal terbaik itu, adalah bermanfaat untuk seseorang itu menyediakan diri seperti memantapkan ilmu agamanya termasuk pengetahuan haji dan umrah secara beransur-ansur sejak dia muda lagi. 

Jika tahap fizikal dan ilmu serta amalan sudah mantap, maka pemergiannya ke Tanah Suci adalah bertepatan dalam usaha mendapatkan haji mabrur yang kata Allah tiada balasannya kecuali syurga. Ya, universiti Masjidilharam dan Masjid Nabi setia menunggu kita untuk menjadi anak muridnya. Berusaha keraslah untuk sana, mantapkan doa dan bertawakallah kepada-Nya. 

Insya-Allah akan sampailah kita sebagai tetamu-Nya. "Labbaikallahumma Labbaik, Labbaikala Syarikala Laka Labbaik, Innal Hamda Wan Nikmata Laka Wal Mulk, La Syarika Laka."

No comments: