Sunday, September 3, 2017

Merdeka: Sejarah adalah kisah si pemenang...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

ALHAMDULILLAH, Khamis lalu (31 Ogos) kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-60. Tahniah, semoga negara kita dan rakyatnya terus makmur...kejayaan ini adalah usaha dan milik semua - daripada pemimpin setinggi-tinggi kedudukan sampai kepada rakyat serendah-rendah kedudukan.

Namun amat mendukakan pada detik bersejarah dan menggembirakan ini, ada pihak daripada parti berkuasa mahu 'hijack' (mengambil kesempatan) sambutan ini untuk menonjolkan kononnya pihaknya saja yang menyumbang kepada kemerdekaan seterusnya terbabit dalam usaha mengisi kemerdekaan itu.

Kemerdekaan negara adalah daripada usaha semua tetapi mengapa ada pihak mahu menonjolkan diri atau pihaknya saja malah ada yang bertindak lebih teruk menyamai peribahasa 'lembu punya susu, sapi pula dapat nama.

Berhubung perkara ini saya teringat sebuah peribahasa Afrika berbunyi: “Until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters” yang bermaksud sehinggalah sang singa mempunyai penulis sejarah, kisah perburuan akan hanya menggambarkan kehebatan si pemburu.

Sekalipun dalam sesuatu perburuan itu sang singa bertindak hebat, si pemburu tetap menyebarkan kisah kehebatannya kepada penduduk kampung. Kisah sang singa tidak dipedulikan kerana yang merakam sejarah adalah si pemburu bukan sang singa. Lagi pun mana ada singa membicarakan kehebatannya, kalau ada mungkin kepada anak bininya saja dalam bahasa binatang yang mereka saja fahami.

Sejarah adalah subjek paling saya minati sejak kali pertama diperkenalkan semasa saya dalam Darjah Empat tahun 1972. Ketika itu namanya Tawarikh. Kerap benar saya mendapat markah 100 peratus dalam ujian dan peperiksaan. Ketika Darjah Empat, diperkenalkan peradapan manusia termasuk pembawa agama, kemudian pada Darjah Lima diajar tokoh-tokoh pada zaman pertengahan dan kemudian ketika Darjah Enam tokoh-tokoh pada zaman moden.

Maka hafallah saya kisah dalam buku Tawarikh itu. Saya dapat menghafaz kisah Shih Huang Ti, Asoka, Akbar, Joan of Arc dan kemudian pada zaman moden membabitkan nama seperti Abraham Lincoln, George Washington dan tokoh di tanah air seperti Francis Light, JWW Birch, Frank Swettenham, Hugh Low dan Hugh Clifford. 

Sekalipun negara sudah lama merdeka (pada tahun 70-an) mata pelajaran Tawarikh masih mengguna pakai sejarah dirakam daripada pandangan orang Barat (Inggeris). Mungkin ketika itu anak bangsa masih hijau mengenai sejarah perabadapan mereka, jadi teramat asinglah nama-nama seperti Dol Said, Mat Kilau dan Tok Bahaman.

Tawarikh juga tidak memasukkan nama-nama seperti Tuanku Abdul Rahman Putra apatah lagi pejuang kemerdekaan dianggap golongan kiri seperti Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad.

Sekarang, apabila saya membelek-belek buku Sejarah anak-anak saya di sekolah menengah, saya dapati kebanyakan bahannya ada hubungkait dengan negara kita. Semua penulisnya adalah anak-anak tempatan, kisah luar dipaparkan misalnya peradapan di China, India, Eropah and Timur Tengah dikaitkan dengan pembangunan masyarakat tanah air seperti kedatangan Islam (dari Tanah Arab) dan kemajuan industri akibat Revolusi Perusahaan di Eropah.

Namun seperti ungkapan peribahasa Afrika – ‘until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters’ – penulisan sejarah cenderung kepada kaca mata pemerintah, misalnya perjuangan kemerdekaan golongan dianggap kiri tetap terabai. 

Sejarah adalah kisah semua tetapi disempitkan kepada cerita sesuatu pihak. Demikianlah, sehinggalah singa boleh merakam sejarah; mata pelajaran Sejarah yang diajar hanyalah cerita kehebatan si pemburu.

Pemburu sekalipun seorang pengecut (misalnya rakannya yang membunuh singa tetapi terbunuh kemudiannya) tetap mahu menjulang namanya, menepati peribahasa 'lembu punya susu sapi dapat nama’.


Sebenarnya, ramai orang dalam kategori tidak tahu malu ini. Mereka yang tidak berjuang tetapi apabila perjuangan orang lain berhasil, mereka cepat-cepat ambil peluang untuk menonjolkan kehebatan masing-masing. Mereka pengecut tetapi mahu nama masing-masing mengharum. Biasanya merekalah diberi penghormatan sedangkan sepanjang sejarah, pejuang sebenar tersisih dan dilupakan orang.

Bukalah buku sejarah kemerdekaan negara kita; akan tertonjollah nama tokoh-tokoh yang saling bekerjasama dengan British tetapi nama pejuang yang tidak rela tanah air ini dijarah semahu-mahunya oleh British seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestaman terus hilang dalam lipatan sejarah. Ini kerana orang atau pihak yang menang itulah yang menulis sejarah, yang berjuang dengan ikhlas tidak mengharapkan balasan apa-apa, jadi tiada catatan sejarah buat mereka. Ingatlah, pemburu sentiasa hebat, tidak pernah singa dicatatkan sebagai hebat.

Ingatlah hari ini mungkin seseorang itu dituduh pengkhianat; mungkin esok lusa dia diangkat pahlawan bangsa. Tak percaya; 'tanyalah' kepada Tok Janggut, Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau dan sebagainya!

No comments: