Sunday, September 10, 2017

Insaf akhir usia: Lebih baik lambat daripada...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

MENGENAI pembabitan 'pemimpin lama' yang dulunya bermati-matian mengutuk dan menentang serta memperlekeh pihak lawan dalam gerakan pembangkang sekarang ini, saya tertarik dengan sebuah peribahasa Inggeris yang saya pelajari di sekolah dulu - better late than never (adalah lebih baik lambat daripada tidak pernah). Ada peribahasa Melayu berbunyi 'biar lambat asal selamat', bagaimanapun ia ia tidak terlalu tepat bagi menggambarkan keadaan ini.

Ya, berilah peluang kepada mereka. Dalam Islam pun ada diberitahu hal seumpama ini. Ada sebuah hadis menyebut: "...sesungguhnya salah seorang daripada kalian benar-benar beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antara dirinya dengan syurga hanya satu hasta, lalu dia didahului oleh catatan takdirnya, sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga dia memasukinya. Dan salah seorang di antara kalian benar-benar beramal dengan amalan ahli neraka, hingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya sehasta, lalu dia didahului oleh catatan takdirnya, sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga hingga dia memasukinya. (HR Bukhari dan Muslim)

Bijak pandai ada mengungkapkan hidup umpama roda; ada kalanya di atas dan ada kalanya di bawah; seseorang itu ada ketika berada di kedudukan paling tinggi dan ada masanya di tahap paling rendah.

Pemimpin juga mengalami nasib yang sama. Selepas berada di puncak kuasa, akhirnya dia jatuh; mungkin pada ketika kekuasaan berada dalam genggaman dia bertindak kurang rasional tetapi selepas tidak berkuasa, syukurlah dia mulai nampak jalan kebenaran.

Sebagai contoh dulu ada seorang perdana menteri tidak mengacuhkan rayuan rakyat terhadap kekerasan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi selepas tidak lagi berkuasa dipetik sebagai berkata: "ISA sebagai suatu akta sudah dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda pemerkasaan demokrasi negara dan untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani untuk melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru dalam melakukan perubahan seumpamanya seperti memansuhkan ISA.”

Mengapa perdana menteri ini sesudah pencen mengesyorkan kepimpinan sekarang memansuhkan ISA tetapi tidak beliau sendiri melakukannya ketika berkuasa? Beliau ketika berada di puncak roda, bertindak keras ke atas pembantah ISA, malah sejumlah perhimpunan aman anti-ISA disuraikan pasukan keselamatan di bawah arahannya secara zalim. Oleh itu pandangan beliau sebagai tokoh yang tidak lagi berkuasa begitu menghairankan tetapi itulah sikap kebanyakan pemimpin.

Sindrom ‘membuka mata terhadap kebenaran’ ini dialami pemimpin-pemimpin terkemuka dunia. Mereka bijak bercakap mengenai kemanusiaan, keadilan dan sebagainya, tetapi sayang seribu kali sayang, perkara itu dilakukan apabila mereka tidak lagi berkuasa. Ketika berkuasa mereka bagaikan helang, menyambar mangsa tetapi apabila kuasa sudah sirna, mereka terjelepok kepada kebenaran.

Sebagai contoh, bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter tidak lama dulu dipetik sebagai berkata: “Rakyat awam Palestin kini dilayan seperti binatang seolah-olah mereka telah didapati bersalah kerana melakukan satu jenayah besar. Ini adalah semata-mata kerana mereka telah mengundi calon-calon daripada gerakan Hamas. Amerika kini menjadi kuasa utama bagi menghalang rakyat awam Palestin daripada menikmati hak mereka. Mereka di nafikan sebarang bantuan hatta bagi memenuhi keperluan hidupan harian mereka sendiri." 

Mengapa Carter bercakap mengenai penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin selepas dia tidak lagi berkuasa? Apakah semasa menjadi Presiden Amerika, dia meluangkan masa memikirkan akan rakyat Palestin. 

Carter dan 'geng pencennya' seperti Bill Clinton berani bercakap mengenai ketidakadilan dan kerakusan pemimpin kerajaan yang bersemayam di Washington, London, Moscow dan Paris. Hakikatnya mereka berani sebab tidak lagi berkuasa.

Mereka ada rekod buruk mengenai kemanusiaan. Tetapi selepas tidak lagi berkuasa, tahu pula mereka mana yang baik dan mana yang buruk. Lantang pula bercakap mengenai kesamarataan dan keadilan.

Jika dikaji sejarah peradaban manusia, ada tokoh ternama insaf selepas tidak lagi berkuasa atau nyawa sudah berada di halkum. Firaun pada zaman Musa adalah salah satu contoh. Selepas hampir lemas, barulah dia mengakui kebenaran dan Tuhan Nabi Musa tetapi semuanya sudah terlambat. Banyak kisah raja-raja besar dunia mengungkap perkara sama. 

Harun Al-Rashid, Khalifah Abassiyah yang terkenal dan mempunyai kerajaan dari Timur ke Barat, melolong bertanya, mana barisan askar-askarnya hebat dan lengkap bersenjata itu untuk menghalang kedatangan Malaikat Maut. 

Harun insaf sekuat mana dan sebanyak mana kuasanya, dia pasti mati. Keinsafan datang ketika berada di katil pembaringan, menunggu maut. Bagi kita pemimpin perlu sedar segala tindak-tanduknya ketika berkuasa dan bukan selepas pencen atau sudah hampir ke kubur tetapi jika dia sedar akhirnya tidak mengapa, kerana better late than never.


Insaf pada hari tua ini menemukan seseorang dengan istilah 'menebus dosa' - dia sekarang mungkin berusaha sekuat tenaga bagi membaiki kesalahan lampau...ya berilah mereka peluang, usah pula dicemuh dan dicerca mereka.

Istilah 'menebus dosa' ini pada pandangan saya sama dengan satu lagi istilah cukup popular di kalangan orang kita.  'Nanti dan pencen, aku bertaubatlah' atau 'nanti dah pencen, aku sembahyanglah' atau 'nanti dah letak jawatan, aku banyak-banyakkan ibadat' atau 'dah pencen nanti aku sertai perjuangan bersama kamu'.

Sekalipun belum terlambat kerana pintu taubat sentiasa terbuka selagi hayat masih dikandung badan, alangkah baik jika perjuangan rakyat mereka sertai atau setidak-tidak beri perhatian pada masa mereka berkuasa dulu. Namun usahalah bersedih hati sebab better late than never!

No comments: