Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
PENULIS dikesan menghidap diabetes dan darah tinggi ketika berusia 40 tahun pada 2002. Sejak itu terpaksalah penulis mengambil secara harian ubat-ubatan seperti Metformin, Glibenclamide dan Perindopril yang diperolehil di farmasi sebuah klinik komuniti selepas menjalani pemeriksaan kesihatan tiga bulan sekali.
Dulu ubat-ubatan dibekalkan cukup untuk tiga bulan tetapi sekarang ini bagi tempoh sebulan saja. Jadi seseorang pesakit itu perlu ke farmasi sebulan sekali dan kemudian pada bulan ketiga menjalani pemeriksaan perubatan sebelum bekalan ubat disambung.
Ditanya mengapa semakin sukar mendapat ubat-ubatan, ada petugas berkata bekalan terhad, ada yang berkata ia berakibat daripada pengurangan peruntukan kewangan dan ada berkata ia bagi mengelak pembaziran ubat-ubatan di kalangan pesakit.
Selain bekalan ubat yang berkurangan, suasana hospital dan klinik komuniti kerajaan sekarang ini begitu sesak. Sebagai contoh, ketika penulis hadir di sebuah hospital pada 30 Ogos lalu, keadaan sungguh sesak sama ada di ruang menunggu rawatan atau mendapatkan ubat-ubatan di farmasi sehingga ada pesakit terpaksa duduk di atas lantai.
Pada 'zaman serba susah' sekarang ini (seperti harga barangan asasi sentiasa naik), rakyat kebanyakan semakin terbeban dan tertekan apabila mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.
Ya, 'jangan jatuh sakit' sekarang ini kerana untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan di hospital dan klinik kerajaan memerlukan 'kesabaran tersangat tinggi' manakala kos perubatan di sektor swasta pula 'teramat mahal' tetapi hakikatnya siapa dapat 'menghalang sakit'. Sakit datang juga dan mereka yang sakit perlu melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.
Tidak lama dulu, seorang anak saudara saya, seorang doktor pelatih, menangis dan menyatakan betapa sedihnya menyaksikan seorang 'nenek' gagal mendapatkan rawatan hemodialisis di sebuah hospital kerana tidak mampu menyediakan biayanya. Kos menjalani hemodialisis yang dilakukan tiga kali seminggu bukan murah, seorang sahabat saya berkata setiap satunya adalah lebih RM200.
Ini bermakna pesakit kegagalan fungsi gingal (buah pinggang) ini memerlukan RM600 seminggu atau RM2,400 sebulan. Jumlah wang ini sungguh banyak, menggusarkan' rakyat kebanyakan, alhamdulillah dalam sejumlah kes, ada pihak prihatin daripada sektor swasta dan kerajaan sedia membantu.
Rawatan bagi 'sakit biasa' seperti demam dan selesema di klinik swasta juga memerlukan kos tinggi. Adalah biasa untuk sekali rawatan, seorang pesakit dicaj sebanyak RM40 (termasuklah ubat-ubatan).
Berhubung kos perubatan tinggi ini, penulis teringat lawak seorang rakan. Beliau berkata seorang sahabatnya dihantar ke sebuah hospital swasta terkenal untuk menjalani rawatan. Apabila mengetahui deposit rawatan adalah sebanyak RM1,000; si pesakit tiba-tiba berkata dia sudah sihat dan tidak jadi dirawat di situ. Tidak lama dulu apabila ibu penulis dimasukkan ke sebuah hospital swasta, barulah penulis tahu ia bukan bahan lawak tetapi sesuatu yang serius kerana deposit untuk dirawat di situ juga RM1,000!
Selepas menjalani rawatan selama dua setengah hari, cajnya kira-kira RM4,500; membuat penulis mengakui bahawa rawatan perubatan sebenarnya sudah menjadi satu industri membuat duit.
Tidak lama kemudian bapa penulis dimasukkan ke sebuah hospital swasta terkenal bagi menjalani rawatan masalah prostatnya. Kos pembedahan secara laser dan rawatannya mencapai angka RM20,000 namun bersyukur kepada Allah SWT bapa penulis kembali sihat selepas itu.
Kini sedarlah penulis bahawa bidang perubatan sudah menjadi satu industri kepada 'si bijak' atau 'diambil kesempatan untuk menangguk di air keruh' bagi sesetengah pihak.
Dalam bidang ini, semakin banyak pihak menggunakan istilah hospitaliti malah ada banyak kolej menawarkan kursus dalam bidang ini. Malah ada agensi kerajaan dan swasta sudah memperkenalkan 'pelancongan-perubatan' di mana hospital-hospital swasta sedia melayani kehendak warga asing kaya dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei bagi menjalani rawatan di sini.
Berdasarkan situasi ini, penulis tidak terkejut apabila membaca sebuah berita baru-baru ini mengenai sebuah pusat rawatan swasta yang menolak kemasukan seorang wanita yang mahu bersalin sehingga akhirnya bayi beliau dilahirkan dalam kereta keluarga berkenaan yang diparkir berhampiran.
Kos perubatan yang amat tinggi mengusarkan rakyat marhain. Jatuh sakit bukan sesuatu yang boleh dijangka, namun bijak pandai menyatakan 'sediakan payung sebelum hujan'. Namun berdasarkan jumlah pendapatan rakyat kebanyakan (misalnya RM2,000 sebulan) ditolak perbelanjaan sebanyak RM2,000 atau mungkin juga RM2,500 sebulan (kena pinjamlah tu), ternyata 'payung kita telah tersedia bocor sebelum berlaku hujan'!
Ya, kasihan rakyat pada era 'feel good factor' (kononnya selepas menjuarai Sukan SEA) kerajaan Umno BN sekarang ini. Rakyat kebanyakan sungguh 'tertekan' termasuklah ketika mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan. Sekarang ini masa sesuai untuk sandarkan harapan kepada pembangkang. Jom bersama-sama kerja kuat untuk tumbangkan Umno BN pada PRU14 akan datang!
No comments:
Post a Comment