Saturday, August 5, 2017

U Masjid (31): Tiada 'can' terlelap di Masjid Wakaf Bharu...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

PAGI Jumaat, 14 Julai, dari Setiu, Terengganu saya menaiki bas dan sampai di Kota Bharu, Kelantan kira-kira jam 11.00 pagi. Kemudian saya menaiki bas tempatan ke Wakaf Bharu; bas itu tidak masuk ke pekan, saya berhenti berhampiran sebuah bulatan jalan raya.

Saya 'menapak' di kaki lima kedai menuju ke stesen kereta api selepas melihat sebuah papan tanda menyatakan stesen itu berada 500 meter di hadapan. Saya menjadi 'hairan' suasana di tepi jalan begitu sibuk sekali. Peniaga dengan aneka jualan melaungkan barang dagangan manakala pembeli bertali arus.

Tak sangka saya pekan Wakaf Bharu begitu sibuk sekali. Ramai sekali orang di situ. Saya ingatkan ia sebuah pekan kecil yang 'sunyi' - jauh daripada menjadi tumpuan orang ramai - namanya hanya gah kerana di sinilah terletak stesen kereta api bagi penduduk dan pengunjung ke Kota Bharu dan kawasan sekitarnya.

Ketika menghampiri sebuah masjid tersergam yang kemudiannya saya tahu sebagai Masjid Wakaf Bharu, melihat suasana yang sibuk itu, tergambar di minda saya akan 'kemeriahan' di kota Makkah terutama di kawasan sekitar dan laluan menuju Masjidilharam pada pagi Jumaat ketika saya menunaikan haji dulu.  

Di kota Makkah ketika itu, ramai peniaga jalanan berjualan di tepi dan tengah jalan. Aneka jualan dipamerkan dan siap disangkut di 'gerai' sorong atau tarik - ada yang berjualan pakaian, barangan cenderamata dan paling banyak sekali makanan termasuk air minuman 'bujang' seperti teh atau kopi 0 yang 'dibuat sendiri'. Peniaga menyediakan air panas, cawan pakai buang, uncang teh dan gula dimasukkan dalam sebuah bekas. Pembeli 'membancuh' air sendiri - itu pun kena 'caj' 1 riyal! Ya, sungguh 'bijak' orang di Makkah berniaga!

Ada juga yang berjualan kitab dan naskhah al-Quran. Kehadiran peniaga jalanan ini memeriahkan dan 'menyibukkan' lagi suasana. Pengemis juga ramai, sesetengahnya 'sengaja' mempamerkan kecacatan masing-masing bagi meraih simpati jemaah yang dalam perjalanan ke masjid. Apa yang menariknya, apabila terdengar jeritan petugas penguat kuasa datang, si peniaga 'dengan barangan dagangan' mereka segera 'lenyap' daripada pemadangan. Pengemis pun 'cabut' - mereka menyusup-nyusup di lorang dan celah bangunan. Hairan juga, baru sebentar tadi mereka 'berlagak tempang-tempang', tetapi semua 'boleh menghilangkan diri' dengan pantas!

Apabila sampai di persimpangan jalan menuju Masjid Wakaf Bharu, saya tidak terus ke masjid sebaliknya menuju ke stesen kereta api untuk membeli tiket menuju selatan (Gemas atau Segamat).  Saya sampai kira-kira jam 12 tengah hari, meninjau-ninjau suasana di stesen - melihat jadual perjalanan tren, tahulah saya kereta api ke selatan akan bertolak dari stesen itu jam 6.18 petang. 

Saya ke kaunter untuk membeli tiket. Bengang sungguh saya kerana tiket tak dapat dibeli kerana sistem komputer KTM di stesen itu ada masalah. Apabila melihat jam sudah pukul 12.30 tengah hari, saya tak dapat bersabar lagi....Subhanallah, bukankah hari itu Jumaat, saya mahu merasai pengalaman solat di Masjid Wakaf Bharu. Saya bercakap kepada petugas kaunter destinasi saya, membayar harga tiket dan meminta dia menyimpan tiket itu; nanti selepas solat Jumaat saya akan mengambilnya.

Saya tergesa-gesa menuju masjid. Sampai kira-kira jam 12.40 tengah hari. Saya ingat sudah lewat tetapi rupanya tidak. Masuk waktu solat (ketika itu Zuhur/Jumaat) bagi negeri Kelantan adalah lambat sikit berbanding sesetengah negeri lain. Masjid masih banyak ruang kosong - aktiviti di luar masjid masih 'berjalan pantas' - orang ramai masih berjualan dan membeli dan makan-makan di gerai dan kedai makanan berhampiran.

Apabila azan berkumandang, suasana berubah dengan cepat. Masjid 'segera terisi' - selepas solat sunat, muncul seorang 'pak syeikh muda berjubah' di mimbar; saya ingatkan dia nak baca khutbah, rupanya di membuat pengumuman dengan suara lantang. Kuat sungguh suaranya, 'macam mahu bergegar' masjid. 

Kemudian kedengaran azan, 'pak syeikh muda' yang sama menyampaikan khutbah. Lantang sungguh, dengan 'volume' pembesar suara secara 'maksimum', sungguh 'power' khutbah itu - jadi tidak ada 'can' bagi jemaah yang senjaga mahu tidur atau terlelap ketika khutbah! Apa tidaknya, masjid bergema dengan butiran khutbah, hal ini mungkin berbeza di sesetengah masjid termasuk di negeri saya - suara khatib lemah dan lembik, isi khutbah pun perkara tak mengejutkan jemaah seperti 'khasiat makan buah-buah tempatan'...hasilnya ramai jemaah ZZZZZZZZZ!

Selepas solat, saya melihat jam, baru 2.30 tengah hari. Kereta api saya jam 6.18 petang; masih lambat lagi. Saya pun pergi ke satu sudut masjid untuk ZZZZZZ, setengah jam kemudian baru saya bangun kerana perut sudah 'menjerit' lapar. Sebelum 'blah' saya meninjau-ninjau kawasan masjid, melihat itu dan ini almaklumlah ini mungkin kunjungan saya yang pertama dan terakhir ke masjid ini. Di papan kenyataan, ada dinyatakan masjid ini dalam proses meningkat taraf; jemaah dan orang ramai dipelawa menyumbang ke Tabung Masjid Wakaf Bharu; satu satu cara adalah dengan menginfak ke akaun Bank Islam 03018010041389.

Di luar, saya terkejut besar. Suasana sibuk dan hingar bingar peniaga dan pembeli saya saya saksikan sebelum solat Jumaat lagi sudah 'ghaib'...saya melihat kiri kanan, betul Wakaf Bharu  bagaikan 'pekan sepi' menyamai apa yang saya fikirkan sebelum ke sini. Kemudian barulah saya tahu, pekan Wakaf Bharu memang sibuk pagi Jumaat kerana di sini diadakan Pasar Minggu. Selain itu, ia mungkin sebuah pekan sepi!

2 comments:

Unknown said...

Selain tulisan ahmad lutfi othman, saya juga mengikuti buah fikir tuan haji dgn melayari blog ini. Mungkin ada buku terkini hasil tulisan tuan haji.

Lanh Sr. said...

Assalamualaikum wbt sdr unknown
terima kasih, buat masa ini belum ada buku baru, sekali lagi jazakallh...