Tuesday, August 1, 2017

Negarawan ketepi kepentingan diri...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 


KESEDIAAN empat pemimpin parti pembangkang - KEADILAN, Amanah, DAP dan Bersatu - duduk berbincang seterusnya membentuk gabungan paling kuat sejak merdeka, Pakatan Harapan (Harapan) mengingatkan saya akan ungkapan masyhur cendekiawan Barat, James Freeman Clarke dan Abraham Lincoln.

Clarke menyatakan: "A politician thinks of the next election; a statesman thinks of the next generation." (Seorang politikus memikirkan (untuk menang) pilihan raya berikutnya, seorang negarawan memikirkan mengenai generasi berikutnya). Beliau melanjutkan: "A politician looks for the success of his party; a statesman for that of his country." (Seorang politikus mahukan kejayaan partinya, seorang negarawan kejayaan negaranya).

Lincoln mengungkapkan perkara sama: "A statesman is he who thinks in the future generations, and a politician is he who thinks in the upcoming elections." (Seorang negarawan adalah dia yang memikirkan akan generasi masa depan manakala seorang politikus adalah dia yang memikirkan pilihan raya akan datang).

Semoga dengan wujudnya persepakatan baru dan padu itu, adalahlah diharapkan semua pemimpin terbabit dapat bergerak ke depan bagi kepentingan masa depan negara (juga sudah pasti untuk kesejahteraan rakyat) yang kini berhadapan gelombang fitnah (ujian) paling dahsyat sejak merdeka.

Kepada pemimpin-pemimpin berkenaan, berusahalah untuk berada dalam landasan menjadi negarawan bukan semata-mata politikus; ketepikanlah atau sekurang-kurangnya bertolak ansur dalam hal berkaitan kepentingan diri (peribadi) hatta parti sekalipun demi untuk kesejahteraan dan masa depan rakyat dan negara.  

Bercakap mengenai negarawan ini, saya teringat akan Nelson Mandela dan keberadaan saya di Afrika Selatan bagi membuat liputan pilihan raya pelbagai kaum yang pertama di negara itu selepas runtuhnya rejim aparteid pada 1994 dulu.

Benar parti pimpinan Mandela iaitu Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) mencatat kejayaan gemilang, tetapi hakikatnya ia kurang sedikit daripada mencatat majoriti dua pertiga. Apa yang menariknya Mandela memperlihatkan 'sifat negarawannya' apabila mengundang FW de Klerk iaitu pemimpin parti seterunya (Parti Kebangsaan, NP) untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan kebangsaan.

Bayangkanlah Mandela meringkuk 27 tahun dalam penjara sebahagiannya kerana dasar pengasingan kulit hitam oleh kulit putih termasuk ketika era de Klerk, tetapi 'demi masa depan Afrika Selatan terutama rakyatnya', beliau mengambil pendekatan 'bekerjasama' termasuk membuat tawaran kepada sebuah lagi parti seteru iaitu Parti Pembebasan Inkatha (IFP) pimpinan Mangosuthu Buthelezi.

Sebenarnya, jalan perjuangan Mandela bagi melayakkan beliau diihormati di seluruh dunia sebagai seorang negarawan 'tidak berlaku begitu saja'. Menyorot biografinya, beliau pada masa muda dikenali seorang radikal dan mengambil sikap terburu nafsu.

Namun penjara telah 'mematangkan' si pemberontak bernama Mandela ini. Dia mula menyedari taktik gerila (ganas) tidak akan membawa bangsanya dan negara Afrika Selatan yang dicintainya ke mana-mana. Daripada seorang pejuang pembebasan, Mandela melalui 'transformasi' menjadi pemimpin sedia berunding, mendengar, berubah, melakukan pengubah-suaian, dan memperhalusi tindakannya. Dia sudah bersedia bersabar menempuh onak duri sepanjang perjalanan mencapai matlamat perjuangannya. 

Mandela 'yang matang' amat jitu dalam prinsip dan matlamat utama perjuangannya - membebaskan Afrika Selatan terutama orang kulit hitam daripada dasar penghambaan aparteid seterusnya membuka lembaran baru kepada semua warga Afrika Selatan tanpa mengira warna kulit dan kedudukan. Dan semua itu sudah diraihnya melalui pilihan raya 1994. 

Selepas berakhirnya pilihan raya bersejarah itu, saya jarang mengikuti perkembangan di Afrika Selatan sehinggalah negara itu bersiap sedia mengadakan pilihan raya kedua selepas berakhirnya aparteid pada 1999. Pada pilihan raya ini, Mandela sebagai pemimpin ulung ANC berpeluang menang besar dan kembali menjadi presiden buat penggal kedua, memilih untuk berundur, membuka laluan kepada timbalannya, Thabo Mbeki menerajui negara.

Mandela pernah berkata: "Untuk mengawal sekawan lembu, kamu berdiri di belakang dengan memegang ranting; lembu yang 'cerdik' akan ke depan untuk mengetuai kumpulan lembu itu." Ya, pemimpin yang cerdik, berdirilah di belakang, bukan gila untuk berada di depan selama-lamanya! 

Demikianlah, contoh hebat ditunjukkan negarawan hebat! Mandela enggan berada di puncak kuasa buat tempoh lama, tidak seperti banyak diktator dan presiden serta perdana menteri (bagi negara) dan CEO organisasi (bagi syarikat dan agensi) yang 'lapar' atau gila untuk berkuasa 'dulu, kini dan selama-lamanya' sehingga ada yang membunuh pesaingnya.

Namun perlu diingat, sekalipun dibunuh dan dihina sedemikian rupa, orang yang berada di jalan lurus seperti ramai tokoh pejuang terus harum nama mereka sedangkan pemimpin yang mahu berkuasa 'dulu, kini dan selama-lamanya' seperti Firaun, Namrud (zaman dulu) dan pada zaman moden, Marcos, Gaddafi, Saddam dan mungkin Basar Al-Assad serta Bush melalui pengakhiran yang penuh penghinaan. 

Demikianlah, wahai insan terutama pemimpin; insaflah, ikutilah laluan yang telah dirintis dan ditunjuki negarawan termasyhur dunia zaman ini, Nelson Rolihlahla Mandela - 'pergilah (atau berundurlah) sebelum orang benci!' Jadilah negarawan bukan politikus!

No comments: