Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
SEMPENA kemerdekaan negara ke-60 tahun nanti, saya menyorot kisah ini. Saya bukan seorang politikus atau penganalisis politik. Sepak terajang orang politik memeningkan kepala. Cakap sesetengahnya susah dipercayai. Sekejap cakap begini, sekejap cakap begitu.
Saya hanyalah seorang penulis kecil yang gemar membaca. Dengan pembacaan itu, dapatlah saya 'menangkap' bahan-bahan untuk diolah dan menjadi ‘santapan’ pembaca. Tidak lama dulu saya 'terbaca' majalah Dewan Siswa keluaran November 2005 milik anak-anak saya.
Apa ada dengan Dewan Siswa, fikir saya. Majalah ini untuk budak-budak remaja, lagi pun dah lama saya tak menatapnya. Dulu semasa sekolah adalah saya membelinya, sekarang tidak lagi. Memang kebanyakan bahannya adalah untuk generasi muda. Pada saya, bahannya kurang sepadan dengan usia saya yang 'dah tua ni'.
Dalam asyik menatap 'majalah budak-budak remaja' itu, saya 'terbaca' sebuah cerpen untuk siswa, bertajuk 'Srikandi yang terluka'. Fikir saya, tentulah membosankan dan sukar difahami macam kebanyakan cerpen-cerpen dewasa ini. Saya bosan betul membaca cerpen dengan ayat-ayat dan ungkapan kabur seperti 'seorang Salmah' atau ‘seorang Ahmad yang sedih’.
Tetapi untuk 'membunuh masa', saya cuba membacanya. Aahh, ceritanya menarik pula. Kisahnya mengenai satu penyelidikan ke atas Khatijah Sidek, muslimat PAS pertama yang bertanding dalam pilihan raya. Khatijah menang dan menjadi ahli Parlimen Dungun, Terengganu, kalau tidak silap saya pada tahun 1964.
Khatijah asalnya bukanlah pejuang PAS. Beliau adalah Ketua Kaum Ibu Umno setelah Ibu Zain. Namun tiada langsung namanya disebut oleh para pemimpin Umno masa kini.
Tanyalah 'budak-budak Puteri Umno' yang terkinja-kinja menyokong Umno hari ini, siapakah Khatijah Sidek, agaknya akan meloponglah mulut mereka, tidak dapat menjawab soalan 'cepu mas' ini. Mungkin 100 peratus daripada mereka tidak tahu Khatijah Sidek adalah bekas Ketua Wanita Umno (dulu Ketua Kaum Ibu) setaraf Rafidah Aziz, malah status beliau 'tinggi sikit' daripada Shahrizat Jalil.
Wahai puteri-puteri Umno, putera-putera Umno, veteran Umno dan orang yang baru hendak berjinak-jinak dengan Umno, dapatkanlah majalah 'Dewan Siswa' lama ini dan tatapi dan hayatilah cerpen karya Khairul Nizam Abd Raub yang ditulis berdasarkan penyelidikan mendalam ini.
Cerpen ini adalah berdasarkan catatan sejarah. Jika catatan sejarah merakamkan jasa dan pengorbanan 'orang besar' Umno seperti Khatijah Sidek 'tidak siapa mengenangnya', jadi apalah sangat jasa dan pengorbanan yang puteri dan putera Umno telah dan akan dicurahkan, semuanya berpotensi untuk tidak dihargai apatah lagi dikenang.
Oleh itu ingat-ingatlah puteri dan putera Umno, janganlah berharap untuk mendapat balasan apa-apa pun daripada parti, kerja kerasmu berpotensi tidak akan dihargai.
Sebaik-baiknya tekadkan hatimu untuk hanya mendapatkan keredaan Allah di atas kerja-kerja yang dilakukan. Untuk tujuan itu, seseorang perlu berada di jalan yang lurus. Untuk berada di jalan yang lurus, semak-semaklah sama ada perjuangan kita, sama ada ia berada di landasan-Nya atau tidak.
Perenggan pertama cerpen 'Srikandi yang terluka' merakamkan: "Sejarah sebenarnya penuh luka dan derita. Sejarah juga milik mutlak sang penguasa. Sejarah di tangan penguasa boleh diubah dan diputarbelitkan. Namun sejarah yang lama terkubur boleh digali dan diketahui kebenaran. Tugasku mencari kebenaran kisah seorang srikandi yang terkubur oleh sejarah. Sebuah cerita luka terpendam sekian lama."
Temui Ramlah Adam, Khoo Kay Kim
Para berikutnya ditulis: “Aku sedang menyiapkan disertasi atau tesis untuk mendapatkan gelaran sarjana di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Itulah impianku sejak kecil, menjadi seorang pensyarah. Hadir di Universiti Malaya menemukan aku dengan para sejarawan termasyhur seperti Ramlah Adam dan Khoo Kay Kim. Usai sahaja mendapat ijazah sarjana muda, aku terus ditawarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.
“Setelah puas mencari-cari tajuk yang sesuai, akhirnya aku mengambil keputusan menjalankan kajian tentang peranan wanita dalam mencapai kemerdekaan dan kepentingan mereka dalam kewujudan parti-parti politik tanah air. Dalam kajian, aku mendapati bukan sedikit tokoh wanita terbilang mewarnai laman politik tanah air sebelum merdeka. Ibu Zain, Aishah Ghani, dan Shamsiah Pakeh ialah antara pejuang wanita tersohor ketika itu.
“Malahan banyak lagi nama aku temukan. Membaca memoir Aishah Ghani, aku amat tertarik dengan satu nama asing yang terlalu jarang dipaparkan di media arus perdana. Khatijah Sidek, wanita yang digambarkan sebagai pejuang wanita radikal, lantang dan agresif. Namun mengapa namanya seakan-akan tenggelam oleh peredaran arus masa? Dia merupakan Ketua Kaum Ibu Umno selepas Ibu Zain. Namun tiada langsung namanya disebut oleh para pemimpin wanita Umno kini. Aku semakin ghairah menggali kisah wanita misteri ini.
“Aku menjalankan penyelidikan tentang Khatijah Sidek dengan lebih mendalam. Tidak banyak sumber rujukan aku peroleh di Arkib Negara. Entah mengapa nama ini begitu menghantui fikiran. Siapa sebenarnya Khatijah Sidek? Mengapa namanya hilang bagai tidak berbekas dalam sejarah Umno?”
Melalui cerpen ini dirakamkan mengapa Khatijah Sidek ‘dihumbankan’ daripada Umno – parti yang menjadi sanjungan dan tumpuan ramai pengundi veteran. Antara lain ditulis: “Dengan penuh ranjau dan liku, aku (Khatijah Sidek), dilantik sebagai Ketua Kaum Ibu Umno. Tanggungjawabku semakin bertambah. Namun terlalu banyak hasad dengki dan dendam mengelilingku.
“Akhirnya, tanpa sebarang peluang untuk membela diri, aku dilucutkan jawatan. Bagaikan langit runtuh menimpa tubuh kurasakan. Tidak pernah kusangka begini balasan atas keringat dan air mata berjuang demi bangsa sendiri. Aku terlalu kecewa, sedih, dan putus harapan…”
Demikianlah episod akhir yang teramat sedih bagi Khatijah Sidek, Ketua Kaum Ibu Umno.
Mengikuti kisah pilu Khatijah Sidek berdekad-dekad lalu, mengingatkan derita Anwar Ibrahim yang turut disingkirkan daripada Umno. Jika Khatijah Sidek adalah rakaman rasa kecewa yang teramat sangat kepada Umno pada zaman 50-an dan 60-an, ‘tragedi’ Anwar Ibrahim, Muhyidin Yasin, Shafie Apdhal adalah rakaman kejelikan Umno masa kini. Hasad dan dengki adalah mainan biasa dalam Umno, itulah yang dirakamkan sendiri oleh Khatijah Sidek, Ketua Wanita (Kaum Ibu) Umno.
Oleh itu, kepada bakal pengundi, inikah parti yang hendak diundi nanti, parti yang penuh dengan hasad dengki dan tidak mengenang jasa tokoh-tokoh besarnya. Jika jasa tokoh besar malah bekas PM Mahathir Mohamad tidak dikenang, apatah lagi jasa pakcik dan makcik diceruk-ceruk kampung sana.
Cerpen ‘Srikandi yang terluka diakhiri dengan perenggan bertulis: “Aku menyusun semula surat-surat berharga itu. Benar, sejarah telah memadam nama seorang srikandi besar. Khatijah Sidek, srikandi bangsa yang terluka. Sekukuh azam kusematkan di hati. Nama Khatijah Sidek akan tertempa semula di tugu sejarah sebagai pejuang kemerdekaan. Sejarah akan menerima kembali seorang wanita berhati keras dan bersemangat kental. Kuburan sejarah akan terbongkar semula.”
Nota: Pembaca yang ingin menyoroti kisah Khatijah Sidek boleh mendapatkan buku ‘Khatijah Sidek – Memoir Seorang Pejuang’, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala cerpen ‘Srikandi yang terluka’ boleh dibaca dalam majalah Dewan Siswa keluaran November 2005.
No comments:
Post a Comment