Saturday, April 29, 2017

U Masjid (20): Jemaah masjid Kedah mesra pengunjung luar

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
*********
BUKU TERBUKA UNTUK JUALAN
4. Tajuk: Di Dalam Lembah Kehidupan
Penulis: Prof Dr Hamka 
Penerbit: Pustaka Dini
Muka surat: 207 (Harga asal dibeli RM17)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
***********
3. Tajuk: Keadilan Ilahi
Penulis: Prof Dr Hamka 
Penerbit: Pustaka Dini
Muka surat: 123 (Harga asal dibeli RM13)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
****************
2. Tajuk: Rahsia Madinah (Jejak Rasul 2)-----------(XXXXXXXXX  MAAF, SUDAH DIJUAL)
Penulis: Khalil Ibrahim Mulla Khothir 
Penerbit: Al-Hidayah Publishers
Muka surat: 218 (Harga tertulis di buku RM14)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
********
1. Tajuk: Rahsia Mekah (Jejak Rasul 1)-------------(XXXXXXXXXXXX MAAF, SUDAH DIJUAL)
Penulis: 'Atiq bin Ghaits Al-Biladi
Penerbit: Al-Hidayah Publishers
Muka surat: 300 (Harga tertulis di buku RM15)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
***************
KETIKA berkapcai solo di negeri-negeri utara Semenanjung baru-baru ini saya sempat meninjau kawasan Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut iaitu di jalan utama Alor Setar-Sungai Petani. Saya melalui kawasan ini pada awal pagi, ketika itu tiada seorang petugas kelihatan, jadi tidaklah dapat saya mewawancara sesiapa untuk dijadikan bahan penceritaan.

Apa yang saya saksikan adalah bangunan bertingkat utama sedang dalam pembinaan manakala masjid dalam pengubahsuaian. Di bahagian hujung, bangunan kediaman anak-anak yatim dan miskin dalam suasana sepi; mungkin suasana pada awal pagi itu kegiatan belum bermula,

Sepanjang berada di negeri Jelapang Padi saya menjadi tetamu di sejumlah masjid dan apa yang menawan hati, jemaah masjid-masjid di Kedah ramai mudah mesra atau lebih tepat lagi begitu menyantuni orang luar.

Misalnya di Masjid Kubang Siam, Alor Janggus, sejumlah jemaah merapati saya dan mudah benar mesra seakan-akan sudah lama berkenalan. Mereka mengajak saya berbual dalam pelbagai perkara termasuklah politik.

Menurut mereka masjid itu selalu juga menerima kehadiran orang luar; mungkin salah satu faktornya ia terletak di jalan besar. Antara tetamu 'luar biasa' adalah seorang lelaki berbasikal yang mendakwa beliau dalam perjalanan untuk ke Tanah Suci. Ya, beliau mahu berbasikal ke Makkah yang jaraknya ribuan kilometer, itulah yang didakwanya!

Kemudian, ada sebuah keluarga berkereta yang mendakwa mereka menjalani kehidupan 'berumah' dari sebuah masjid ke masjid yang lain. Sungguh menghairankan, pada zaman moden ini ada orang (keluarga) menjalani kehidupan 'nomad' sedemikian rupa.

Namun, kata mereka, hendaklah kita jangan bersangka bukan-bukan terhadap orang begini. Kita tidak tahu tujuan dan sebab mereka memilih kehidupan sedemikian, jadi berlapang dadalah sentiasa. 

Pada musim kerap diadakan majlis Israk Mikraj di masjid-masjid seluruh negara sekarang ini, selalu juga jemaah diingatkan bahawa perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. dalam Israk baginda adalah dari masjid (Masjidilharam) ke masjid (Al-Aqsa). Ini bermakna seseorang lelaki Muslim itu perlu menekuni diri untuk ke masjid; di rumah Allah ini mereka akan memperolehi ganjaran dunia dan akhirat yang sungguh lumayan.

Di Masjid Ubudiyyah, Mergong pula 'terkesan' hati saya melihat sebuah kawasan luas di sisi dewan solat utama masjid dikhaskan kepada golongan musafir. Ini sekali gus menggambarkan masjid ini adalah mesra pengunjung luar (musafir).

Keperluan musafir mungkin berbeza sedikit dengan jemaah biasa, jadi wajarlah mereka disantuni dengan menyediakan ruang di mana mereka boleh menyalin pakaian, memberesi urusan diri (seperti mandi dan qada hajat) dan juga berbaring (rehat, tidur dan sebagainya).

Penyediaan tempat khas musafir ini langkah bijak dan berwawasan bagi memakmurkan masjid-masjid kita. Ini kerana di kebanyakan masjid wujud peraturan ketat seperti pemasangan papan tanda seperti JANGAN TIDUR DI SINI; alangkah baiknya jika peraturan itu dikuatkuasakan di dewan solat utama saja sementara di kawasan 'tersorok' diizinkan pengunjung tidur atau merehatkan diri.

Dalam kunjungan saya ke utara ini, ada saya ketemui sebuah masjid besar yang memasang dinding kaca sepenuhnya bagi ruang solat utamanya (siap dengan pendingin udara dan dibuka hanya pada solat berjemaah lima waktu dan kuliah pengajian) tetapi membiarkan sebahagian besar kawasan masjid terbuka 24 jam bagi membolehkan orang ramai menjalankan urusan masing-masing. 

Dalam situasi begini, masjid akan sentiasa hidup tetapi penggunaan elektrik seperti 'air-cond' dapat dijimatkan kerana ruang dewan solat 'berkurung' adalah kecil...demikianlah pelbagai cara kreatif boleh difikirkan untuk memakmurkan masjid termasuk dalam menyediakan prasarana dan keselesaan pengunjung tetapi pada masa sama menjimatkan operasi pengendalian seperti dalam soal pembayaran bil elektrik, air (gunakanlah kolah) dan sebagainya!

Bijaklah merancang bagi memakmurkan masjid; bukankah kutipan wang derma kebanyakan masjid adalah 'lumayan' - pergunakanlah wang amanah orang ramai itu untuk menarik semakin ramai jemaah ke masjid; antaranya dengan menyediakan kemudahan selesa (ada masjid mempunyai 'home stay') yang dapat meringkankan sedikit 'bebanan' seorang musafir. Insya-Allah, Allah SWT akan membalas kebaikan itu!

No comments: