Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
HUJAN antara faktor menyukarkan perjalanan pengembara 'berkapcai' seperti saya. Sepanjang seminggu saya berkelana di negeri-negeri utara Semenanjung baru-baru ini, dua kali saya terpaksa meredah hujan - sekali ketika dalam perjalanan dari Tapah ke Bandar Seri Iskandar dan yang keduanya dalam perjalanan dari Bukit Mertajam ke Parit Buntar.
Apabila 'berkapcai' dalam hujan lebat habis basahlah pakaian; namun saya sudah bersedia menghadapi kemungkinan itu. Sebelum memulakan perjalanan, saya memasukkan setiap pakaian dalam satu plastik kecil dan mengikat plastik itu. Oleh itu setiap pakaian dan dokumen saya dibungkus dalam plastik sebelum dimasukkan dalam beg yang juga boleh dimasukkan dalam beg plastik besar jika keadaan memerlukan.
Perjalanan selepas solat zuhur dan berehat di sebuah masjid di Tapah ke Seri Iskandar adalah yang paling mencabar saya hadapi. Ini kerana dalam keadaan 'hujan lari' (sekejap hujan sekejap tidak) dan ada kalanya terlalu lebat, saya tersalah masuk simpang dari jalan utama yang biasa saya lalui ke kawasan-kawasan kampung, ladang, bekas lombong dan hutan seperti di Tanjung Tualang dan Kampung Bali.
Namun dapat saya 'rasakan' keindahan perjalanan itu ketika melalui sebatang jambatan yang merintangi sebatang sungai yang saya agak Sungai Kinta. Saya memberhentikan motosikal pada hari hampir senja itu, menikmati sebuah pemandangan yang bagaikan sebuah kanvas lukisan - nun di kejauhan kelihatan barisan gunung berbalam-balam hijau dan biru berlapis-lapis - fikir saya itulah Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang tanah Semenanjung. Di sanalah punca sungai-sungai utama di pantai Barat seperti Sungai Kinta yang saya seberangi itu.
Kemudian selepas meneruskan perjalanan, di pinggir hutan, berlaku hujan lebat; saya terpaksa berteduh di sebuah bangunan terbiar yang tidak saya ketahui kedudukannya. Terasa detik-detik berlalu tersangat cepat kerana maklumlah hari menjelang malam; kalau sudah malam 'banyak hal boleh' berlaku. Saya berdoa cepat-cepatlah hujan berhenti agar dapat saya meneruskan perjalanan.
Hari sudah gelap, namun hujan tidak berhenti; kerana itu saya redah saja; di kiri kanan hutan dan ladang getah serta kelapa sawit; alhamdulillah selepas 'bertarung' setengah jam dalam 'hujan menggila' akhirnya saya sampai di simpang jalan besar Ipoh-Lumut; hati saya kembali tenang kerana saya pasti destinasi selamat untuk ditujui iaitu sebuah masjid!
Saya memasuki kampus Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang biasa saya kunjungi ketika anak sulung saya menuntut di sana dulu. Saya terus ke masjidnya, mandi manda dan membersihkan diri di masjid yang lapang dan banyak bilik mandi itu, kemudian menyertai jemaah bersolat mahgrib. Apabila berada di masjid terasa lapang dan tenang di hati sekalipun sebelum itu 'dunia begitu bergelora'.
Masjid UTP adalah antara masjid mesra musafir daripada sejumlah masjid yang pernah saya kunjungi. Bilik airnya luas dengan deretan tandas dan bilik mandi yang banyak. Ruang solatnya luas dan cantik dan sejuk serta nyaman dengan pendingin udara. Ruang legarnya luas, seseorang itu boleh merebahkan diri untuk berehat.
Perjalanan 'berkapcai' saya menemukan saya dengan sejumlah masjid yang mesra musafir. Ada sebuah masjid di pinggir Alor Setar yang memperuntukkan sebuah kawasan besar (di sisi dewan solat) yang dinamai Ruang Musafir. Saya bertanyakan seorang petugas di situ, bolehkah seseorang musafir bermalam di situ; katanya "dipersilakan!"
Ada masjid menyediakan bilik untuk disewa; tidak kurang juga memiliki sejumlah gerai di depan atau sisi masjid yang menempatkan kedai makanan. Semua kemudahan ini mendatangkan rasa kesyukuran dan kelegaan kepada musafir yang kadang kala menempuhi perjalanan mencabar, tetapi malangnya ada segelintir masjid kita yang kurang atau tidak mesra musafir.
Sebagai contoh apa perasaan seorang musafir, jika mereka singgah di sesebuah masjid hanya untuk mendapati tandasnya tidak terurus malah ada yang BERKUNCI. Malah ada masjid yang pintu pagarnya berkunci rapat, 'bermangga besar' pula. Ditakdirkan hujan, adakah seseorang itu terutama musafir dapat berlindung di sisi atau di dalamnya termasuk untuk SOLAT?
No comments:
Post a Comment