Sunday, March 5, 2017

Harga tinggi kerana kehadiran orang luar...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)

SAYA baru kembali mengembara di negeri-negeri utara Semenanjung termasuk Kedah. Satu perkara mengkagumkan saya adalah harga makanan masaknya yang begitu murah berbanding di negeri-negeri lain. Misalnya untuk sarapan, satu bungkus nasi lemak dan nasi berlauk seperti ayam, daging atau ikan harganya hanya RM1. Untuk kenyang, satu atau dua bungkus sudah memadai.

Suatu tengah hari selepas menikmati mi sop dan teh 0 panas, apabila bertanyakan harga, saya macam tak percaya apabila pekedainya berkata RM2.50. Saya bertanya sekali lagi, jelas 'tiada apa salah dengan telinga saya' ..ya dua ringgit lima kupang!

Mengapa harga makanan ini boleh dijual begitu murah? Seorang saudara berkelulusan UPM berasal dari Johor yang kini menetap dan menjalankan 'bisnes' di Kedah, berkata salah satu sebabnya adalah sikap 'murah dan baik hati' pihak berkuasa tempatan. Ramai peniaga berjualan di tepi-tepi jalan atau di gerai 'pasang siap' tanpa lesen, jadi mereka tidak perlukan modal besar...dalam keadaan ini dapatlah mereka berjualan dengan harga rendah. Jika perlu menyewa premis niaga, harganya pun murah.

Satu lagi faktor adalah latar berlakang penduduk tempatan. Sebahagian besar daripada mereka adalah pesawah dan bekerja sendiri; jadi harga makanan yang dijual adalah berdasarkan kemampuan mereka. Kata saudara itu kebanyakan pelanggan peniaga adalah orang-orang di sekitar tempat jualan; ada antara mereka saudara mara dan sahabat peniaga, oleh demikian tidaklah 'sampai hati' mereka menjual dengan harga mahal.

Namun, katanya 'faktor orang luar' mungkin menyebabkan peniaga menaikan harga jualan mereka. Beliau mengambil contoh bagaimana kebanjiran 'orang luar' di sesuatu kawasan itu seperti di Pulau Pinang dan Johor Bahru dan kawasan sekitarnya menyumbangkan kepada situasi harga barangan mahal. Peniaga pula pada bila-bila masa boleh menaikkan harga barang kerana permintaan tinggi. Katanya, tidak menjadi masalah jika orang tempatan tidak mahu atau mampu membeli barangan atau perkhidmatan mereka. 

Di Johor misalnya, jika orang tempatan 'tidak sudi', orang 'Singapore' pada bila-bila masa boleh menjadi pelanggan mereka.  Orang 'Singapore' mempunyai kuasa beli tinggi, bukan saja 'nasi lemak' boleh mereka beli, hatta hartanah mewah dan bandar pun boleh mereka miliki!

Sekarang ini selain orang 'Singapore', orang dari negara China pun semakin ramai membeli hartanah di negara kita. Takut mendengar apabila sesetengah pihak mendakwa banyak harta negara ini sudah 'dilelong' kepada orang 'Singapore' dan China. 

Macam-macam daya tarikan digunakan untuk menarik minat orang luar ini seperti kempen 'my second home' (rumah kedua saya)...akhirnya timbullah isu seperti 'Forest City' dan sebagainya. Mula-mula saya ingatkan 'Forest City' itu macam 'Nottingham Forest' di England, tetapi tidak, ia ada di tanah air tercinta ini. Macam mana boleh diberi nama 'Forest City' tidaklah saya ketahui! Orang bahasa dan budaya tak nak bersuara ke?

Bercakap mengenai harga makanan siap seperti nasi lemak yang murah di negeri Utara ini, teringat saya gelagat sesetengah pemimpin kita yang gemar 'mengaul dan mengacau' yee sang, mi, bubur lambuk, kari dan sebagainya dalam sesebuah majlis,,,persoalannya apakah cukup 'mengacau saja' dengan tidak ambil peduli harga makanan yang naik dan terus naik di pasaran.

Di Kedah, sebungkus nasi lemak atau berlauknya mungkin RM1 tetapi di KL atau JB sudah jadi RM5. Perkara inilah yang perlu diambil perhatian oleh pemimpin, bukan seronok ' nak kacau dan kacau saja'!

Kita juga hairan dengan gelagat pemimpin, apabila hampir pilihan raya, kerap benar mereka 'difotokan' sedang berbaris bersama rakyat biasa untuk mendapatkan sesuatu misalnya makanan pada sesuatu majlis.

Apabila tiada pilihan raya, tidak mahu pula mereka berbaris bersama rakyat marhaen mendapatkan sepinggan mi, semangkok cendol atau sejumlah cucuk sate. Enak saja mereka duduk-duduk dengan 'makanan disuakan ke muka mereka'. Selalunya mereka makan 'free', jadi taklah mereka tahu harga makanan sudah melambung tinggi!

No comments: