Monday, March 20, 2017

Bahana bapak kumpul, anak lelong harta...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
SEJAK 'pencen' lima tahun lalu, saya mengusahakan sebidang tanah pinggir (seumpama Felda) milik isteri saya; suatu pagi ketika berada di kedai runcit perkampungan tanah rancangan itu terdengar saya 'perbuatan hangat' sekumpulan penduduk di kedai kopi sebelah.
Beberapa 'penghuni tetap' kedai kopi itu mengusik seorang lelaki Tionghua yang baru datang - antara lain mereka berkata: "Ha, kau Seng, kau ini tahu lelong saja harta bapak kau. Itu saja kerja kau sedangkan bapak kau macam nak mati bukak estet, kau perhabis hartanya."
Memang betul, lelaki Cina itu telah 'sapu licin' harta peninggalan bapanya - dulu hartanah (estet) mendiang orang tuanya terkenal seantero negeri sekarang nama itu tidak disebut lagi.
Namun 'penghuni setia' kedai kopi itu patut menginsafi diri - dulu mereka atau bapa mereka memiliki kebun getah yang luas tetapi semuanya sudah habis 'dilelong' terutama kepada 'pihak bijak' yang rapat dengan penguasa negeri - kononnya tanah itu akan dibangunkan oleh kepentingan bangsa dan masa depan negara, hakikatnya tanah itu dibangunkan perumahan mewah yang banyak terjual kepada orang 'Singapore'!
Sekarang ini kebanyakan peneroka atau anak mereka hanya memiliki tanah tapak rumah - yang lain sudah habis dilelong. Dulu peneroka bersusah payah menebas hutan, menanam pokok getah selepas dianugerahkan tanah pinggir atas inisiatif PM ketika itu, Tun Razak Hussein, tetapi kebanyakan tanah-tanah itu sudah dilelong.
Memang betul ada peneroka dan waris mereka sudah menjadi jutawan segera sehingga ada yang 'menambah bini' dan 'mengupah pemandu' (bagi yang tidak tahu memandu kereta baru yang mereka beli) tetapi semua tinggal kenangan.
Anak-anak peneroka itulah yang ramai menjadi 'penghuni setia' kedai kopi - bapa mereka 'macam nak mati' kumpul harta, kebanyakan mereka pula sudah melelong harta itu.
Jika golongan anak seperti Seng (anak tauke estet), Ali dan Ahmad (anak-anak peneroka) sudah melelong harta bapa mereka, apa pula kurang sesetengah pemimpin negara kita yang sudah dan dalam proses 'melelong' hartanah hatta negara ini sendiri.
Jika kita menyoroti sejarah, misalnya kejatuhan empayar Kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada 1511; antara puncanya adalah pemerintah (Sultan) terakhir adalah korup dan suka berfoya-foya termasuk suka menambah isteri cantik tak kira kalau perlu merampas isteri atau tunang orang. 
Apabila pemimpin korup, pembesar pun begitu, akhirnya empayar Melaka yang gagah itu jatuh ke tangan Portugis. Cuba bayangkan negara Portugal yang jauh ribuan kilometer itu dengan askar armada perangnya terpaksa berlayar berbulan-bulan di lautan, akhirnya dapat menewaskan pahlawan Melaka yang hebat-hebat.
Kini, negara kita seolah-olah berada dalam situasi yang hampir sama. Negara kita sedang 'berkonflik' dengan Korea Utara pada ketika pemimpin-pemimpin kita mempunyai 'perangai' yang sama dengan pemerintah-pemerintah terakhir Melaka.
Memanglah nampak 'macam tak masuk akal', Korea Utara yang terletak jauh di utara akan menyerang dan menakluk negara kita, tetapi janganlah kita alpa, ingatlah bahawa pemerintah terakhir Melaka juga tidak menyangka orang Portugis (mereka 'bermain-main' dan mengelarnya Benggali Putih) yang sudah tiba dua tahun (1509) sebelum Melaka ditawan; boleh membina kekuatan sekali gus menghancurkan mereka.
Kira-kira 100 tahun empayar Melaka boleh bertahan kerana pemerintah-pemerintah awalnya berwibawa tetapi musnah disebabkan 'kekorupan' pemerintah terakhir; kini kita amat bimbang hal ini akan berulang dengan orang Korea mengambil alih negara ini.
Sekarang ini pun, budaya dan cara hidup Korea sudah menguasai anak muda...kita yang 'veteran' ini amat meluat dengan generasi muda yang asyik-asyik dengan filem, rancangan, lagu dan tarian Korea. K-Pop sudah menghantui anak muda kita...tak mustahil cara hidup Korea akan mengambil alih cara hidup Barat yang menjadi 'anutan' sesetengah orang kita.
Sekalipun budaya popular sekarang adalah 'bikinan' Korea Selatan, kita amat bimbang jika peluru nuklear Korea Utara akan meledak negara ini. Oleh itu, ingat-ingatlah semua terutama golongan pemimpin bahawa negara ini akan hancur jika awak korup dan melelong harta sedangkan bapa-bapa awak penat membina negara ini!

No comments: