Monday, March 13, 2017

Laluan motosikal: Percuma bukan alasan dibiar daif...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)

KETIKA 'berkapcai' di negeri-negeri utara Semenanjung baru-baru ini, saya melalui lebuh raya dan jalan raya persekutuan. Dari arah selatan menyusuri lebuh raya, ketika memasuki Pulau Pinang (Seberang Perai), saya bercadang ke bahagian pulau dengan menaiki Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang siap dibina pada Februari 2014.

Sukar bermotosikal di lebuh raya ini kerana susurnya banyak dengan kenderaan seperti kereta, bas dan lori bergerak laju memungkinkan motosikal 'terdedah untuk dirempuh' jika penunggang bergerak perlahan.

Menghampiri plaza tol, 'tercengang' saya apabila melihat semua penunggang motosikal 'melekapkan' kad Touch & Go di tempatnya di pondok tol. Saya yang tidak membawa sebarang 'kad kredit' menjadi gusar kerana tak pernah 'terfikir' bahawa penunggang motosikal pun kena bayar tol. Setahu saya semua laluan motosikal di lebuh raya adalah PERCUMA!

Mahu tak mahu saya memparkir motosikal saya dan berjalan ke pondok tol. Kepada gadis tol saya berterus terang, saya 'tiada kad' - jadi apa sepatutnya saya buat. Dia tersenyum, kemudian bertanya adakah saya membawa kad pengenalan. Katanya, kad pengenalan boleh berperanan sebagai 'kad kredit' - dia kemudiannya melakukan 'top up' (memasukkan) bernilai RM5.

Gadis itu meminta saya kembali menunggang motosikal saya dan 'melekapkan' kad pengenalan itu di tempatnya di pondok. Tertera bayaran sebanyak RM1.70; bermakna penunggang motosikal perlu membayar wang sejumlah itu sebelum menaiki Jambatan Sultan Abdul Halim. Ya, tiada yang FREE di sini.

Menggunakan laluan motosikal di lebuh raya dan jalan raya (yang hampir tiada di negeri saya), 'mendedahkan' saya betapa bahaya (tidak selamatnya) kebanyakan laluan berkenaan. Mungkin disebabkan penunggang tidak perlu membayar apa-apa (free) menyebabkan laluan motosikal tidak diambil berat pihak terbabit mengenai keselamatannya. Lagi pun 'orang besar' tidak menggunakan laluan ini, jadi tidaklah ramai orang tahu akan masalah penunggang dan pembonceng motosikal!

Sebenarnya jika kita meneliti paparan media baru, sudah banyak keluhan mengenai kedaifan laluan motosikal di negara kita - misalnya ada yang menulis 'narrow entry,no view of traffic' (susur masuk sempit, pergerakan lalu lintas tidak dapat dilihat), 'very sharp corners' (selekoh tajam) dan laluan gelap kerana kurang atau tiada lampu. 

Berdasarkan pengalaman saya, dakwaan itu adalah benar - misalnya laluan motosikal yang melepasi kawasan kompleks tol kebanyakannya 'macam tidak dipedulikan langsung'. Ada laluan yang permukaan jalannya tidak rata, 'berselekoh di sana sini' yang menyebabkan penunggang terpaksa berhati-hati dan bergerak perlahan. Masalahnya ada penunggang yang bergerak laju, mungkin mereka mahu mengejar masa masuk ofis jadi mereka memotong penunggang lain dalam keadaan amat bahaya!

Mungkin laluan ini FREE jadi pihak pengendali lebuh raya tidak ambil peduli keadaannya. Agaknya petugas mereka jarang melakukan pemeriksaan dan pemantuan ke atasnya menyebabkan wujud pelbagai keadaan yang menghampirkan pengguna kepada risiko kemalangan. 

Seorang pengguna mendakwa  ada laluan motosikal ditabur bahan bahaya seperti paku, kaca dan serpihan besi oleh golongan tidak bertanggungjawab. Beliau mendakwa golongan ini bersekongkol dengan pihak yang memberikan perkhidmatan menukar tiub di tepi jalan.

Pengguna ini mendakwa risiko lain adalah penyamun yang menunggu di tempat-tempat gelap di laluan motosikal termasuk di dalam terowong. Banyak sudah kes berlaku di mana penunggang ditahan dan dirompak ketika melalui laluan motosikal yang sunyi.
Laluan motosikal sementara yang biasanya dibuat kerana laluan asal terlibat dalam projek pembinaan seperti LRT dan MRT atau pembesaran jalan biasanya tidak selamat kerana berpasir dan tidak rata. Kata pengguna itu sehebat mana pun penunggang motosikal tetapi kalau terpaksa mengejut brek di tempat berpasir, motosikalnya akan tergelincir dan terbabas. Ini akan menyumbangkan kepada kemalangan.
Bagi kita, sekalipun penunggang motosikal tidak perlu membayar tol (kecuali di Jambatan Sultan Abdul Halim), perkara ini tidak boleh dijadikan alasan pihak berkuasa untuk membiarkan laluan motosikal (terutama yang merentasi belakang sesebuah plaza tol) berada dalam keadaan DAIF!
Amat sedih melihat keadaan laluan motosikal ini, kita percaya hal ini turut menyumbang kepada kadar kemalangan yang tinggi di kalangan penunggang motosikal. Malah negara kita mencatatkan antara negara dengan kadar nahas jalan raya tertinggi di dunia.
Kepada pihak berkuasa buatlah sesuatu; jangan hanya mengeluh dan merintih kononnya kita kehilangan ramai tenaga profesional dan kerugian berjuta-juta ringgit akibat kemalangan jalan raya sedangkan kita biarkan laluan motosikal kita kekal daif macam 'dulu, kini dan selamanya'!

No comments: