DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
UNTUK bab-bab seterusnya dalam ruangan ini saya akan mencelotehkan pengembaraan saya dengan 'kapcai' (motosikal kecil) dari Melaka ke Tanjung Piai dan balik balik ke Melaka pada 24-26 Disember 2016 dan kemudian dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan RUU 355 pada 18 Februari lalu seterusnya ke Utara Semenanjung sehingga sampai ke Padang Besar pada Rabu, 22 Februari 2017.
Jarak Melaka-Padang Besar adalah hampir 700 kilometer manakala Melaka-Tanjung Piai adalah kira-kira 200 kilometer. Ini bermakna saya sudah membuat perjalanan 900 kilometer dan ditambah dengan perjalanan balik (dari Tanjung Piai ke Melaka bagi sektor selatan - 200 kilometer lagi) dan dari Padang Besar ke Parit Buntar (bagi sektor utara yang jaraknya kira-kira 250 kilometer), saya telah mengembara sejauh 1,350 kilometer dengan kapcai itu!
Di Parit Buntar, saya telah menumpangkan motosikal saya di rumah seorang adik, seterusnya balik ke KL menaiki kereta api (ETS) dan selamat sampai di Melaka pada petang Jumaat, 24 Februari, dengan bas ekspres.
Seorang tukang cuci wanita India ketika bersembang-sembang dengan saya di Plaza Tol Jawi, Pulau Pinang ketika saya berhenti berteduh kerana hujan dalam perjalanan balik pada 23 Februari, tercengang-cengang dan menganggap saya berbohong apabila selepas ditanya, saya berkata saya sudah sampai ke Padang Besar dari Melaka dan kini dalam perjalanan pulang dengan menaiki motosikal Suzuki RC 100 (buatan 1991) bernombor plet MX 1580 itu. Saya tidak salahkannya kerana memang betul kapcai itu sudah uzur dan saya kerap menggunakannya untuk ke kebun saja!
Pada ruangan U Masjid ke-12 ini, saya akan mencelotehkan perihal kisah saya mencari masjid untuk solat zuhur selepas tiba di pekan Padang Besar kira-kira jam 1.10 tengah hari Rabu, 22 Februari. Saya berazam untuk solat zuhur berjemaah sekalipun saya tahu masa pencarian adalah singkat kerana waktu zuhur masuk kira-kira jam 1.30 tengah hari. Pencarian sukar kerana tiada kubah dan menara masjid yang dapat dilihat dari jalan raya.
Namun saya yakin dapat menemui masjid di sini berdasarkan pengalaman lama. Kira-kira 30 tahun lalu (1985) saya pernah sampai ke Padang Besar, tetapi ketika itu dengan menaiki kereta api. Dari stesen kereta api saya menaiki sebuah jambatan pejalan kaki merentangi laluan kereta api seterusnya ke kawasan kedai-kedai dan di pinggirnya ada sebuah masjid. Saya telah solat di masjid itu, malangnya saya sudah teringat lagi nama masjid itu.
Kali ini saya berazam mencari masjid itu. Saya tahu masjid itu terletak di sebelah stesen kereta api. Tetapi malangnya, stesen kereta api lama itu tiada lagi, sekarang ini sudah dibangunkan sebuah stesen kereta api moden yang gah. Selepas berkali-kali berpusing dan gagal menemui masjid itu, saya bertanyakan kepada seorang anggota polis sama ada di kawasan itu ada masjid dan bagaimana saya hendak ke sana.
Katanya, ada...masjid itu terletak di sebelah tembok stesen dan landasan kereta api dan untuk pergi ke sana, seseorang itu perlu melalui sebuah terowong bawah jalan raya yang terletak 600 meter dari stesen kereta api. Saya menemui terowong itu tetapi kemudian dalam perjalanan tersesat ke rumah-rumah kediaman, kebanyakannya dihuni orang Cina. Oooh, tak mungkin masjid itu terletak di sini, kata hati saya.
Saya meneruskan pencarian, selepas bermandian peluh, barulah saya sampai ke masjid itu. Oh, alhamdulillah, akhirnya masjid yang pernah kukunjungi 30 tahun lalu berada di depan mata..oh masjid yang kucintai...akhirnya dapat juga aku solat berjemaah zuhur di rumah-Mu, ya Allah...tak dapat saya bayangkan rasa kesyukuran dan syahdu ketika mendengar suara laungan azan.
Allahu Akbar...Allahu Akbar. Kerana seruan Illahi sudah dikumandangkan, tidak sempatlah saya 'tengok sana, tengok situ', tetapi cepat-cepat mengangkat wuduk, kemudian solat sunat seterusnya solat zuhur berjemaah.
Selepas solat dan berdoa, barulah mata saya 'melilau' ke sana sini. Ehh, ada perkara yang tak kena di mata saya tentang masjid ini...nak tahu apakah perkara itu dan nama masjid itu, ikutilah U Masjid (13) pada keluaran akan datang. Jeng...jeng...
No comments:
Post a Comment